Tuesday 15 November 2011

DAKWAAN PENYELEWENGAN BERMOTIF POLITIK



DAKWAAN berlaku penyelewengan dalam projek pembangunan luar bandar di Sabah yang melibatkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah adalah tidak benar dan bermotifkan politik, kata menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata semua projek melibatkan kementerian itu yang dibuat secara tender terbuka dan dibida ribuan syarikat termasuk dari Semenanjung, perlu melalui pelbagai peringkat tapisan membabitkan Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya, wakil kerajaan di peringkat negeri termasuk kementeriannya sendiri.

Katanya, kementerian melalui jawatankuasa khas yang melibatkan wakil pihak berkenaan, menetapkan kriteria tertentu dan pembida terendah tidak semestinya ditawarkan tender projek.

"Contohnya, sesuatu projek mungkin menelan kos RM100 juta, jika ada syarikat membida RM20 juta, cuba anda bayangkan bolehkah mereka melaksanakan projek yang bernilai RM100 juta itu hanya kerana mereka pembida terendah. Adakah kami terpaksa akur dan memberikannya kepada syarikat itu?" katanya kepada pemberita.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang memetik anggota Parlimen Kota Kinabalu DAP Dr Hiew King Cheu menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan penyelewengan dalam projek pembangunan luar bandar di Sabah, yang diberikan menerusi kementerian itu.

Mohd Shafie berkata beliau yakin pihak yang membuat dakwaan itu sedar akan prosedur dan keperluan yang perlu dipenuhi kementeriannya berhubung projek tersebut, namun mereka ingin meraih perhatian politik.

Beliau berkata kelulusan akhir yang dipersetujui jawatankuasa itu akan diserahkan kepada Kementerian Kewangan sebelum kata putus berhubung pemberian kontrak dimuktamadkan.

"Maksudnya di sini ada peringkatan dalam kelulusan, jadi tidak bermakna keputusan akhir dibuat oleh kementerian atau jawatankuasa itu sendiri kerana ia melibatkan lain-lain kementerian dan juga pihak kerajaan negeri," katanya.

Dalam laporan itu, Hiew mendakwa penyelewengan tersebut membabitkan 49 projek, yang merupakan sebahagian daripada 209 projek pembangunan luar bandar yang diberikan kementerian berkenaan untuk dilaksanakan bagi tempoh 2011 dan 2012. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment