Wednesday 2 November 2011

HAYATI PENGORBANAN DEMI KEMAJUAN NEGARA



AHLI PANEL…Jamawi (tengah) bersama ahli Panel yang menjayakan forum tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PENGHAYATAN sebenar istilah pengorbanan bukan sahaja mampu melahirkan perpaduan utuh rakyat pelbagai kaum, malah boleh menjadikan Malaysia sebagai negara maju dan stabil.

Justeru Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Jamawi Jaafar berkata, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha penghujung minggu ini yang berasaskan pengorbanan, perlu dijadikan pegangan hidup seluruh rakyat supaya lebih memahami antara satu sama lain.

‘‘Bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang kita sambut yang berteraskan pengorbanan, saya fikir ia wajar dijadikan saluran terbaik bagi seluruh rakyat untuk menghayatinya.

‘‘Nilai-nilai murni yang terdapat dalam erti kata pengorbanan itu patut dimanfaatkan bagi mencapai masa depan lebih gemilang dalam mengangkat martabat negeri dan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Forum Perdana Ehwal Islam yang bertemakan Pengorbanan Menurut Pandangan Islam anjuran USIA Bahagian Tenom dan Badan dakwah Daerah Tenom di Dewan Masyakat Datuk Seri Panglima Antenom, pagi kemarin.

Forum Perdana yang dihadiri lebih dari 1,000 orang masyarakat Islam tersebut turut menyaksikan penyanyi utama kumpulan Nasyid, Raihan Nazree Johan sebagai antara ahli panel forum turut dibantu oleh Ustaz Shahrin Jamaludin, Ustaz Kahar Abdul Rahman dari USIA Pusat dan Ustaz Abdul Razak Haji Hamdin.

Majlis tersebut juga turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Tenom Sariman MF Basir dan Ketua USIA Bahagian Tenom, Paduman Abdul Majid.

Menurut Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom, umat Islam perlu mencontohi pemimpin terdahulu yang sanggup berkorban demi membangunkan negara yang diwarisi sekarang.

Jamawi pada masa sama turut mengingatkan seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik supaya meneruskan amalan korban itu.

‘‘Pengorbanan semua pihak amat penting dalam mencapai kesepakatan jitu bagi membina 1Malaysia yang bermartabat dan bermaruah tinggi,” katanya.

Beliau yakin, jika masyarakat mempunyai penghayatan pengorbanan itu maka tidak mustahil masa depan negara terus cerah dan maju dalam pelbagai bidang.

‘‘Menerusi semangat pengorbanan juga Malaysia akan terus disanjung di seluruh dunia sebagai sebuah negara Islam yang mengamalkan toleransi dan kesaksamaan sejagat yang tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment