Friday 25 November 2011

KAMPUNG GADONG PERLUKAN PUSAT KESIHATAN


Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KERAJAAN digesa melihat secara serius keperluan membina sebuah pusat Kesihatan di kampung Gadong bagi membantu rakyat mendapatkan rawatan terutama bagi penyakit yang memerlukan rawatan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri Lumadan, Kamarlin Haji Ombi ketika menyampaikan Ucapan Perbahasan Bajet Sabah 2012 pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini kemarin berkata terdapat keperluan mendesak bagi mendirikan sebuah Pusat Kesihatan di kampung Gadong; yang bukan sahaja memberikan kemudahan kesihatan kepada penduduk di kampung tersebut namun turut melibatkan kampung-kampung lain yang berhampiran.

“Dengan adanya Pusat Kesihatan di kampung ini, penduduk di kawasan ini dan sekitarnya tidak perlu lagi ke Hospital Daerah Beaufort yang jarak perjalanannya memakan masa bagi mendapatkan rawatan, terutamanya bagi kes kecemasan yang memerlukan rawatan segara,“ katanya.

Menurut beliau, setakat ini hanya terdapat sebuah Pusat kesihatan di Kampung Padas Damit yang jaraknya lebih kurang sama jauhnya ke Hospital Pekan Beaufort.

Semasa membahaskan ucapan bajet itu, Kamarlin yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian Sipitang berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula cadangan mendirikan Balai Bomba di kawasan Gadong, khusus untuk menangangi kes kebakaran di kawasan tersebut dan juga persekitarannya kerana pada ketika ini bergantung penuh kepada Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat dari Pekan Beaufort.

"Kedudukan Gadong yang terletak di tengah-tengah ini amat sesuai didirikan Balai Bomba, paling tidak pun Balai Bomba Mini bagi menangani kes kebakaran dan juga kecemasan yang ketika ini hanya bergantung kepada perkhidmatan yang didatangkan dari Balai Bomba Beaufort yang sudah tentu akan memakan masa perjalanan ke kawasan ini jika berlaku kes-kes kebakaran dan kecemasan lain," jelas Kamarlin.

Turut disentuh dalam ucapan ketika membahaskan ucapan bajet tersebut beliau juga meminta kerajaan mengembalikan tugas dan tanggungjawab bagi memperbaiki jalanaraya kepada pihak Jabatan Kerja Raya bagi memperbaiki beberapa buah batang jalanraya di berapa buah kampung di kawasan tersebut yang sering kali mengalami kerosakkan ekoran masalah banjir.

Menurutnya apa yang mendukacita ketika ini syarikat swasta yang diamanahkan oleh kerajaan untuk memperbaiki jalan-jalan terlibat memakan masa dan ada ketikanya tidak melaksanakan tugas mereka sehingga membangkitkan kemarahan kepada penduduk kampung.

No comments:

Post a Comment