Thursday 10 November 2011

PENDUDUK TAI FUI YIN TIDAK KENAL YB MEREKA?




Oleh : CHANG SHAK HUNG

PENDUDUK Taman Tai Fui Yin, Batu 8, Sandakan, telah mengadu beberapa isu setempat kepada Sabahkini.net, terutama berhubung keselamatan harta benda dan kejadian pecah rumah yang sering berlaku.

Kelmarin dahulu, Sabahkini.net telah mengadakan tinjauan ke taman berkenaan dan mendapati antara isu penting yang menjadi igauan ngeri penduduk adalah berhubung dengan sebuah jambatan yang menjadi laluan pencuri yang memecah masuk rumah penduduk di taman berkenaan.

Menurut penduduk yang membuat aduan kepada Sabahkini.net, pernah ada kejadian pencuri dapat meloloskan diri dengan melalui jambatan ini apabila dikejar pasukan kenderaan peronda polis.

“Bukan itu sahaja, jambatan usang ini dijadikan laluan utama untuk pendatang asing dan ini memberi ketidakselesaan kepada penduduk di tempat berkenaan,” kata seorang penduduk, Wong.

Selain isu keselamatan yang dibangkitkan, dinding longkang yang runtuh telah menyebabkan aliran air tersekat dan ia bertambah buruk lagi apabila pihak kontraktor memotong rumput yang hanya membiarkan rumput yang telah dipotong dibiarkan di dalam longkang tersebut.

Kesemua aduan yang dibangkitkan oleh pengadu telahpun diajukan kepada pihak Majlis Perbandaran Sandakan melalui e-aduan dan kira-kira pukul 10 pagi pada 9 November 2011, Sabahkini.net telah menerima maklum balas melalui email bahawa permasalahan ini telah diajukan kepada Jurutera Perbandaran Kanan dan Ketua Merinyu Perbandaran untuk tindakan lanjut.

Sabahkini.net agak terkejut kerana penduduk di taman berkenaan, tidak mengetahui siapa Wakil Rakyat yang menjaga kawasan ini memandangkan langsung tidak nampak batang hidung mereka; apatah lagi apabila terdapat masalah yang hendak diajukan, ke mana Wakil Rakyat mahupun Pemaju Masyarakat, Pemaju Mukim atau Pengerusi JKDB yang boleh membantu menyelesaikan permasalah mereka?

Jangan lupa, gaji mereka ini dibayar daripada keringat rakyat yang mereka khianati dan janganlah mengabaikan tanggungjawab dalam membantu rakyat yang memerlukan perhatian, terutama berhubung isu keselamatan.

No comments:

Post a Comment