Friday 4 November 2011

RAKYAT SABAH PERLUKAN WADAH POLITIK



Oleh : ABDULLAHSANI HAJI ABDUL SALLEH

SEMPENA Hari Raya Korban ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil-Adha kepada semua umat Islam; khasnya warga USNO di seluruh Sabah supaya terus berkorban dan meneruskan perjuangan untuk kewujudan USNO semula di Negeri ini.

Marilah kita sama sama berjihad ke arah memperjuangkan keadilan sosial bagi umat Islam di Negeri ini supaya benar-benar bebas dan merdeka secara mutlak.

Di samping itu kami mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Umat Islam yang sedang mengerjakan haji pada masa ini di Mekah, Arab Saudi semoga mereka selamat kembali ke tanah air, selepas hari raya korban ini. Amin dan Allahuakbar!

Asas kepada Kermerdekaan Rakyat Sabah pada 1963, didokong oleh tiga kumpulan kaum di Wilayah Sabah yang diwakili oleh Parti-Parti Politik, Islam, Bukan Islam dan Cina atau USNO, UNKO dan SCA.

Ketiadaan USNO dalam arena politik Sabah, telah menyebabkan ideologi politik bumiputera Islam di negeri ini terumbang-ambing dan diletakkan dalam keadaan serba salah; serta menjadi mangsa percaturan politik nasional.

Mereka terpaksa memilih parti-parti berlandaskan Islam dari luar dari Semenanjung seperti UMNO, PAS dan Keadilan; sebagai tempat berlindung, walaupun terasa pahit untuk ditelan dan sukar untuk diterima sebagai landasan perjuangan rakyat negeri ini, setelah USNO dibubarkan dengan cara penuh dramatik.

Cubaan untuk mendaftarkan parti itu terus menghadapi jalan buntu disebabkan adanya niat jahat beberapa pemimpin yang berkepentingan untuk menjadikan Bumiputera Islam rakyat negeri ini sebagai aset dan ‘fix-deposit’ politik mereka dari Semenanjung Malaysia.

Sedar atau tidak sedar, pada hari ini TYT atau Tuan Yang Terutama Negeri Sabah dilantik atas Nasihat Presiden UMNO melalui Ketua Menteri Sabah yang menjadi Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah.

Jesteru itu, kedaulatan Bumiputera Islam di Sabah tidak lagi ditentukan secara mutlak oleh rakyat Sabah, walhal Ketua Negeri Sabah mestilah beragama Islam untuk menjadikannya seorang TYT atau Yang DiPertua Negara sejak Negeri Sabah Merdeka dari jajahan British.

Perlantikan TYT Negeri Sabah ditentukan atas nasihat Ketua Menteri Sabah yang amat berbeza dengan Perlantikan DYMM Yang DiPetuan Agong ditentutkan oleh Majlis Raja Raja secara bergilir.

Oleh yang demikian, bagi menjamin kedaulatan Bumiputera Islam Negeri Sabah terus kekal dan mulia maka sudah seharusnya rakyat Negeri Sabah mempunyai sebuah parti politik yang berlandaskan Bumiputera Islam bagi mewakili mereka di negeri Sabah sebagai mana USNO dahulu.

Selaku Naib Presiden Penaja USNO, saya menggesa Pendaftar Pertubuhan Malaysia dan Kerajaan Persekutuan supaya meluluskan penubuhan sebuah Parti Politik berlandaskan Bumiputera Islam sebagai hadiah diberikan kepada Rakyat Sabah bagi menentukan kedaulatan Bumiputera Islam Sabah terus terjamin pada masa ini dan akan datang; bukan tidak terus, seperti mana pada hari ini.

USNO adalah pilihan kami bagi meneruskan perjuangan dan melindungi kedaulatan kami di negeri ini, apatah lagi bumiputera Islam dari Sabah amat mencemburui Orang Melayu Islam di Semenanjung Malaysia yang memiliki UMNO dan PAS sebagai landasan perjuangan mereka dan melindungi masa hadapan mereka; kami juga mencemburui orang Islam dan Melayu Sarawak yang memiliki PBB untuk masa depan mereka.

Kami Rakyat Negeri Sabah dari rumpun Melayu Islam menuntut keadilan dan kesamarataan bagi memenuhi impian dan aspirasi kemerdekaan negara ini yang dibentuk melalui Gabungan Tiga Wilayah iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung seharusnya memiliki apa yang dimiliki oleh dua wilayah gabungan persekutuan itu.

Rakyat Sabah khasnya Bumiputera Isam, harus bangkit berjihad untuk memperjuangkan hak mereka dalam politik dengan mendapatkan sebuah parti Politik bagi rakyat Sabah yang berlandaskan Bumiputera Islam dan jangan menjadi kuda tunggangan; serta membenarkan diri meraka sebagai ‘Pelacur Politik Islam’ dari Sabah di dalam negara ini.

Kita menghormati dan bersedia menerima politik berbilang kaum atau ‘Multi Racial’ di negara ini di samping mengekalkan asas dan kontrak sosial politik perkauman dan berunsurkan keagamaan.

Oleh itu, marilah kita sama-sama menjaga dan memelihara kemerdekaan ini dengan memberikan kebebasan dan keadilan mutlak yang pernah kita persetujui bersama semasa kita membentuk negara ini.

Salam Hormat.

No comments:

Post a Comment