Monday 21 November 2011

SABAH SEMAKIN BAIK DENGAN BAJET 2012



Oleh : NEWMOND TIBIN

BAJET 2012 Sabah disediakan dengan begitu baik oleh Barisan Nasional di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan pasukannya, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) Jemil Sidah.

Beliau berkata bajet RM4 bilion itu bukan sahaja belanjawan negeri tertinggi sejak 1963 tetapi juga yang terbaik dari segi peruntukan pembangunan.

Jemil, yang menyifatkan Musa sebagai arkitek bagi bajet tahun depan itu berkata Ketua Menteri itu telah menangani beberapa masalah yang terdapat di kawasan bandar dan pedalaman Sabah, dengan memperuntukan sejumlah RM459 juta untuk prasarana bekalan air sahaja.

"Ramai yang tinggal di kawasan pedalaman yang tidak mendapat bekalan air bersih, kini boleh menarik nafas lega setelah Sabah bakal menikmati bekalan air bersih, setanding dengan negeri lain di Semenanjung," kata beliau kepada Bernama di sini.

Beliau berharap nelayan yang tinggal di pulau-pulau dan pinggir pantai Sabah, yang mempunyai bekalan air yang terhad, tidak akan ketinggalan dalam prasarana berkenaan.

"USBO mengakui bahawa Sabah mempunyai jumlah penduduk di pulau dan pinggir pantai antara yang teramai di Malaysia termasuk "palauh" atau gipsi laut," katanya.

Jemil berkata USBO juga gembira Ketua Menteri telah memperuntukkan RM271 juta bagi membina kebanyakannya jalan luar bandar tahun depan.

"Ini tentunya akan meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti ekonomi penduduk di kawasan luar bandar.

"Sejumlah RM336 juta diperuntukkan untuk pembangunan pertanian juga tepat pada masanya memandangkan terdapat keperluan rangsangan untuk meningkatkan pertumbuhan dalam sektor berkenaan," katanya.

USBO juga memuji kebijaksanaan Musa, meskipun berdepan dengan pelbagai faktor dalaman dan luaran, seperti daripada pemimpin pembangkang, tetap dapat memacu negeri itu pada kedudukan kewangan yang kukuh.

"Ini bukan suatu kebetulan yang kita telah capai "keajaiban ekonomi", kita boleh katakan bahawa ia adalah hasil kerja keras dan kepintaran Ketua Menteri kita yang mahu melihat rakyat Sabah mendapat apa yang sepatutnya," kata Jemil.

Beliau berkata Sabah, di bawah kepimpinan Musa sejak 2003, mendapat pujian positif daripada Ketua Audit Negara.

Sabah mendapat penarafan tertinggi, AAA oleh RAM Ratings Services Bhd dan pensijilan ISO oleh Moodys International di atas kecekapan dan pengurusan belanjawan negeri yang baik kedua-duanya dalam tempoh tiga tahun berturut-turut.

Jemil berkata selain itu, Sabah kini mempunyai rizab melebihi RM3 bilion manakala hasil negeri melebihi RM4 bilion, lebihan berjumlah RM730 juta dan perbelanjaan pembangunan pada RM1.17 bilion.

Beliau yakin Musa dan barisan pasukannya tidak akan mengecewakan Sabah dan rakyatnya yang mengharapkan masa depan yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment