Tuesday 8 November 2011

SEMAKIN RAMAI BUMIPUTERA SERTAI SAPP



SERAH…..Sumat Tassan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden SAPP.

PARTI Maju Sabah (SAPP) CLC Lumadan menerima penyertaan dua buah Cawangan baru yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO di satu majlis kenduri bersama penduduk Kampung Bangkalalak, 63 kilometer dari Pekan Beaufort.

Mengetuai penyertaan tersebut ialah Sumat Bin Tassan yang mengumumkan keluar dari UMNO dan menyertai SAPP sementara sebuah cawangan lagi diketuai oleh Mail Duraman.

Turut menyertai SAPP pada harti tersebut ialah Mantan Calon PBS Lumadan dan mantan AJK Bahagian UMNO Sipitang, Hj. Yusop Judin yang melahirkan rasa kecewa dengan kepimpinan UMNO pada hari ini.

Beliau yang berucap mewakili Sumat dan Mail berkata, sudah tiba masa rakyat di Lumadan membuat perubahan dan menyokong parti tempatan SAPP.

Menurutnya lagi, selama bertahun-tahun UMNO memegang tampuk kerajaan, keadaan hidup masyarakat semakin sukar dan banyak ketinggalan dari segi pembangunan.

“Tidak perlu lagi berdolak-dalik dan sokonglah parti tempatan yang lebih jelas perjuangannya untuk membimbing rakyat ke arah kemajuan tanpa prejudis,” tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi CLC Lumadan, Jamain Sarudin melahirkan rasa terharu kerana baru sahaja dilantik mengetuai CLC tersebut dan menerima tugas berat tetapi sudah mendapat tenaga baru dari orang yang berpengalaman seperti Hj. Yusop Judin serta Hj Said Masi.

Katanya, gabungan pemimpin muda seperti Sumat dan pemimpin sedia ada, dengan orang berpengalaman sudah tentu menjadikan pasukan Lumadan akan bertambah kekuatannya. Beliau seterusnya berkata beberapa cawangan lain akan ditubuhkan dalam masa terdekat di beberapa Daerah Mengundi lagi.

BERGABUNG…..Hj Yusop Judin mantan Calon PBS/AJK Bahagian UMNO Sipitang berucap dan mengumumkan menyertai SAPP.

Majlis kenduri tersebut telah mendapat tentangan daripada UMNO apabila satu majlis penyampaian KWAMP yang dijadualkan pada 16/11/2011 telah dipercepatkan bagi menghalang perjumpaan yang dilakukan oleh SAPP.

Dalam hal ini, Hj. Yusop Judin menggambarkan UMNO dan wakil rakyatnya takut kepada bayang-bayang sendiri.

Dalam pada itu, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berkata, perubahan perlu dilakukan, kerana kerajaan yang ada sekarang ini masih dibuai mimpi dan tidak mengendahkan kebajikan rakyat.

Kegagalan pemimpin UMNO menangani isu-isu dan kehendak rakyat, kata Yong, amat jelas dan pada masa sekarang mereka hanya pandai mengumumkan peruntukan berjuta dan berbillion ringgit untuk mengindahkan ucapan sahaja, tetapi hakikatnya umum mengetahui kerajaan yang ada sekarang bakal ‘muflis’ kerana perancangan kewangan yang tidak menentu, seperti yang diucapkan sendiri oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Idris Jala.

Turut berucap di majlis tersebut ialah Penasihat SAPP, Datuk Hj Mohd Noor Mansor, yang mempunyai banyak kenangan di Bangkalalak kerana pernah merasmikan Masjid Bangkalalak suatu ketika dahulu semasa menjadi Menteri Kewangan; Timbalan Presiden Hj Amdee Sidek; Naib Presiden Jaafar Hj ismail; Pengerusi CLC Membakut Thomas Chong dan Ahli Majlis Tertinggi daripada Tawau C.K. Yong dan Naib Pengerusi Sindumin, Kamis Daming turut hadir.

No comments:

Post a Comment