Wednesday 16 November 2011

SESB MATERAI MOU DENGAN USM



SABAH Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (CETREE) Universiti Sains Malaysia (USM) menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kecekapan tenaga dengan menggunakan kos yang rendah.

Majlis menandatangani perjanjian dilakukan di sini Selasa dengan SESB diwakili Pengurus Besar Kanannya Ir Abdul Razak Salim, manakala CETREE USM oleh Naib Canselor universiti berkenaan Prof Datuk Omar Osman.

Majlis ini disaksikan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah.

Perjanjian itu akan mewujudkan kerjasama dalam merancang dan menentukan langkah yang perlu diambil dalam meningkatkan kecekapan tenaga dengan penggunaan kos yang rendah.

Ia juga bagi memindahkan kepakaran dalam bidang pembekalan tenaga khususnya bagi kesinambungan dan pembangunan kelestarian negeri ini.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Omar berkata pemilihan SESB sebagai rakan membangun tenaga yang dilihat sebagai agen pembangunan negeri yang mampu memberi perkongsian kepakaran tenaga dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Katanya, Sabah yang kaya dengan biodiversiti akan membolehkan USM mempelajari sesuatu yang baru dalam meningkatkan kesedaran dalam pengurusan tenaga dan diversiti.

"Kepakaran SESB dalam menerokai pembangunan di negeri ini juga menjadi aset penting negeri yang juga boleh dijadikan contoh untuk dipelajari oleh USM," katanya.

Tan menyifatkan kerjasama SESB dan USM itu selari dengan usaha kerajaan memberi fokus kepada tenaga hijau yang mampu meningkatkan pengeluaran tenaga di samping mengurangkan pembaziran tenaga.

Menerusi program kecekapan tenaga, katanya bukan sahaja perlu diperluaskan kepada pihak berkepentingan sebaliknya juga penting kepada masyarakat agar memperoleh pengetahuan berkenaan bagi mengurangkan pembaziran tenaga. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment