Wednesday 2 November 2011

UNDANG-UNDANG ADAT MASIH SEBATI



KEWUJUDAN Mahkamah Anak Negeri melambangkan keunikan Sabah yang masih mengiktiraf dan memelihara undang-undang anak negeri, kata Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Zakaria Edris.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus mempertahankan kewujudan mahkamah itu dan mencari jalan untuk penambahbaikan bagi memartabatkan undang-undang adat penduduk negeri itu.

"Kita beruntung kerana banyak komuniti asal di negara lain tidak lagi dibenarkan mengamalkan undang-undang resam tetapi kita masih mengekalkannya," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Taklimat Fungsi Mahkamah Anak Negeri di sini Selasa.

Seramai 70 orang terdiri ketua daerah, ketua anak negeri (KAN), wakil KAN dan ketua kampung hadir pada taklimat itu yang memfokuskan kepada penerangan terperinci fungsi dan bidang kuasa mahkamah anak negeri.

Zakaria berkata mahkamah anak negeri di setiap daerah mengendalikan pelbagai kes antaranya yang membabitkan kesalahan seperti pelanggaran adat, penceraian, tuntutan waris tanah, menjatuhkan maruah, menganggu kubur, gagal membayar hantaran kahwin dan berpoligami.

Beliau berkata dalam mengendalikan kes tersebut, mereka yang diberi kuasa termasuk ketua kampung perlu mengadakan siasatan terhadap punca sesuatu kes itu sebelum hukuman dalam bentuk denda atau sogit dikenakan kepada pesalah. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment