Saturday, 10 March 2012

IC PALSU : BERKILAU BUKANNYA BERLIAN

Oleh : MUTALIB M.D

YANG berkilau bukannya berlian, mungkin kaca atau permata tiruan. Lazimnya kita tertipu oleh pandangan mata yang memukau sehingga mempercayai apa yang dilihat oleh mata umpama sebuah fatamorgana di padang datar yang maha luas. Dari jauh kelihatan berbalam air, namun apabila didekati hanyalah sebuah ilusi.

Mengikut Ken Keys Jr., "Bersusah hati tentang apa yang tidak anda miliki adalah membazirkan apa yang anda miliki".

Memandangkan kad pengenalan bagai permata di zaman ini, namun kilauannya memantulkan kepalsuan yang menyaksikan ramai orang digiring ke balai polis dan menaiki bas atau trak percuma ke kem tahanan sementara sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.

Namun ada yang terlepas daripada terjebak kerana 'hak' undi ada di tangan mereka, tambahan pula mereka mempunyai rekod dengan pihak yang mengeluarkan kad pengenalan tersebut.

Ramai di antara mereka yang baru setahun dua mendarat di Sabah sudah mendapat kad pengenalan dan paling melucukan ada di antara mereka yang tidak faham apa itu kad pengenalan, melainkan hanya menyebut kertas tersebut sebagai kertas atau pas.

Pernah terjadi satu insiden di 'halangan jalan' pemeriksaan polis di kawasan selekoh berbahaya ysng terlindung di Lebuh Raya Lahad Datu-Kunak. Saya menumpang sebuah 'wagon' untuk ke Tawau bersama lapan orang penumpang lain.

Seorang konstabel polis meminta semua penumpang menunjukkan identiti masing-masing. Saya hairan bagaimana sekatan dilakukan tanpa pengawasan pegawai atasan.

Seorang penumpang berbangsa Bugis kelihatan bersahaja apabila diminta mengeluarkan dokumen pengenalan diri dan terjadilah dialog ini yang saya rakamkan di buku ini untuk tatapan pembaca.

Konstabel : Mana pas kamu?

Lelaki Bugis: Ada Puang...

Konstabel: Ini KTP (Kartu Tetap Penduduk Indonesia) bukan KPT.

Lelaki Bugis: Eh...salah palek. Ini Puang...

Konstabel: Ini salinan. Mana original?

Lelaki Bugis: Ada Puang, tapi maaf, kena tinggal di rumah Puang.

Konstabel: Ada lain-lain dokumen?

Lelaki Bugis: Ini Puang...

Konstabel: Ini slip mengundi. Saya mahu tengok pas, mana pas?

Lelaki Bugis: Ada paspok (pasport) Puang, barusan palek aku ambil tadi.

Konstabel: Turun...

Lelaki Bugis: Tapi Puang...

Konstabel: Turun...

Lelaki Bugis: Ini ada sijil UMNO Puang...

Konstabel: Oh! Kau ingat kau boleh jual saya (agak berang), Turun...

Lelaki Bugis:Tolong Puang...

Konstabel:Turun...

Selepas itu kami melanjutkan perjalanan ke Tawau dihiasi dengan sumpah seranah pemandu wagon kerana kerugian RM 15 apabila penumpang yang ditahan polis tidak membayar tambang.

Seminggu kemudian saya terserempak dengan anggota polis berkenaan sedang bersarapan pagi di sebuah restoran bersama kawan rapat saya seorang inspektor polis. Setelah selesai minum saya berpura-pura bertanyakan perihal lelaki Bugis yang ditahannya dalam satu sekatan jalanraya tempoh hari.

Konstabel tersebut tiba-tiba berang dan menyumpah seranah, "babi betul". Saya tanya "kenapa?".

Katanya, "adakah patut, aku tahan lelaki itu kerana dia memiliki dokumen palsu, tapi aku punya boss kasi lepas sama dia. Punya bebulu betul. Kelmarin dia hon aku. Dia bawa Ninja Turtle pulak tu. Rupanya wakil rakyat minta bebaskan kerana penyokong kuat dia. Habis kami gadai nyawa buat apa? Aku fed-up betul. Aku ambil cuti satu minggu. Lepaskan tension."

Ramai di antara mereka yang tidak tahu nama mereka di dalam kad pengenalan tersebut dan tidak ingat nombor kad pengenalan mereka walaupun hanya tujuh digit.

Paling mengejutkan ada sesetengah pemegang KPT lupa tarikh lahir mereka walaupun tarikh lahir mereka tercatat di KPT tersebut sebagai enam digit awal dan tempat lahir mereka pada dua digit berikutnya dan identiti mereka hanyalah empat nombor akhir.

Paling pelik mereka yang 'beriktikaf' di kedai judi empat ekor, boleh lupa empat digit nombor KPT mereka sedangkan mereka terlalu fasih dan lancar menghafal 'Kitab 52' dan 'Khatam 4 ekor' dan Sport Toto; malah selamba sahaja mengakui mereka lahir di Filipina atau Indonesia, sedangkan KPT mereka tercatat angka 12, iaitu Sabah.

Lebih ajaib lagi, mereka inilah pengundi yang paling setia menunggu habuan di pondok undi atau pejabat parti sewaktu pilihanraya, sebelum memangkah di atas kertas undi yang tidak layak mereka pegang.

Sejarah kad pengenalan biru di Sabah bermula pada tahun 1972. Kad pengenalan yang dikeluarkan untuk rakyat Sabah ialah H 0000001 iaitu milik Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun sehinggalah kepada H 0900000 sebelum Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) yang juga mengandungi huruf H.

Mengikut penyelidikan yang saya buat, terdapat tidak kurang daripada 322,903 kad pengenalan yang dikeluarkan tidak melalui proses undang-undang dan dikhuatiri palsu, klon dan duplikasi untuk tujuan politik, ekonomi dan pelbagai motif yang tersirat.

Berikut dinyatakan nombor-nombor kad pengenalan tersebut yang ternyata bukan dimiliki oleh rakyat tempatan atau bumipureta, melainkan bercirikan 'langit putera' ataupun 'anak buluh betung'.

Nombor Siri Kad Pengenalan Biru Jumlah

H 0288001 hingga H 0384000 96, 000

H 0480001 hingga H 0576000 96, 000

H 0536200 hingga H 0666200 130, 000

H 0666201 hingga H 0666270 69

H 0609601 hingga H 0609620 19

H 0609801 hingga H 0609961 160

H 0658001 hingga H 0658076 75

H 0658400 hingga H 0658600 200

H 0658601 hingga H 0658782 181

H 0658801 hingga H 0659000 199

Jumlah 322,903

Daripada jumlah tersebut hanya 16,696 kad sahaja yang telah disahkan kad pengenalan palsu dan makluman telah diedarkan kesemua pintu masuk utama ke negara ini dan kepada pihak keselamatan.

Nombor Siri Kad Pengenalan Biru Jumlah

H 0492001 hingga H 0494500 2, 499

H 0539801 hingga H 0539999 198

H 0540001 hingga H 0553999 13, 996

Jumlah 16, 693

Manakala 211,956 kad pengenalan masih menjadi 'misteri' dan tandatanya kerana dikeluarkan kepada mereka yang tidak layak tetapi diakui 'boleh pakai'. Pihak berkuasa turut mengesahkan kad pengenalan tersebut boleh digunakan untuk tujuan pilihanraya sahaja dan bukannya untuk tujuan lain.

Mereka ini berjaya menukar kad pengenalan mereka kepada KPT berdasarkan data yang tercatat di dalam kad pengenalan lama tersebut.

Nombor Siri Kad Pengenalan Biru Jumlah

H 0510000 hingga H 0529996 19, 996

H 0530000 hingga H 0563998 33, 996

H 0352035 hingga H 0509999 157, 964

Jumlah 211, 956

Saya kemukakan dua contoh warganegara asing yang berjaya memiliki kad pengenalan projek yang ditaja oleh kerajaan sehingga mendapat KPT yang kononnya mempunyai ciri-ciri keselamatan dan memerlukan kos sehingga RM 114, 000 untuk memalsukan sekeping KPT.

Tetapi para PTI lebih genius dengan memalsukan dokumen peribadi mereka dengan 'ehsan' para pegawai pendaftaran untuk mendapat KPT yang tulen.

Kes Pertama:

Sukarno Bin Sakandal yang berasal daripada Simunul, Filipina telah bernikah dengan Salma @ Salmah Bte Katario juga daripada Simunul di Kg. Gelam, Sandakan pada 12 Julai 1976.

Pernikahan mereka didaftarkan di Pejabat Majlis Agama Islam Sandakan pada 14 Julai 1976 dan diberi nombor daftar 362/76. Ketika dinikahkan Sukarno dan Salma memegang pasport Filipina masing-masing 504570 dan 48551.

Pada 7 Mac 1977, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki yang bernama Abdillah. Abdillah dilahirkan di Hospital Duchess Of Kent Sandakan dan mendapat surat lahir bernombor 879/77. Bagaimanapun, dokumen diri ibu dan bapa Abdillah tidak dicatatkan di dalam surat lahirnya.

Sukarno mendapat seorang lagi cahaya mata lelaki pada 17 Januari 1978 yang dilahirkan di hospital yang sama dan diberi nama Ranu. Ranu didaftarkan surat lahir yang bernombor 1789/78. Bagaimanapun, dokumen diri bapa dan ibu Ranu masing-masing 504570 dan 48551 dicatatkan di dalam surat lahirnya.

Pada 15 Januari 1979, isteri Sukarno, Salma Katario melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Rini dan didaftarkan surat lahir bernombor 430/79. Dokumen diri bapa dan ibu Rini turut didaftarkan di dalam surat lahir Rini sama seperti abangnya, Ranu.

Saya tidak dapat mengenalpasti bila dan bagaimana Sukarno dan Salma mendapat kad pengenalan biru masing-masing H 0325929 dan H 0325941, namun saya menganggarkan sekitar tahun 1989 menjelang pilihanraya umum 1990.

Bagaimanapun, pada 29 April 1993, Sukarno telah membuat permohonan mendapatkan cabutan salinan sijil lahir anaknya, Abdillah dan Ranu. Nombor kad pengenalan Sukarno dikesan tercatat di cabutan salinan kedua-dua sijil lahir anaknya, iaitu H 0325929.

Pada 4 April 1996, Jabatan Pendaftaran Negara telah mengeluarkan KPT kepada Sukarno dengan nombor 470209-12-5207 yang turut mencatatkan nombor kad pengenalan birunya H 0325929.

Bagaimanapun, didapati Sukarno memendekkan namanya sebagai Karno Bin Sahkandal dan mencatatkan alamat beliau di Kampung Bakarah, Peti Surat 68, 90008 Sandakan.

Salmah juga turut diluluskan KPT bernombor 571025-12-5336 pada 22 Julai 1996 dan menukarkan namanya daripada Salmah @ Salma Katario kepada Sarming Binti Katario. Kad Pengenalan Birunya, H 0325941 turut dicatatkan bersama alamatnya di Jambatan E, Kampung BDC, 90000 Sandakan.

Kes Kedua:

Abu Nawar Bin Aswar pada mulanya buruh kasar dan kini merupakan seorang kontraktor pertanian di FELDA Sahabat Lahad Datu. Melalui surat lahir anaknya, Haerul Anwar yang dicap 'Daftar Orang Asing', saya mengesan Abu Nawar memegang pasport Indonesia bernombor 278470 dan isteri Abu Nawar, Hasnawati Muin, tidak memegang sebarang dokumen pengenalan diri.

Haerul Anwar dilahirkan pada 20 Oktober 1989 di Kampung Panji, Lahad Datu dan diberi surat lahir bernombor 3103/89.

Saya sendiri tidak dapat mengenalpasti bagaimana dan tarikh sebenar Abu Nawar boleh memperoleh dua kad pengenalan iaitu masing-masing H0502717 dan H0491369.

Kedua-dua kad pengenalan tersebut telah digunakan untuk mengundi dalam pilihanraya umum DUN Sabah 1994 dan parlimen 1995 masing-masing di Lahad Datu Bandar 163/42/15/007 dan di Sepagaya 163/42/02/001.

Melalui kad pengenalan H 0491369 Abu Nawar berjaya memiliki KPT bernombor 600407-12-5411 yang dikeluarkan pada 19 Oktober 1995.

Kemungkinan Abu Nawar turut memiliki satu lagi KPT melalui kad pengenalan biru H0502717 yang disyaki kad pengenalan projek yang ditaja oleh sebuah parti politik.

Isteri Abu Nawar, Hasnawati Binti Muin turut mendapatkan kad pengenalan projek bernombor H0502781 dan telah menukarkan kad pengenalan tersebut dengan KPT pada 23 Februari 1997 di Pejabat Pedaftaran Lahad Datu melalui resit JPN 1/22 bernombor 1204777.

Hanya pejabat JPN Lahad Datu sahaja boleh memberikan jawapan bagaimana Hasnawati mendapat KP biru dan kini sedang memohon KPT.

Hasnawati telah membuat satu surat sumpah di hadapan Majistret Ahmad Bin Samsuri pada 20 Jun 1995 yang isi kandungannya seperti berikut:

Saya bernama di atas ini mengaku memiliki kad pengenalan yang ada saya nyatakan di atas tersebut (H0502781-Biru) dan saya mengaku anak yang bernama Herni Kawana Bte Abu Nawar pada 09.12.1987 Kampung Puyut, Lahad Datu.

Bapanya bernama Abu Nawar Bin Aswar K/P H0491369 (Bugis). Ibunya bernama Hasnawati Binti Muin K/P H0502781 (Biru) dan saya mengaku bapanya ada dalam camp Ladang Permai Jalan Tungku Lahad Datu.

Tujuan saya membuat surat sumaph ini, bahawa anak saya tidak punya sijil kelahiran dan anak saya hendak masuk sekolah pada tahun depan ini di Sekolah Rendah Kerajaan Lahad Datu.

Dan saya mengaku berkata benar apa yang saya telah nyatakan dalam surat sumpah berkenaan adalah benar belaka.

Manakala anak pertama Hasnawati, Haerul Anwar terpaksa menjelaskan yuran persekolahan mengikut kadar yang dikenakan kepada pendatang asing kerana surat lahir anaknya dicap 'Daftar Orang Asing'.

Saya rasa tidak lengkap sekiranya tidak mengemukakan beberapa kes istimewa rakyat asing yang memperolehi surat lahir yang dicap sebagai daftar lewat dan seterusnya memperoleh kad pengenalan. Dua contoh berikut sudah memadai untuk tatapan pembaca.

Kes Pertama:

Seorang warga Indonesia, Rahman Bin Ibrahim yang berasal dari Sulawesi Selatan telah menyerahkan kepada saya dua keping salinan dokumen peribadi yang diberikan kepadanya oleh satu sindiket yang membawanya ke Sabah untuk bekerja kononnya sebagai penyelia di ladang.

Bagaimanapun, apabila tiba di Sabah, beliau telah dihantar ke FELDA Sahabat pada waktu malam oleh sindiket tersebut, namun beliau dapat melarikan diri daripada menjadi buruh paksa kontraktor pertanian di ladang kelapa sawit milik FELDA pada malam tersebut juga.

Dokumen pengenalan diri yang diberikan kepada Rahman masing-masing Sijil Lahir bernombor 2273/82 dan Resit JPN 1/9 bernombor 3269876.

Resit JPN 1/9 bernombor 3269876 yang kononnya dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Lahad Datu turut mencatatkan dokumen lain sebagai JPN 01736633 yang menyebut Rahman sebagai warganegara Malaysia, walaupun pada dasarnya baru semalam datang daripada Indonesia.

Kini Rahman terpaksa menyorok di Berdekatan Kem Askar Lahad Datu kerana khuatir ditangkap dan disiksa oleh sindiket membekalkan tenaga kerja di FELDA kerana kosnya membawa ke Sabah dan menyediakan dokumen pengenalan diri sejumlah RM1, 200 belum dijelaskan kepada sindiket berkenaan.

Rahman berhasrat untuk pulang ke negara asalnya sekiranya berjaya menjual dokumen pengenalan diri tersebut, jika harga yang ditawarkan mampu membiayai tambangnya dan sedikit wang kocek.

Rahman percaya salah seorang pegawai di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, Andi Saidi Andi Kamaruddin merupakan salah seorang daripada rangkaian sindiket yang menguruskan dokumen pengenalan diri untuknya melalui Pejabat Pendaftaran Lahad Datu.

Kes Kedua:

Seorang belia India, Velutha Mannil Yousaf Abotty yang dilahirkan pada 10 Jun 1971 di Quilandy, Kerala, India telah memohon Visa daripada Kedutaan Malaysia di Madras pada 13 Ogos 1990 dan diluluskan visa bernombor 18282/90 untuk tempoh selama dua bulan.

Yousaf tiba di Singapura pada 7 Ogos 1990 dan berada di sana sehingga 21 Ogos 1990 dengan menggunakan pas lawatan bernombor 2573/B2.

Yousaf ke Kuala Lumpur pada 22 Ogos 1990 dengan menggunakan pasport India S 690334 yang dikeluarkan pada 5 April 1990 di Kozhikode, India.

Yousaf telah mengisi Departure Card bernombor AT 438263 di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dan diberi kebenaran untuk berada di dalam negara ini selama 2 bulan sehingga 21 Oktober 1990 atas lawatan sosial.

Saya tidak tahu bagaimana Yousaf boleh menyusup masuk ke Sabah dan sampai ke Lahad Datu sekitar 1994. Yousaf telah memperoleh surat beranak daftar lewat yang dikeluarkan oleh Dr. Chaw Tet Loong, Pegawai Perubatan Hospital Daerah Semporna bernombor 3870/91 bertarikh 30 April 1991.

Mengikut sijil lahir tersebut, Yousaf telah dilahirkan di Kampung Sungai Nasip Semporna pada 10 Jun 1971. Bapanya Kasim Bin Abdul (India Muslim) dan ibunya Saripa Bte Motok (Melayu).

Melalui sijil lahir tersebut, Yousaf telah berjaya mendaftar kad pengenalan dan diberi resit JPN 1/9 bernombor 7416169 pada 21 Februari 1995 oleh Pejabat Pendaftaran Negara Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, sehingga kini Yousaf belum menerima kad pengenalan tersebut dan hanya memegang resit JPN 1/9 dan sijil lahir 3870/91.

Kini Yousaf @ Yusof Kassim masih menggunakan nama tunangnya alias isterinya, Salmidah Bte Palmaany KP H0480113 untuk memohon lesen berniaga bagi kedua-dua kedainya, Tabanak Store di Kampung Tabanak dan Aman Trading di Taman Aman 11, Lahad Datu.

21 comments:

  1. In view of illegal immigrants is a serious matter and should not be taken lightly by all parties, then it must be resolved immediately.

    ReplyDelete
  2. harap penubuhan RCI dapat diumumkan tarikh perlaksanaannya oleh kerajaan sebelum pilihanraya umum bermula

    ReplyDelete
  3. surely all Sabahans want to know if the sudden increase in the Sabah population in the last decade is related to the huge number of foreigners who might have entered Sabah either legally or illegally and how they managed to obtain MyKads.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Buatlah siasatan kenapa pertambahan penduduk yang mendadak.

      Delete
    2. Penubuhan RCI mungkin boleh mencari penyebab kepada pertambahan penduduk di Sabah secara mendadak. semoga ia dapat ditubuhkan dalam masa yang terdekat ini.

      Delete
  4. buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri/pusat benar-benar prihatin terhadap isu projek IC dan PATI di Sabah

    ReplyDelete
  5. Memandangkan masalah PATI adalah hal yang serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak, maka ia perlu diselesaikan dengan segera.

    ReplyDelete
  6. RCI tidak harus ditangguhkan lagi. Keputusan harus dibuat dalam masa yang singkat.

    ReplyDelete
  7. Masalah PATI lama tangguh di Sabah masih tiada perkembangan lagi. harus juga kerajaan negeri berusaha dan membuktikan bahawa kerajaan memprihatin dengan rakyat di Sabah.

    ReplyDelete
  8. Hairan dari mana golongan ini mendapat mykad?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Mungkin ada salahguna kuasa pihak2 tertentu dalam pemberian Mykad kepada warga asing/PATI. Banyak pihak2 yang terlibat jika didengar dari khabar angin namun bukti2 yang kukuh diperlukan untuk memastikan kebenarannya.

      Delete
  9. Siasatan harus dibuat untuk mencari akar masalah.

    ReplyDelete
  10. dakwaan ini kena disiasat, RCI diperlukan bagi selesaikan masalah berkaitan pati di Sabah. jgnlah biarkan PATI berleluasa di tanah air kita.

    ReplyDelete
  11. Diharapkan masalah pemberian IC yang tidak sah ini kepada warga asing akan diberhentikan.

    ReplyDelete
  12. Harap RCI akan ditubuhkan tidak lama lagi supaya masalah Projek IC dapat disiasat secara lanjut.

    ReplyDelete
  13. Dengan adanya RCI saja yang akan dapat menyiasat perkara mengenai PPROJEK IC. Maka kita tunggu perlaksanaannya nanti ini kerana kerajaan pusat telah meluluskannya.

    ReplyDelete
  14. state government viewed the matter very seriously and was doing all it could to solve it. Hopefully the RCI will be announced soon and can implement

    ReplyDelete
  15. pendatang asing yang datang ke negeri ini dalam masa beberapa tahun boleh membuka perniagaan mereka sendiri.. sebabnya rakyat Sabah terus memberikan mereka peluang untuk berniaga dan menyokong kehadiran mereka di negeri ini..

    ReplyDelete
  16. sejak kebelakangan ini, banyak bukti2 didedahkan oleh Sabahkini.. adakah menteri2 di persekutuan melihat semua bukti2 ini?? rasanya bukti2 ini cukup untuk membuka mata menteri2 di persekutuan untuk menubuhkan RCI pada kadar yang segera..

    ReplyDelete
  17. betul kha jga semua ne.......mcm x pcya la!!!!!!!!!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. kena buat siasatan dulu baru tau betul ka tidak..

      Delete