TERIMA KASIH...Tan Sri Andrew Liew mendahului 27 yang lain menerima Surat Penghargaan yang di sampaikan oleh ACP Rowell.
Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIE S JUMADI
PERINGATAN Hari Polis ke 205 tahun yang bertemakan 'Komuniti Sejahtera, Komitmen Kami' yang diadakan di perkarangan Ibu Pejabat Polis, Batu 1.5, Jalan Pantai pada awal pagi kelmarin mendapat sambutan dengan penuh istiadat kepolisian.
Bersempena sambutan majlis tersebut, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Cawangan Sandakan, Tan Sri Andrew Liew Sui Fatt mendahului senarai seramai 27 orang menerima Surat Penghargaan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disampaikan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Rowell Marong.
Dalam menyampaikan titah ucapan Ketua Polis Negara, Rowell antara lain menjelaskan kejayaan pihak polis membanteras pelbagai kegiatan dan tumpasnya sindiket-sindiket haram adalah hasil kerjasama orang ramai yang memberikan pelbagai maklumat.
“Dari itu kita berharap agar orang awam agar tidak berasa jemu dan bosan memberikan kerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kegiatan jenayah,” ujarnya
Kata Rowell lagi, sejajar dengan tema sambutan hari polis yang ke 205 yang bertajuk 'Komuniti Sejahtera, Komitmen Kami'; maka pihak polis terus berganding bahu dengan masyarakat untuk bekerjasama membanteras aktiviti-aktiviti songsang.
POTONG KEK....ACP Rowell memotong kek sebagai simbolik perasmian Hari Polis ke 205.
PERIKSA .......ACP Rowell sedang memeriksa kawat perbarisan oleh anggota-anggotanya.
Rowell juga mengucapkan terima kasih kepada orang ramai khususnya pihak media yang banyak membantu kepada PDRM menyalurkan maklumat yang berkaitan jenayah di sesuatu tempat.
Katanya lagi, dengan kecekapan dan kepantasan anggota polis menangani kegiatan jenayah berat di satu-satu kawasan menjurus kepada pengurangan kadar jenayah di daerah ini.
Turut hadir pada majlis tersebut ADUN Elopura Au Kam Wah; ADUN Gum-Gum Datuk Hj Zakaria Hj Edris dan Ahli Parlimen Batu Sapi Datin Linda Tsen Thau Lin dan para pegawai kerajaan negeri dan persekutuan.
No comments:
Post a Comment