Monday, 26 March 2012

PROGRAM KIR BELURAN GAGAL



ANGGOTA Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee, kesal dengan pelaksanaan Program Peningkatan Ekonomi Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin dan Miskin Tegar di daerah Beluran yang gagal mencapai matlamatnya.

Menurut beliau, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Negeri (KPLB) memperuntukkan hampir RM4 juta untuk melaksanakan program itu yang antaranya membabitkan program penternakan ikan dalam sangkar, ikan dalam kolam, penternakan ayam, itik serta madu dan lebah.

Katanya, projek itu hanya pada peringkat pelaksanaan tetapi gagal mencapai matlamatnya untuk membawa keluarga KIR dari belenggu kemiskinan.

“Pada masa sekarang, kebanyakan program yang telah dilaksanakan itu hanya tinggal sangkar,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan 1Azam Jabatan Perikanan Sabah dan Program Sokongan Peningkatan Ekonomi di Beluran, kelmarin.

Seramai 55 menerima bantuan 1AZAM berupa peralatan untuk menangkap ikan dan 12 lagi program sokongan peningkatan ekonomi dengan keseluruhan membabitkan peruntukan RM600,000.

Ronald yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata pelaksanaan program peningkatan ekonomi KIR yang gagal itu antaranya dilaksanakan di Pulau Tatabuan membabitkan penternakan ikan dalam sangkar, penternakan itik di Paitan, penternakan ayam di Kampung Timbulus Sugut, penternakan madu dan lebah di Batangon Laut dan Batangon Darat serta ikan dalam kolam di Paitan.

Menurutnya, pelaksanaan program itu perlu dilihat semula bagi memastikan peruntukan yang dikeluarkan tidak merugikan terutama membawa golongan sasar keluar dari belenggu kemiskinan.

Katanya, kegagalan program itu antaranya disebabkan kurangnya penyeliaan dan latihan membabitkan peserta serta agensi pelaksana.

Sehubungan itu, beliau mahu agensi pelaksana sama ada membabitkan jabatan negeri atau persekutuan supaya menjadikan kegagalan melaksanakan program meningkatkan ekonomi itu sebagai pengalaman untuk diperbaiki dengan memastikan golongan sasar mendapat manfaatnya dalam tempoh jangka panjang.(ST)

No comments:

Post a Comment