Monday, 26 March 2012

22 PTI JUAL SAYUR DI KUNDASANG DIBERKAS



Oleh: WILLIE JUDE JUNAIDI

SERAMAI 22 warga asing termasuk dua kanak-kanak yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen ditahan dalam ‘Ops Kutip’ yang dijalankan Jabatan Imigresen di sekitar pekan Kundasang, Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Mohammad Mentek berkata daripada jumlah yang ditahan itu, 13 orang merupakan warga Indonesia manakala sembilan orang lagi warga Filipina.

“Operasi itu diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen, Mohd Noor Abu Bakar di mana seramai 70 orang warga asing telah diperiksa.

“Operasi itu juga adalah berdasarkan daripada aduan orang awam yang menyatakan bahawa ada warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan berniaga di kawasan Tamu Kundasang di samping kesalahan-kesalahan imigresen yang lain seperti memegang pas lawatan sosial tamat tempoh dan tidak memiliki dokumen,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Sementara itu, Mentek turut memberi amaran tegas kepada pemilik-pemilik ladang sayur di sekitar Kundasang dan Ranau agar tidak menggaji pendatang tanpa izin (PTI).

“Pihak jabatan akan membuat pemeriksaan ke semua ladang di daerah berkenaan dalam masa yang terdekat ini, tiada kompromi akan diberikan terhadap majikan yang didapati bersalah,” katanya.

Tambahnya, sekiranya majikan menggaji individu yang tidak memiliki pas yang sah boleh didakwa mengikut Seksyen 55B (1) Akta Imigresen yang memperuntukkan denda RM10,000 hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Operasi yang dijalankan itu turut dibantu oleh 30 anggota Rela Ranau, seorang dari pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta empat pegawai dari Majlis Daerah Ranau. (theborneopost)

No comments:

Post a Comment