Tuesday 20 March 2012

PUSAT MAKLUMAT PELANCONG DI LAHAD DATU


KERAJAAN negeri akan berusaha mempercepatkan usaha mewujudkan pusat maklumat pelancong di Lahad Datu bagi memperkenalkan daerah berkenaan sebagai destinasi pelancongan penting di Sabah, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun.

Masidi berkata pada masa ini, ramai pelancong termasuk dari luar negara yang berkunjung ke Lahad Datu tidak menggunakan pakej-pakej pelancongan dan sehubungan itu pusat maklumat pelancong amat diperlukan ketika mereka datang ke sini.

"Saya telah memberi komitmen untuk mencari dana membangunkan pusat maklumat pelancong di Lahad Datu. Pejabat Daerah Lahad Datu sudah ada bangunan lama untuk tujuan itu. Apa yang perlu ialah untuk membaiki dan mengubahsuai bangunan tersebut sebagai pusat penerangan pelancong.

"Saya akan mengesyorkan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam mesyuarat kabinet akan datang dan berharap dana tersebut dapat dikeluarkan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)," katanya kepada pemberita selapas mewakili Ketua Menteri merasmikan kawasan rekreasi Menara Kayangan di Gunung Silam di sini, pada Isnin. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment