Thursday 2 May 2013

PEMBANGKANG MEMERINTAH NEGARA DIJAJAH






BINCANG.....Azizah dan Isnin berbincang sesuatu ketika menghadiri Majlis Pemimpin BN Bersama Rakyat di Kg Parit Kelabu, Beaufort. Turut kelihatan pengerusi penganjur, Mohd Johawalia Jamsin (kiri) dan Abdullah Ukin (dua kiri) iaitu adik kepada calon PKR Beaufort, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin.

Oleh : ABU BAKAR ESAH

BEAUFORT: Negara dikhuatiri akan dijajah semula sekiranya pihak pembangkang diberi peluang untuk memerintah, kata Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia.

Datuk Azizah Mohd Dun berkata terdapat dakwaan bahawa pemimpin parti pembangkang mempunyai hubungan akrab dengan pihak tertentu di luar negara yang berkeinginan untuk menguasai negara ini melalui era penjajahan baru.

“Jangan benarkan pembangkang menjadi pemerintah kerana kita khuatir akan dijajah semula. Ini disebabkan mereka sanggup menjadi kuda tunggangan anasir luar yang mahu menguasai negara kita seperti apa yang telah terjadi di beberapa negara lain,” katanya pada program Ziarah Pemimpin Bersama Pengundi di Kota Klias, di sini malam kelmarin.

Hadir sama, mantan Ahli Parlimen merangkap Pengarah Jentera Pilihanraya BN Parlimen Beaufort, Datuk Nurnikman Abdullah, Ketua Bahagian PBS Dun Klias, James Digi, Pengerusi Parti Gerakan Beaufort, Robert Lee, Setiausaha Umno Bahagian Beaufort, Jali Nordin, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Beaufort, Ishak Ibrahim, Ketua Puteri Umno Beaufort, Saridah Mohd Dun dan mantan Naib Presiden SAPP, Datuk Rashid Gadur.

Calon Barisan Nasional Parlimen Beaufort itu meminta pengundi memilih kerajaan yang ada sekarang demi memastikan kemerdekaan dan kedaulatan negara ini terus terpelihara.

“BN merupakan parti terbaik di negara ini. Sebuah kerajaan yang menyayangi rakyat apatah lagi di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang rakyat perlukan sudah banyak yang dipenuhi dan akan terus diberikan kerajaan BN. Untuk itu kita perlu memberi mandat yang besar kepada BN untuk memastikan segala kebaikan yang dibawa oleh BN dapat dinikmati sehingga kepada generasi seterusnya.

“Keputusan bijak kita bakal mencorak masa depan yang baik kepada anak cucu kita. Sayangilah mereka dengan mengundi BN,” katanya.

Azizah yang hadir bersama calon BN Dun Klias, Isnin Aliasnih, juga mengingtkan perkara yang sama di Majlis Pemimpin BN Bersama Rakyat di Kg Parit Kelabu, Beaufort pada hari sama.

No comments:

Post a Comment