Wednesday, 15 May 2013

RCI, THE CART BEFORE THE HORSE?







Oleh : AHMAD ZAKARIA

PENULIS kontroversi Sabah, Mutalib M.D menggesa agar Suruhanjaya Siasatan Di Raja Sabah (RCI) yang dibentuk untuk menyiasat isu pengeluaran kad pengenalan projek kepada PATI tidak menjadi seperti kata pepatah Inggeris, "The Cart Before The Horse".

Mutalib membuat gesaan demikian ketika ditanya perkembangan RCI setelah dimaklumkan bahawa Setiausaha Suruhanjaya Siasatan DiRaja, Dato' Sarapuddin Kassim telah menghantar 'Subpeona ad testificandum' dan 'subpeona Duces tecum' bertarikh 13 Mei kepada beliau melalui email kelmarin.

Dalam sapena berkenaan, kata Mutalib, Panel RCI meminta beliau memberi keterangan di antara 20 hingga 29 Mei 2013.

"Sewajarnya RCI memanggil kesemua saksi terlebih dahulu sebelum memanggi saya memberi keterangan kerana keterangan terpilih tidak menyelesaikan masalah PATI berdokumen palsu; terutama yang telah lama bersarang dalam parti politik di Sabah," ujar Mutalib yang akan menghantar surat permohonan untuk menangguhkan tempoh memberi keterangan kerana saksi yang memberi keterangan sebelum ini hanya 'icing kepada kek' dan bukan saksi penting.




Mutalib yang telah menulis empat buku penting berhubung PATI dan  Skandal IC Projek iaitu IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah; Pengundi Untuk Disewa?; IC Projek Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir; mencadangkan agar Setiausaha Agung UMNO disapena terlebih dahulu kerana intipati kajian beliau ialah terhadap batang tubuh dan undang-undang tubuh UMNO serta Akta Pertubuhan Malaysia 1960.

"RCI kini memasuki fasa kedua selepas Insiden Tanduo dan Simunul berlaku di Sabah kerana PATI dan pemegang IC Projek yang selama ini ditakrifkan sebagai jika bertindak sebaliknya. Penafian yang dibuat pelbagai pihak menambah kritikal lagi senario keselamatan di Sabah," kata Mutalib yang menggesa agar Perdana Menteri meletakkan isu keselamatan di Sabah sebagai prioriti.

Jika tidak, kata Mutalib, rakyat Sabah akan terus memberontak secara senyap melalui pilihanraya dan hidup dalam ketakutan setelah menghantar Kerajaan 7 batalion untuk menghapuskan Pengganas Kiram yang tidak dipastikan jumlah sebenar.

Dalam buku beliau kata Mutalib, beliau mengesan begitu ramai ahli, AJK Bahagian dan Ketua Cawangan UMNO ialah PATI dan belum ada seorangpun saksi berkenaan, termasuk Ketua Penerangan UMNO Silam, Sharif Saidi Sharif Alwi yang dipanggil memberi keterangan di hadapan Panel RCI setakat ini.

"Jika RCI ingin menyelesaikan isu PATI berdokumen palsu atau memalsukan keterangan diri untuk mendapatkan IC Projek, mereka seharusnya memanggil 'target' terlebih dahulu dan bukannya 'topeng' atau 'dalang' yang menjadi siluman menghalalkan 'X-Files' Kerajaan," kata Mutalib yang menerima terlalu banyak feedback daripada masyarakat berhubung RCI selama ini.




Mutalib turut mencabar dua ADUN BN iaitu Muis Picho dan Samsuddin Yahya agar tampil secara sukarela di hadapan Panel RCI memberitahu bagaimana mereka (termasuk gundik) mendapat kad pengenalan kerana mengikut rekod mereka bukan lahir di Malaysia; tetapi kini menjadi penggubal undang-undang di Malaysia.

"Jika dakwaan saya tidak betul, saman saya di mahkamah dan bukannya berselindung di sebalik imuniti Wakil Rakyat," kata Mutalib yang menyifatkan dua ADUN ini sebagai duri dalam daging BN.

Tegas Mutalib, jika dua ADUN ini memiliki kerakyatan secara tidak sah, tidak ada ertinya Panel RCI membuang masa dan tenaga menyiasat isu yang sudah terserlah di hadapan mata kerana jumlah PATI yang mendapat kerakyatan songsang kini sudah mencecah 3 juta di seluruh Malaysia.

"Dalam hal ini, kita tidak perlu meneka siapa dahulu antara telur dengan ayam; apatah lagi jika telur helang dieramkan kepada ayam. RCI harus mempunyai authoriti dan bukannya sebagai 'Telinga Kuali' kerana ditubuhkan sebagai Suruhanjaya DiRaja, bukan entiti biasa," kata Mutalib M.D yang meminta Kabinet Malaysia yang bakal diumum hari ini agar membincangkan isu penting ini, terutama menambah bilangan anggota suruhanjaya yang selama ini beroperasi daripada 'Balai Polis'.

Memandangkan yang sedang disiasat dan bakal diadili adalah 'Manusia' sekalipun 'Siluman PATI', maka kata Mutalib, Panel Suruhanjaya harus memikirkan isu ini dari segi kemanusiaan dan hak asasi; bukannya dari aspek kepolisan dan kehakiman semata-mata.




Mutalib turut menyarankan agar Panel RCI menumpukan kepada satu kes penting iaitu seorang Guru Penolong Kanan di SMK Balung, Arsad Alwi yang menggunakan 'IC Milik Orang Lain' menjadi raja kepada segala 'RAJA PATI' kerana tidak ada pihak yang berani menyiasat dan mendakwa beliau setelah mendapat suaka politik pemimpin UMNO.

"Saya tetap berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Tetapi dalam soal kerakyatan, saya tidak akan bertolak ansur. Tambahan pula isu ini menjadi salah satu punca penting BN kehilangan 12 kerusi DUN dan 3 kerusi parlimen di Sabah," kata Mutalib yang mengharapkan agar Panel RCI menghormati pendirian beliau yang selama ini berjuang berseorangan; sehinggalah tertubuhnya RCI untuk menyiasat isu yang menjadi ibu segala masalah ini.


No comments:

Post a Comment