KUALA LUMPUR : Presiden
Amerika Syarikat Barack Obama kelmarin menelefon Datuk Seri Najib Tun Razak
untuk mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri atas kejayaan beliau mendapat
mandat daripada rakyat pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) untuk terus
menerajui Malaysia.
Dalam panggilan mengejut
itu, Obama menyatakan beliau faham dan menerima proses dan keputusan PRU13
baru-baru ini di Malaysia.
Dalam kenyataan dikeluarkan
di sini selasa, Pejabat Perdana Menteri berkata dalam perbualan itu, Presiden
AS itu juga diberikan taklimat ringkas mengenai usaha kerajaan untuk memastikan
proses pilihan raya yang bersih dan adil.
Menurut kenyataan itu, di pihak
beliau, Obama telah bersetuju untuk menyertai Sidang Kemuncak Keusahawanan
Global selama dua hari di Kuala Lumpur, bermula 11 Oktober.
"Malaysia dan Amerika
Syarikat akan terus memperkukuhkan hubungan dua hala menerusi kerjasama
serantau dan antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Presiden AS itu juga
menyentuh mengenai topik perdagangan dua hala dan pelbagai hala dan secara
spesifik mengenai 'Trans Pacific Partnership', dan berharap inisiatif itu dapat
dimuktamadkan lebih awal.
Kedua-dua pemimpin juga membincangkan
isu Pengawalan dan Pelucutan Senjata Nuklear.
Najib berkata beliau
menghargai panggilan peribadi itu dan minat yang ditunjukkan oleh Obama ke atas
Malaysia, dan hasrat beliau untuk menjalin hubungan lebih erat antara kedua-dua
negara dan pentadbiran. (Bernama)
No comments:
Post a Comment