Oleh: MAIL MATHEW
SATU lagi isu memeranjatkan yang melibatkan tuntutan wanita warga emas rakyat tempatan, YONG LEE HUA @ PIANG LIN anak tempatan Sino Kadazandusun yang tinggal di Penampang berhubung kesilapan pihak JPN mengeluarkan MyPR untuknya dan bukan MyKad; sekaligus menjadikan Yong Lee Hua@ Piang Lin hilang kelayakan pelbagai hak sebagai BUMIPUTRA.
Isu tersebut yang agak berpanjangan sejak tahun 2007 sehingga meleret ke Mahkamah untuk diselesaikan namun pada akhirnya pihak KDN, ketika itu Menterinya, Tan Sri Syed Hamid Albar mengakui kesilapan itu dan memberikan Yong MyKad baru pada 9 Oktober 2008.
Episod yang menyusahkan banyak perkara kepada plaintif, Yong Lee Hua @ Piang Lian yang sebenarnya hanyalah sekadar kehilangan MyKadnya pada 13 Febuari 2007 di sebuah Pasaraya dan selepas itu memohon untuk penggantian kepada MyKad baru namun jawapannya pihak JPN mengeluarkan MyKad Penduduk Tetap (MyPR) dan KP Merah di mana secara automatik mengakhiri status kewarga negaraan Yong.
Persoalannya sekarang, apakah kesilapan JPN atau KDN itu yang boleh disifatkan oleh banyak pihak termasuk yang celik Undang-Undang Negara bahawa Yong yang sengsara dengan penghidupannya sejak beberapa tahun selepas ia teraniaya akibat ditukarkan status kewarganegaraannya; tidak boleh menuntut haknya untuk mendapat pampasan daripada kerajaan?
Lantaran itu seorang pengamal perubatan yang juga Penyelaras PKR DUN Liawan, Dr Nicholas James Guntobon menyifatkan keputusan Mahkamah di luar jangkaan beliau kerana berpandangan bahawa Yong (Plaintiff) yang bukan sahaja gagal untuk menuntut gantirugi atau pampasan tetapi juga Yong turut diarah membayar kos kepada Mahkamah.
Dr Nick seterusnya menegaskan bahawa, penderitaan Yong sebelum ini nampaknya belum lega sepenuhnya malah keadaan bertambah kusut yang boleh diibaratkan sebagai ‘Sudah jatuh ditimpa tangga’ kerana penganiayaan ke atas dirinya terus menerus berlaku secara kes demi kes yang mungkin akan ditanggungnya sepanjang hayatnya.
“Apakah kes Yong yang sekadar kehilangan MyKad dan mohon penggantian yang baru tetapi atas kesilapan berlaku oleh JPN menjadikan Yong terus menderita dan papa kedana lalu dinafikan haknya untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya mengikut lunas Undang-Undang Negara yang sedia ada atau apakah ia ada udang di sebalik mi?,” tanya Dr Nick.
Rakyat jelata berhak mencelah isu ketidakadilan ini lebih-lebih lagi Yong, seorang warga emas dan tidak berkemampuan melunaskan kos yang dikenakan oleh Mahkamah perlu perhatian daripada kerajaan kerana kewajarannya. Mungkin hari ini ia berlaku kepada Yong, tetapi esok atau lusa mungkin ada lagi. Jadi, sebelum terlambat ia perlu diperbetulkan segera.
No comments:
Post a Comment