Friday, 22 October 2010

SIAPKAN SEGERA EMPANGAN KG OLOSON



SIAP….Jimmy menggesa empangan yang ditunjuk penduduk kampung ini disiapkan segera untuk kemudahan petani mengusahakan sawah mereka.

Oleh: MAIL MATHEW

NAIB Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Jimmy Jawatah menggesa pihak berwajib agar melunaskan tanggung jawab mereka dengan betul berhubung struktur kerja yang diarah supaya mengikut jadual yang telah ditetapkan; sebaliknya tidak dibiarkan sehingga menjadi projek terbengkalai. Trend tersebut jika dibiarkan akan membebankan rakyat di sesuatu kawasan khususnya golongan petani sawah padi.

Tegasnya, rakyat telah banyak mengalami tekanan masalah dari segi pelaksanaan kemudahan infrastruktur yang lembab yang boleh membantut usaha para petani untuk menambah produktiviti padi mereka.

“Saya bukan menjadikan isu ini sebagai ‘agitasi politik’ tetapi ia diajukan oleh para petani di sini ketika saya turun padang. Dari apa yang saya lihat, perlu dilakukan pembaikan segera semua infrastruktur yang terlalu mundur,” kata beliau lagi.

Beliau yang juga Pengerusi CLC SAPP Tenom, menggesa jabatan berkaitan atau JKKK agar bertindak segera untuk menangani masalah tersebut dan jangan sampai para pesawah menderita kerana ketiadaan pengairan sawah padi mereka.

Beliau menegaskan demikian ketika menerima beberapa aduan yang diajukan oleh beberapa petani di situ berhubung kegagalan kontraktor menyiapkan empangan Sg Oloson yang menjana pengairan sawah padi untuk tiga buah perkampungan, seperti Kg Buna, Kg Langsat dan Kg Kasiai yang merangkumi kira kira 200 pesawah dalam Mukim Melalap.

Menurut beberapa penduduk di situ, masalah tersebut sudah berlaku sejak tahun lalu (2009) tetapi apabila kontraktor terbabit dimaklumkan, mereka telah berjanji akan menyiapkan sebelum musim menanam padi atau setidak-tidaknya ada inisiatif lain jika pun empangan itu gagal disiapkan mengikut jadual, tetapi sehingga ke hari ini keadaan terus terbengkalai begitu sahaja.

Dalam pada itu, Pengerusi JKKK Kg Oloson, John Matsatu, 57, ketika dihubungi menjelaskan bahawa masalah tersebut sudah berulang kali beliau kemukakan kepada pihak berkaitan (kontraktor) sejak tahun lepas lagi, namun sehingga sekarang belum ada tindakan.

Bagaimana pun pihak Jabatan Pengairan dan Saliran di sini akan mengambil alih semula untuk menyiapkan kerja-kerja tersebut bermula awal tahun depan. Pihak JPS tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan lanjut.

No comments:

Post a Comment