Thursday, 4 November 2010

BATU SAPI: ISU MEMANUSIAKAN MANUSIA?



Oleh : MUTALIB M.D

PERTAMA kali dalam sejarah pilihanraya di Sabah sejak 1985 saya tidak turun padang untuk menjalankan tinjauan dan hanya memantau melalui rakan taulan dan Krew Sabahkini.net yang berada di Sandakan; tambahan pula saya masih berada di luar Sabah untuk menyiapkan buku terbaru saya.

Walaupun tidak turun untuk menyaksikan sendiri proses penamaan calon dan kempen, namun Batu Sapi sudah sinonim dengan kehidupan saya sejak 1985 lagi. Secara kebetulan saya mengenali dua daripada tiga calon yang bertanding pada pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang dikosongkan rakan rapat saya, Mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, namun belum sempat mengenali isteri beliau yang kini menjadi calon Barisan Nasional (PBS).

Secara peribadi, saya berpendapat PRK Parlimen Batu Sapi ialah pertembungan tiga manusia untuk mencari kesaksamaan gender di sebuah negara yang hanya menjadikan ‘Gender’ sebagai dasar kerana belum diterima secara total. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak juga telah mengumumkan dalam Bajet 2011, target untuk mencapai 30 peratus wanita menjawat jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam sudah melepasi sasaran.

Tiga manusia berlainan jantina ini adalah manusia luar biasa dan bertanding untuk menjadi pemimpin yang terbaik di antara yang terbaik kerana mereka akan dihakimi oleh 25,582 pemilih berdaftar yang telah diwartakan pada 9 Oktober 2010 yang lalu.

Walaupun ketiga-tiga calon digelar ‘Calon Payung Terjun’ kerana dua daripadanya datang daripada luar kawasan, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Haji Ansari Abdullah, namun Datin Linda Tsen Thau Lin juga dinamakan di saat akhir kerana salah seorang Naib Presiden PBS, Datuk Thien Fui Yun yang disebut-sebut sebelum ini

Saya tidak akan berpihak kepada mana-mana calon dalam ulasan ini kerana akan dihakimi melalui ‘peti undi’ dan tidak adil kepada saya untuk membuat sebarang telahan berasaskan teori kemungkinan kebarangkalian yang tidak adil untuk ketiga-tiga calon.

Saya lebih berminat untuk melihat isu kemanusiaan dan proses memanusiakan manusia yang ternyata masih gagal disempurnakan oleh semua pihak disebabkan hilangnya rasa tawadduk dan cinta kasih sayang sesama manusia kerana dibatasi waktu, faktor sosio-budaya dan latar belakang politik.

Tawadduk adalah sifat merendahkan diri yang dipapah turun daripada para nabi, rasul dan pemimpin agung; tidak begitu ketara di PRK Batu Sapi kerana masing-masing menunjukkan sifat yang berlawanan; iaitu Takbur dan Sombong (haram di sisi Islam); baik calon atau juru kempen sehingga memandulkan hati dan perasaan para pengundi untuk membuat ketetapan siapakah yang mereka akan pilih.

Sombong atau Takbur adalah sifat yang hanya layak dimiliki oleh Allah dan tidak boleh satupun makhluk yang menyaingi-Nya; kerana siapa yang menyaingi Allah dan berasa berhak memiliki sifat takbur ini, bermakna dia berhak menjadi ‘Tuhan Manusia’.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah berfirman, “Sombong adalah selendang-Ku, dan Agung itu adalah pakaian-Ku. Siapa yang menyaingi-Ku dalam salah satu dari kedua-duanya maka akan Aku lemparkan dia ke dalam neraka Jahanam (Diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Ahmad dan Muslim)

Sejarah telah membuktikan bahawa hancurnya sesuatu bangsa itu antara sebabnya kerana pemimpinnya sombong dan bongkak. Apabila seseorang itu berasa dirinya wajar diagungkan, pada hal hakikatnya tidak wajar. Begitu juga jika seseorang itu layak menerima sesuatu darjat pada hal belum layak, demikianlah bongkaknya manusia berkenaan.

Bangsa Malaysia boleh rosak binasa jika masih ramai pemimpin yang sombong dan sudah mula membudaya dalam masyarakat dan menghakis jati diri; apatah lagi kerana ramai yang merasa layak menjadi pemimpin dan negarawan untuk menguruskan bangsanya. Pada hal mengurus diri sendiripun mereka tidak mampu. Mengurus keluarga pun tidak boleh, tetapi mereka mengaku layak diagungkan sebagai ‘Pemimpin Negara’.

Contoh pemimpin contoh yang menggetarkan jiwa manusia ialah Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi pengembala kambing. Baginda bukan sahaja telah merendahkan dirinya kepada manusia, bahkan kepada kambing. Baginda tidak berasa canggung hidup di tengah-tengah kambing yang berbau busuk dan kotor. Baginda menjaga dan melayani kambingnya dengan penuh kasih sayang. Jika ada kambing yang beranak atau sakit, baginda akan membantu merawatnya. Tidak ada jurang pemisah antara Baginda dengan kambing yang digembala.

Berbanding dengan begitu ramai pemimpin yang muncul dalam PRK Batu Sapi, masih gagal menterjemahkan apa itu sifat tawadduk namun berangan besar untuk menjadi pemimpin yang mendapat sanjungan ramai dan suka bercakap mengikut ‘sedap mulutnya’ sahaja tanpa mengambil kira perasaan orang lain, terutama pengundi yang bakal menjatuhi hukuman terhadap tiga calon berkenaan.

Hubungan antara rakyat dengan bakal pemimpin masih dipisahkan jauh oleh kesombongan dan takbur serta menunjuk-nunjuk; tanpa menjaga hati mereka yang mendengar ceramah atau cuba dipengaruhi.

Tidak ada calon yang sempat menghayati bagaimana pengundi menjalani kehidupan harian yang sukar memburu hidup di penjuru nasib; tanpa mengetahui pengundi sudah tiga hari belum makan nasi atau dua bulan menderita sakit tanpa bantuan dan perhatian.

Corak kempen lebih menjurus kepada ‘meletakkan semua telur dalam satu bakul’ dan secara superficial dan tidak holistik langsung. Mungkin kekotoran di tangan yang bersalam dengan mereka boleh dicuci, namun siapakah yang dapat membasuh hati mereka yang kecewa dengan sifat takbur dan bongkak pemimpin yang mendatangi rumah mereka dengan memakai kasut dan bercakap ikut sedap hati mengutuk mereka sebagai pemalas dan bodoh?

Pertama sekali, saya ingin menarik perhatian berhubung pandangan seorang bekas Menteri Kabinet Sabah, Datuk Mohd Noor Mansor yang secara lancang dan memperkecilkan usaha UMNO menyatukan dan berjuang untuk orang Melayu dengan mengatakan bahawa ‘Tidak ada Melayu di Sabah’.

Mungkin Mantan Presiden Berjaya ini lupa bahawa dianggarkan lebih 300 juta orang ‘Melayu’ atau lima peratus daripada penduduk dunia (6 bilion) yang terdiri lebih daripada 300 kumpulan etnik utama mendiami lebih 13,600 pulau di Indonesia, 7,000 pulau di Filipina dan beratus buah pulau di Lautan Pasifik dan Hindi meliputi kawasan seluas 955,699 batu persegi (2,475,249 km persegi) termasuk penduduk di Segenting Kra, Selatan Vietnam, Kemboja, Burma yang pernah dinaungi oleh kerajaan Melayu kuno seperti Funan, Champa, Dvarati, Chaiya, Tenangsari dan Tambaralinga.

Saya ingin memetik Teori Oppenhiemer yang menjalankan kajian Bangsa Melayu melalui kajian saintifik genetik (DNA) sebagai katalis untuk membukti secara ilmiah dan bukannya berdasarkan teori bahasa yang digunapakai oleh ahli antropologi dan sosiologi sebelum ini untuk mengkaji rumpun etnik atau pertalian sesuatu bangsa.

Oppenhiemer berpendapat;

“Hujah utama saya ialah genetik, bukan linguistik. Tetapi saya mahu memberikan gambaran sebenar. Bukti genetik menafikan hal ini. Sebahagian besar daripada penduduk Asia Tenggara ialah ‘Orang Melayu’, Borneo, Sumatra, Jawa dan Filipina. Saya menegaskan di sini bahawa asas kajian asal usul orang Polynesia-Kromosom Y. Para penyelidik dari Cincinnati, Houston, Stanford, Rhode Island dan Universiti Oxford membuat kesimpulan Asia Tenggara menjadi pusat genetik untuk dua penghijrahan di dalam sejarah, satu ke Taiwan dan satu lagi ke Polynesia. Para penyelidik mendapati Motif Polynesia (petanda material) 19 penanda ‘bialelic’ pada kromosom Y (satu sistem penanda daripada bapa) di kalangan 551 orang daripada 36 rumpun penduduk Asia Tenggara, Taiwan, Micronesia, Melanesia dan Polynesia. Yang mengejutkan, hampir tiada langsung kromosom Y haplotype dari Taiwan yang terdapat di Polynesia. Sebaliknya semua haplotype yang terdapat di kalangan orang Polynesia, Micronesia dan Taiwan terdapat pada penduduk Asia Tenggara”.

Sehubungan itu, saya meminta jasa baik pemimpin veteran ini bukan sahaja untuk memikirkan cabaran semasa orang Melayu iaitu untuk mengekalkan kuasa politik yang kini bagaikan telur di hujung tanduk kerana pengundi bukan Melayu sudah menguasai hampir 9 daripada 14 buah negeri di Malaysia.

Cabaran terbesar ini perlu dihadapi oleh orang Melayu umumnya dan UMNO khasnya dalam pilihan raya umum ke-13 kerana kawasan pilihan raya tidak boleh ditambah lagi, justeru BN tidak lagi menguasai 2/3 majoriti di parlimen.

Mengikut kajian rambang, 6 negeri pengundi minoriti Melayu/Islam terdiri daripada Negeri Sembilan (50%), Selangor (49.7%), Perak (44.4%), Kuala Lumpur (32.4%), Sarawak (33.9%) dan Pulau Pinang (33.6%)

Manakala pengundi marginal Melayu/Islam hanya terdapat di tiga buah negeri iaitu Melaka (54.3%), Johor (53.9%) dan Sabah (50.1%)

Oleh itu tidak hairan jika bilangan kerusi Melayu di parlimen adalah terlalu sedikit iaitu 124 kerusi daripada 222 kerusi atau 55.8% sahaja, masing-masing UMNO 78 kerusi, PAS 23 kerusi, PKR 12 Kerusi dan Sarawak 11 kerusi.

Cabaran lebih besar bagi orang Melayu ialah kerana pola pengundian rakyat sama ada di kalangan pengundi muda, kelas menengah dan bukan Melayu berubah. Jika pola pengundian sebegini berterusan, iaitu rakyat mengundi berdasarkan intellectual voting dan bukan lagi tactical voting, maka kedudukan UMNO dan BN akan terancam dalam pilihan raya umum akan datang.

Kegelinciran kuasa Melayu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia berlaku kerana ‘Krisis Keyakinan Dan Kepercayaan Rakyat Kepada Pemimpin UMNO’ iaitu 1969 disebabkan oleh faktor sosioekonomi dan perkauman; 1990 kerana krisis kepimpinan Mahathir-Ku Li; 1999 kerana krisis kepimpinan Mahathir-Anwar dan 2008 kerana krisis keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada UMNO.

Mengikut kajian, hakisan pengaruh politik orang Melayu adalah kerana UMNO yang menjadi tonggak politik Melayu tidak berada di kemuncaknya; terutama UMNO disifatkan sebagai trading house dengan isu politik wang dan sistem kuota dan perlu dijurutera semula back on track.

Mengikut pemantuan yang dilakukan Krew Sabahkini.net, kaedah pendekatan pengundi kurang mantap sehingga kelihatan melakukan perbuatan insult intelek pengundi, menonjolkan pemimpin yang ada denial syndrome; serta enggan mengamalkan konsep to listen not to dictate dan gagal menyegarkan kempen dengan idea baru yang memukau tanpa menyentuh peribadi lawan.

Berlaku ketidak seimbangan aliran politik apabila kumpulan yang mendakwa ahli Ex-USNO yang diketuai anak Almarhum Tun Datu Haji Mustapha iaitu Datuk Badaruddin dan Maimunah mengalihkan sokongan kepada calon 'Bebas' SAPP sedangkan dalam kenyataan akhbar mereka akan sokong pembangkang.

Mungkin kemarahan mereka kepada Kerajaan BN begitu meluap-luap akibat permohonan mereka untuk menubuhkan EX-USNO atau NGO USNO ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Dendam tersebut membuatkan mereka keliru di saat akhir kerana tidak menyokong pembangkang ataupun kerajaan sebaliknya menyokong calon 'Bebas' (SAPP).

Masyarakat Sabah yang sedia pemaaf dan begitu prihatin dengan survival politik Sabah tidak dimanfaat oleh calon yang dilaporkan terlibat dengan kes rasuah RM5 juta hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan negeri kepada agen pilihannya pada 1996.

Kes rasuah ini bukan lagi rahsia kerana saksi yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, Bekas Pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd, Datuk Wasli Mohd Said berkata semasa beliau menjadi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), beliau berjumpa Ketua Menteri di pejabatnya untuk memberikan taklimat mengenai cadangan pengambilaihan pengurusan 40 peratus saham Sapi Plantation milik LKTNS.

Calon berkenaan tidak langsung menyentuh isu berkenaan yang disebarkan secara meluas di hampir semua blog dan media alternatif prima, sebaliknya calon yang dituduh menerima rasuah RM5 juta mengitar semula isu ‘Sabah For Sabahans’ dan ‘Autonomi’ yang sudah menjadi lumrah bagi setiap pilihanraya umum di Sabah; sebagai halwa telinga, namun gagal memancing sokongan ramai.

Natijahnya, calon paling malang ialah calon yang terjatuh jambatan sebanyak dua kali, bukan kerana jambatan uzur tetapi kerana ‘belum biasa dengan budaya’ rumah di atas air yang jambatannya menari ‘joget’ dan bila-bila masa boleh tergelongsor kerana tidak dipaku.

Peribadi calon berkenaan terus diserang juru kempen yang tidak mempunyai peluang lain untuk memperkecilkan calon berkenaan sebagai saiwar, tanpa mengambil kira hati dan perasaan pengundi lain yang simpati dengan calon tersebut.

Walaupun berpeluang memainkan banyak isu, namun ternyata semua calon gagal memanfaat beberapa isu penting seperti peluang ekonomi, strata sosial, geran komunal dan sebagainya yang boleh dijadikan modal; kesemuanya sepakat, tidak langsung menyentuh isu Kad Pengenalan dan Pendatang Asing kerana kawasan menjadi ‘Taboo’ bagi kawasan yang mendapat jolokan ‘Fixed Deposit’ ini.

Bukankah sebelum ini ada calon yang menjadikan isu ini sebagai modal politik, namun hilang suara di PRK Batu Sapi kerana faktor sentiment pengundi.

Lebih menyedihkan, ada pihak yang menghina calon yang tidak pandai berbahasa Melayu sedangkan semua warga Malaysia mempunyai asas berbahasa Melayu dan bergaul dengan masyarakat Melayu. Tidak perlu menjadi pakar bahasa untuk menjadi calon; malah mereka yang kurang bercakap sering kali menjadi pemimpin yang hebat.

Paling menyedihkan ada pihak yang menghina dan menyakiti hati dan perasaan balu yang masih berkabung ini sehingga membanjirkan undi simpati dan bercambahnya semangat setia kawan secara alami.

Bukankah sebagai Wakil Rakyat BN, ciri paling penting ialah taat kepada parti dan mendengar masalah rakyat lalu menyuarakannya mengikut saluran yang sah; sama ada melalui parti atau kementerian tanpa perlu bertekak di Parlimen.

Secara keseluruhanya semua calon mempunyai peluang untuk memenangi PRK Parlimen Batu Sapi kerana kesemuanya mempunyai kebolehan masing-masing sekalipun tidak ditonjolkan sepenuhnya kerana dibatasi dengan jadual yang padat dan program yang tidak teratur.

Biarlah 25,582 pemilih berdaftar yang mengadili ketokohan dan kredibiliti tiga calon berkenaan kerana kita tidak mempunyai locus-standi untuk memutuskan nasib dan masa hadapan mereka di persada politik tanah air!

No comments:

Post a Comment