Friday, 5 November 2010

KEMENANGAN BERGANDA, RAKYAT PERLUKAN BN



KEMENANGAN berganda Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil di Parlimen Batu Sapi, Sabah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan satu isyarat jelas bahawa rakyat kembali yakin kepada teraju kepimpinan negara bagi melaksanakan agenda kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Banyak pihak juga menyifatkan kemenangan BN itu, hasil tuaian daripada kerja berpasukan, menjadi pencetus semangat kepada pemimpin BN terutama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan transformasi dan mengunci hala tuju perjuangan selanjutnya.

Secara tidak langsung sokongan itu, selepas merosot pada pilihan raya umum 2008, mempamerkan penerimaan baik rakyat terhadap gagasan 1Malaysia bukan sahaja di kalangan pengundi pelbagai kaum negara ini tetapi juga sokongan rakyat Sabah.

Penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian turut menyifatkan kemenangan besar BN di Parlimen Batu Sapi sebagai sesuatu yang di luar dugaan apabila mampu menggandakan undi majoriti mengatasi keputusan pilihan raya umum 2008.

"Saya melihat bahawa BN telah diberikan kepercayaan dan keyakinan oleh masyarakat setempat dengan memberikan parti itu majoriti yang besar dan saya juga melihat gabungan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan juga adalah penyumbang kepada kejayaan BN," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis.

Pensyarah Sains Politik, Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata keputusan di Batu Sapi juga petanda rakyat menolak Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan perjuangan 'Sabah for Sabahans' oleh Parti Maju Sabah (SAPP).

Beliau berkata penguasaan kukuh BN ke atas 'Negeri di Bawah Bayu' yang dianggap 'deposit tetap' BN itu, realiti yang perlu diterima pemimpin PKR bahawa kehadiran mereka tidak diingini.

"SAPP juga perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak lagi mendapat kepercayaan rakyat selepas bertindak keluar dari BN," katanya.

Mengenai kemenangan BN di DUN Galas pula, Dr Sivamurugan berkata hasil strategi tepat iaitu berterusan menjelaskan isu-isu nasional dan tempatan, bukan sahaja pengundi Melayu malahan pengundi Cina turut tertawan dengan BN.

"Saya melihat sokongan pengundi Cina yang sebelum ini memihak kepada pembangkang telah beralih kepada BN dan ia menunjukkan bahawa penjelasan baik BN diterima dengan amat baik," katanya.

Seorang lagi penganalisis politik, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin turut mengakui bahawa kemenangan kali ini bukti bahawa sokongan rakyat terhadap BN kini kian memuncak.

Beliau berkata kemenangan BN di Batu Sapi juga dibantu oleh kegagalan PKR dan SAPP untuk bersepakat dan meletakkan calon terbaik mereka.

"Ini adalah petanda sokongan yang baik kepada BN selepas kalah beberapa kali dalam siri pilihan raya kecil," katanya.

Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata walaupun kemenangan di dua tempat itu tidak mewakili negara keseluruhannya, namun ia memberi impak yang cukup besar kepada BN untuk dijadikan kayu pengukur untuk pilihan raya umum akan datang.

Katanya kegagahan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya BN, di DUN Galas juga turut menarik perhatian rakyat untuk terus bernaung di bawah BN yang menjanjikan projek pembangunan di kawasan itu.

"Rakyat Galas yakin dengan pilihan mereka dan mereka pasti hanya BN dapat mengubah nasib mereka," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain pula menyifatkan kemenangan ini suatu petanda baik bagi memberi laluan kepada kemungkinan berlaku pilihan raya umum diadakan lebih awal.

"Saya rasa kemenangan ini petanda baik untuk BN dan BN perlu memanfaatkan sokongan ini untuk masa depan yang lebih cerah.

"Tumpukan kepada usaha mengukuhkan dahulu beberapa faktor seperti ekonomi dan juga transformasi politik yang dijalankan Perdana Menteri...selanjutnya itulah waktu yang paling sesuai," katanya ketika dihubungi.

Presiden Pertubuhan Suluh Cendekiawan Malaysia dan juga bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Ibrahim Abu Shah pula berpendapat kemenangan ini bukti rakyat sudah mula menerima kepimpinan Perdana Menteri.

Bagaimanapun katanya momentum kemenangan BN itu perlu diteruskan dengan kerja keras sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 akan datang.

"Jangan leka, sila turun padang, ambil hati rakyat, susun strategi lebih mantap, pasti rakyat akan bersama BN," katanya.

BN berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi dengan majoriti 6,359 undi berbanding pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,708 undi manakala di kerusi DUN Galas, BN berjaya merampas kembali kerusi tersebut dari PAS dengan majoriti 1,190 undi.

Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin daripada PBS memperoleh 9,773 undi manakala lawannya calon PKR yang juga Ketua PKR Tuaran, Ansari Abdullah mendapat 3,414 undi dan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas ketua menteri Sabah sekadar 2,031 undi.

Calon BN di Galas, Abdul Aziz Yusoff memperoleh 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamed pula dengan 4,134 undi (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment