Saudara Pengarang,
SEBAGAI penduduk kampung Gas, saya agak terkilan dengan sikap celupar Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlupa menginsurankan ‘mulutnya’ kerana terlepas cakap melalui artikel ‘Jambatan usang pun tak terjaga’ yang disiarkan di laman web Malaysiakini.
Anwar bukan sahaja membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu mendirikan Menara Warisan 100 tingkat yang menelan perbelanjaan RM 5 billion tetapi tidak mampu menyelenggarakan jambatan kecil dan usang di Kampung Gas, Sandakan; malah menyakitkan hati semua penduduk kampung Gas yang seolah-olah ‘orang kurang upaya’ kerana tidak mampu membaiki jambatan mereka dan terlalu bergantung kepada kerajaan.
Saya rasa, jika inilah nilai kepimpinan PKR, maka mujurlah kami belum terpengaruh dengan cakap tinggi melangit Anwar dan belum membuang undi. Sebelum kami rejek PKR, jambatan kami lebih dahulu rejek pemimpin PKR.
Sebenarnya, kerajaan sentiasa menyelenggara semua jambatan kampung kami secara berkala melainkan bagi kawasan yang dihuni pendatang tanpa izin dan rumah dibina tanpa kebenaran Ketua Kampung atau Pengerusi JKKK.
Kerajaan BN tidak pernah abaikan kebajikan kami selama ini dan kejadian calon PKR, Haji Ansari jatuh jambatan baru-baru ini tidak ada kena mengena dengan kecuaian kerajaan kerana ia bukannya jambatan umum sebaliknya yang dibina oleh pemilik rumah sendiri.
Apakah salah kerajaan jika jambatan penghubung dari jambatan umum ke rumah mereka roboh dan mungkin perbuatan sabotaj pihak tertentu yang ingin menangguk di air keruh.
Seumur hidup saya, tidak pernah mendengar ada penduduk jatuh jambatan di kampung Gas kerana kami sudah biasa melalui jambatan walaupun tidak berpaku; melainkan mereka yang lima kali setahun datang melawat kami.
Bagaimanapun, bagi mewakili penduduk Kampung Gas, kami memohon maaf yang tidak terhingga kepada calon PKR, Tuan Haji Ansari Abdullah yang mengalami nasib malang ketika berkunjung pertama kali ke kampung kami.
Sewajarnya pemimpin Pakatan Rakyat dan SAPP sedar bahawa Kerajaan BN sudah memberikan segala-galanya kepada kami seolah-olah Sabah ini negeri Kebajikan kerana mendapat serba serbi. Tapi agak mustahillah kerajaan menyediakan kayu untuk menyambung laluan ke rumah kami?
Salam Hormat,
PENDUDUK JATI KG GAS
No comments:
Post a Comment