Oleh : SHAIMON S JUMADI
ADALAH menjadi matlamat kerajaan untuk mendekati golongan belia dan beliawanis dalam pembangunan negara sekaligus memastikan mereka dilibatkan ke arah usaha murni itu.
Ahli Parlimen Malaysia (Beluran), Datuk Ronald Kiande berucap pada Program Pemukiman Komulakan Labuk Sugut di Dewan Orang Ramai, Kampung Telupid, Batu 4, kelmarin berkata; kebanyakan golongan itu merupakan pengundi baru yang akan memainkan peranan dalam menentukan kerajaan pada masa akan datang.
Katanya, belia dan beliawanis merupakan golongan yang perlu didekati untuk diberikan penerangan dan bimbingan yang sesuai mengenai dasar kerajaan.
"Ia penting bagi mengelakkan mereka tidak terpesong dengan langkah parti pembangkang yang ingin mengambil kesempatan terhadap mereka supaya tidak menyokong kerajaan," jelasnya
Menurutnya di Parlimen Beluran sahaja, terdapat kira-kira 22,000 pemilih yang berdaftar dan daripada jumlah itu, 5,000 orang adalah pemilih yang baru yang merupakan golongan belia dan beliawanis.
Ronald yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata adalah menjadi tanggungjawab bersama semua parti komponen BN untuk mendekati golongan tersebut.
Program Pemukiman Komulakan dalam bahasa Dusun Labuk yang bererti pengumpulan golongan muda itu diisi dengan ceramah yang disampaikan oleh Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Sapawi Ahmad, Setiausaha Agung, Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Henryanus Amin dan Ketua Unit Institut Sukan Negeri Sabah, Eduardo Marusin.
Program julungnya kalinya ini diadakan kerana menyedari pentingnya gerakan mendekati golongan belia dan beliawanis, di mana berjaya mengumpulkan 300 golongan itu dalam perhimpunan yang mendapat sambutan menggalakkan dari komponen BN.
Ronald yang menyempurnakan program ini sebagai mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman.
Ia turut dihadiri beberapa pemimpin tempatan antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labuk, Datuk Michael Asang, ADUN Sugut, Datuk Surady Kayong, Ketua Bahagian Umno Beluran, Datuk James Ratib dan Pegawai Daerah Beluran, Yusop Osman.
No comments:
Post a Comment