Sunday, 5 February 2012

NFC Vs AP, SHAHRIZAT MENANG

Oleh : AZMAN ARIFFIN

DATUK Seri Shahrizat Abdul Jali, Menteri Pembangunan Wanita & Masyarakat merangkap Ketua Wanita UMNO, kembali semula bertugas setelah ‘diarahkan’ bercuti selama 3 minggu untuk memberi peluang penyiasatan dijalankan ke atasnya oleh pihak polis dan SPRM.

Nampaknya Shahrizat tidak kelihatan bersalah atau menyesal sedikit pun dengan segala perkembangan dalam siasatan ke atas syarikat milik keluarganya NFCorp.

Keadaan ini hanya boleh berlaku, sama ada disebabkan Shahrizat memang benar tidak terlibat ataupun memang ada ‘kuasa yang lebih besar’ sedang melindunginya sekarang.

Tapi penulis tidak rasa ada pihak yang berani meletakkan kepalanya untuk ‘dipancung’ untuk melindungi Shahrizat apabila segalanya mengenai isu NFC ini telah menjadi perhatian dan buah mulut rakyat.

Shahrizat juga nampaknya tidak terjejas dengan tekanan demi tekanan untuk meletakkan jawatan yang dikenakan ke atasnya oleh beberapa pemimpin dalaman UMNO sendiri seperti bekas Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz.

Perkembangan ini juga menarik kerana, kalau Shahrizat terkenal dengan akronim NFC, Rafidah pula terkenal dengan akronim AP. Ramai juga melihat bila Rafidah mengkritik Shahrizat, itu adalah seperti seorang lanun mengkiritik seorang lanun yang lain.

Ironinya, jika Rafidah diingati kerana meletakkan tangan di atas kitab suci al-Quran bagi membuktikan dirinya tidak bersalah dalam isu berkaitan dengan penyalahgunaan AP kepada kroni, Shahrizat pula menggunakan nama Allah swt apabila menyifatkan semua yang berlaku ini adalah dugaan Allah kepadanya.

Sebagai orang Islam memang tidak salah, tapi dari segi politiknya, keadaan ini boleh mempengaruhi majoriti rakyat beragama Islam yang memang mudah menerima pendekatan sedemikian. Apatah lagi dalam isu NFC ini, setakat dibuktikan, Shahrizat tidak mempunyai kaitan langsung dengan organisasi tersebut.

Namanya pun tidak tersenarai dalam mana-mana dokumen rasmi NFCorp. Cuma yang masih menunggu hasil penyiasatan ialah sama ada dia terlibat dalam mesyuarat kabinet yang membuat keputusan menyerahkan projek itu kepada syarikat di mana suami Shahrizat mempunyai kepentingan.

Penulis bimbang arah simpati rakyat akan berubah kepada Shahrizat terutama di kalangan wanita. Tekanan yang dikenakan Rafidah ke atas Shahrizat tidak akan memberi kesan kerana Rafidah sendiri terpalit dengan pelbagai skandal semasa menjadi Menteri dan Ketua Wanita UMNO.

Justeru, penulis harap akan ada pendedahan yang lebih meyakinkan mengenai penglibatan Shahrizat di dalam NFC oleh kepimpinan Pakatan Rakyat yang ditugaskan dalam isu ini supaya isu ini mampu menggegar UMNO dan pentadbiran BN dalam pilihanraya akan datang.

Setakat yang terdedah sekarang, tidak banyak atau tidak ada yang mengaitkan Shahrizat sebaliknya suami dan anak-anaknya yang menguasai NFC sedangkan itu bukanlah sasaran sebenar pendedahan ini.

Ya, sasarannya bukan NFC tapi Shahrizat, UMNO dan BN.

No comments:

Post a Comment