Wednesday, 22 February 2012

NCR HANYA UNTUK STATE LAND?

DALAM kes Rayuan No. 47 Tahun 2007 antara Rambilin Bte Ambit (Plaintif) Lawan Magudar Bin Ambit (Defendan) isu ini telah dibawa ke Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur di bawah Seksyen 41 (1) Ordinan Tanah Bab 68; Pengarah Tanah telah menolak rayuan Rambilin untuk memiliki Tanah NCR berkenaan kerana tanah yang menjadi pertikaian bukannya 'State Land'.

Berikut ialah Nota Prosiding Kes Rayuan berkenaan yang diputuskan pada 20 Disember 2011 di hadapan Mohd Yusrie Abdullah, Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur (Pembangunan) berhubung keputusan PPHT Pitas bertarikh 5 November 2007 ke atas tuntutan hak asasi di atas sebidang tanah di Kg. Gailun, Salimpodon (selepas ini disebut 'tanah tersebut'), dalam Daerah Pitas melalui Siasatan Tanah No. 3 Tahun 2000.

Nota Prosiding;

01. Kes ini pernah didengar di hadapan mantan Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur, Tuan Hj Dahlan B. A.H Tengah pada 17 Januari 2008 dengan kehadiran Datuk Kong Hong Ming dari Messrs. Lee & Kong bagi pihak perayu; tanpa kehadiran responden; dan sekali lagi pada 14 Ogos 2008 dengan kehadiran Kaunsel perayu yang sama, dan responden sendiri.

02. Walau bagaimanapun, setelah pendengaran selesai, Mantan Timbalan Pengarah tersebut tidak sempat menyampaikan keputusannya kerana telah bersara. Kini saya telah mengambil alih tugas mantan Timbalan Pengarah tersebut. Oleh itu, saya telah meminta kedua-dua pihak untuk hadir di hadapan saya pada 24/3/2012 untuk menerangkan perkara ini; dan semasa kehadiran pihak yang sama, kedua-dua pihak memaklumkan bahawa mereka tidak ada bantahan sekiranya pendengaran semula tidak dibuat.

03. Walau bagaimanapun, saya telah membenarkan kedua-dua pihak untuk mengemukakan apa-apa penghujahan tambahan jika mahu berbuat demikian. Kaunsel perayu telah mengemukakan 'further affidavit in support' perayu yang bertarikh 16/3/2012; manakala responden meminta prosiding tersebut ditangguhkan untuk membolehkan responden meneliti dan menjawab 'further affidavit in support' perayu tersebut. Prosiding ditangguhkan bagi membolehkan responden meneliti 'further affidavit in support' perayu tersebut dan seterusnya memfailkan jawapan, jika mahu berbuat sedemikian.

04. Responden telah mengemukakan jawapan tanpa tarikh yang bertajuk "Pembelaan diri saya di atas rayuan keputusan PPHT Pitas dalam siasatan tanah No. 3 Tahun 2000 antara Rambilin Bte Ambit dengan Mugudar @ Magudar bin Ambit" dan telah dipanjangkan kepada pihak perayu melalui surat bertarikh 26/9/2011 untuk jawapan akhir jika perlu. Tidak ada jawapan akhir diterima sehingga kini.

Rayuan.

05. Kes ini bermula apabila perayu memfailkan tuntutan hak asasi di atas sebidang tanah di kampung Gailun, Salimpodon, dalam daerah Pitas. Tuntutan tersebut didengar dan PPHT Pitas kemudian pada 5 November 2007 membuat keputusan untuk menolak tuntutan tersebut

06. Dengan keputusan tersebut, perayu telah memfailkan rayuan pada 9 November, 2007 dengan alasan bahawa:-

1. Dengan mengatakan bahawa tanah tersebut adalah tanah kerajaan, PPHT silap secara undang-undang dan fakta apabila gagal mengambil kira bahawa, berdasarkan bukti-bukti yang tidak dicabar, perayu telah memiliki, menduduki, membangunkan tanah tersebut sejak tahun 1982 hingga Disember 1995 dan dengan itu perayu telah memperolehi hak asasi anak negeri dibawah s15(a), (b), (c), (e), 65 dan 66.

2. Dan selanjutnya bahawa, jika PPHT mengambilkira bukti yang tidak dicabar, PPHT sepatutnya dapat menyimpulkan bahawa perayu telah memperoleh hak asasi anak negeri di atas tanah tersebut di bawah Seksyen 15.

3. Dengan menyimpulkan bahawa tanah tersebut adalah tanah kerajaan, PPHT silap apabila menolak tuntutan perayu kerana perayu tidak mempunyai hak asasi anak negeri di atas tanah tersebut atas alasan bahawa perayu telah gagal menunjukkan bukti bahawa perayu telah diberikan kebenaran masuk ke tanah tersebut.

3.1. Adalah salah secara undang-undang apabila dikatakan bahawa pra-syarat untuk mewujudkan hak asasi anak negeri dalam tanah kerajaan adalah dengan memperoleh kebenaran masuk ke tanah tersebut. Tidak ada peruntukan nyata di bawah undang-undang yang menyatakan demikian.

4. PPHT adalah silap secara fakta dan undang-undang apabila mengambil kira perkara yang tidak relevan iaitu;

4.1. Perayu, responden dan orang lain tidak diberikan kebenaran atau tidak pernah memohon untuk kebenaran untuk menduduki tanah kerajaan daripada pihak kerajaan.

5. PPHT silap secara undang-undang dan fakta apabila gagal mempertimbangkan, menerima dan mengambil kira bukti-bukti yang tidak dicabar semasa siasatan tanah dan selanjutnya jika PPHT mengambil kira bukti-bukti yang tidak dicabar yang relevan itu, PPHT sepatutnya akan membuat kesimpulan berikut;

5.1. Di bawah Seksyen 15, iaitu sejak 1982 hingga Disember 1995 perayu telah memiliki, menduduki, membangunkan dan mengusahakan secara aman dan tanpa gangguan. Bukti-bukti terhadap fakta ini telah disebutkan secara lisan dan melalui surat akuan bersumpah serta penghujahan perayu. Bukti-bukti tersebut tidak dipertikaikan dan dicabar oleh responden. Oleh itu, perayu telah menunjukkan bahawa perayu telah memenuhi keperluan bagi pemilikan hak asasi di bawah Seksyen 15 (a), (b), (c) dan (e) dan Seksyen 66.

5.2. Tidak dipertikaikan bahawa bapa perayu (simati) telah bertindak bagi pihak perayu untuk membeli tanah tersebut daripada Sh. Osman.

5.3. Tidak dipertikaikan bahawa perayu telah membeli dan mengambil tanah tersebut daripada Sh. Osman dan Sh. Endun telah membangunkan tanah tersebut bukanlah pertimbangan yang relevan.

5.4. Telah tidak dipertikaikan bahawa perayu telah memberikan kebenaran kepada responden untuk menduduki tanah tersebut. Selanjutnya, Magudar mengakui bahawa dia berpindah keluar dari tanah tersebut apabila perayu menuntut responden berbuat demikian. Ini membuktikan bahawa perayu mempunyai kawalan exclusif dan kuasa ke atas tanah tersebut.

7. Dengan itu perayu memohon agar;

i. Keputusan PPHT tersebut diketepikan

ii. Membenarkan tuntutan untuk memperoleh Hak Asasi Anak Negeri dan dokumen hakmilik ke atas tanah yang dipohon melalui PT 89230296.

iii. Dokumen hakmilik dikeluarkan kepada perayu.

Penemuan.

8. Secara ringkasnya, perayu menyatakan bahawa perayu telah memperolehi Hak Asasi Anak Negeri di atas tanah tersebut kerana:-

a. Tanah tersebut adalah tanah kerajaan;

b. Perayu telah menduduki tanah tersebut sejak tahun 1982 hingga Disember 1995;

c. Perayu telah menduduki tanah tersebut dengan membangunkan tanah tersebut dan pembangunan itu telah mematuhi s15, 65 dan 66.

d. Bukti-bukti hasil daripada pendudukan dan pembangunan perayu di atas tersebut tidak dicabar.

9. Perayu berhujah dengan bergantung kepada hujahan bertulis bertarikh 19 November 2007 yang bersandarkan kepada surat-surat dan notis-notis yang ditanda sebagai A-2, Affidavit sokongan perayu bertarikh 20 Jun 2000 (ditanda sebagai A-3 dalam penghujahan) yang mengandungi Akuan Bersumpah perayu yang bertarikh 9 Jun 2000 (ditanda sebagai RBA-A) dan surat akuan bersumpah daripada 3 orang saksi iaitu Sharif Sheen (ditanda sebagai RBA-B), Paluyan bin Maratin (RBA-C) dan Nilinah Bt Ambang (RBA-D) (semua Akuan Bersumpah selepas ini disebut 'bukti-bukti tersebut'). Semua surat akuan ini dikemukakan semasa siasatan tanah dibuat di hadapan PPHT.

10. Setelah membaca penghujahan dan bukti-bukti yang dikemukakan tersebut, saya berpendapat bahawa kes ini bermula apabila urusan 'jual-beli' tanah tersebut berlangsung yang pada mulanya dianggap sebagai tanah bergeran. Isu sama ada Ambit B Keruok (bapa perayu dan responden) atau perayu sendiri yang memulakan pembelian tersebut, saya anggap tidak relevan untuk dibahaskan dalam kes ini. Tetapi yang penting, fakta bahawa selepas 'pembelian' tersebut, perayu mengatakan telah memasuki untuk membangunkan tanah tersebut.

11. Dalam kes ini, kemasukan perayu keatas tanah tersebut adalah disebabkan kesilapan anggapan ketika urusan 'berjual beli' dilakukan di mana tanah yang menjadi perkara pokok dalam perjanjian 'jual-beli' tersebut sebenarnya bukanlah tanah bergeran. Oleh itu, jika bukan kerana niat membeli dan kesilapan anggapan terhadap status tanah tersebut, perayu tidak akan memasuki tanah tersebut dan membangunkannya.

12. Selepas tanah tersebut 'dibeli', perayu memasuki tanah tersebut pada sekitar atau selepas bulan Mei 1982. Fakta ini turut menjelaskan titik mula kemasukan perayu ke tanah tersebut.

13. Setelah dibangunkan maka pada sekitar tahun 1987 perayu menyedari bahawa tanah tersebut bukanlah tanah bergeran sebagaimana yang diniatkan dalam perjanjian jual-beli tersebut. Dengan pengetahuan tersebut, maka melalui suatu perjumpaan antara Sh. Osman (penjual) dengan Ambit B. Keruak (bagi pihak perayu dan suaminya) bagi menyelesaikan masalah tersebut. Hasil daripada perjumpaan itu, perayu telah mengemukakan permohonan tanah pada tahun 1989-PT 89230296.

14. Semasa permohonan tanah perayu diproses, Jurukur Daerah memberikan ulasan bahawa tanah tersebut telah diperuntukkan kepada seorang yang bernama 'Liong Sham'. Rekod itu diketahui kerana peta dalam simpanan Jurukur Daerah, tertulis nama Liong Sham berserta dengan nombor permohonan tanah No. 371/37. Nombor permohonan tanah itu pula menunjukkan bahawa permohonan tanah tersebut telah telah didaftarkan dalam tahun 1937. Dalam rekod Jurukur Daerah itu juga ada menunjukkan bahawa permohonan tanah Liong Sham tersebut telah diukur dengan pelan yang bernombor P. 9133 seperti berikut:

Pelan No. 9133

15. Berdasarkan ulasan Jurukur Daerah tersebut, permohonan tanah perayu ditolak oleh PPHT Pitas.

16. Isu surat pembatalan permohonan tanah tersebut yang telah tidak diterima oleh perayu telah dibahaskan di mahkamah dan remedi telah diberikan oleh mahkamah.

17. Kedua-dua pihak dalam kes ini sedia maklum bahawa keputusan PPHT yang kini dirayu oleh perayu adalah keputusan ke atas tuntutan hak mengikut adat anak negeri perayu di atas tanah tersebut. Oleh kerana PPHT tidak mengiktiraf pedudukan perayu itu sebagai hak mengikut adat negeri, maka atas sebab itulah perayu merayu untuk mengenepikan perintah PPHT tersebut dan memohon agar pendudukan perayu itu diiktiraf sebagai satu perolehan hak mengikut adat negeri dan mengeluarkan dokumen hak milik kepada perayu.

18. Sebelum saya menyentuh tentang 'kewujudan' hak mengikut adat anak negeri tersebut, saya ingin menyentuh tentang sama ada tanah tersebut pada masa perayu memasukinya adalah tanah kerajaan atau tidak. Perkara ini penting kerana ianya akan menjadi asas untuk menentukan sama ada pendudukan di atas tanah itu adalah merupakan sesuatu pendudukan yang dianggap sebagai pendudukan hak mengikut adat anak negeri atau tidak.

19. Perayu, dengan disokong oleh pengakuan saksi-saksinya (rujuk RBA-A, RBA-B, RBA-C dan RBA-D), telah menyatakan bahawa perayu telah membangunkan tanah tersebut. Dan dalam memorandum rayuan, perayu menyatakan bahawa tanah tersebut adalah tanah kerajaan.

20. Adakah pada masa perayu memasuki tanah tersebut, tanah tersebut adalah tanah kerajaan?

21. Sebelum saya menjawab persoalan itu, berikut adalah latar belakang ringkas tanah yang dipertikaikan tersebut:-

1. Sebelum tahun 1937 tanah tersebut adalah sebidang tanah kerajaan yang bebas dari sebarang ikatan.

2. Tahun 1937 dan selepas itu, tanah tersebut kemudiannya telah diperuntukkan kepada seorang yang bernama Liong Sham melalui P.T No. 371/37 dan telah diukur (Pelan No. P 9133)

3. Pada atau selepas bulan Mei 1982, Perayu memasuki tanah tersebut dan membangunkannya.

22. Kronologi ringkas di atas jelas menunjukkan bahawa perayu memasuki tanah tersebut sekurang-kurangnya 45 tahun selepas tanah tersebut diperuntukkan kepada Liong Sham.

23. Oleh itu, apakah status tanah tersebut selepas diperuntukkan kepada Liong Sham pada tahun 1937?

24. Untuk menjawab persoalan ini, definisi tanah kerajaan di bawah Seksyen 4 Ordinan Tanah, Bab 68 perlu diperhatikan dengan berhati-hati, iaitu:-

"STATE LAND means all lands which have not been and may not hereafter be reserved for any public purpose, or which have not been and may not hereafter be leased or granted to or are not and may not hereafter be lawfully occupied by any person, and includes all lands which, at the commencement of this Ordinance, may have become or which hereafter may become forfeited by reason of any breach of the conditions on which the same have been lawfully occupied, or which have been or may hereafter be surrendered to the Government by the lawful owner thereof:"

25. Maksud tersirat kepada frasa yang saya gariskan adalah bermaksud bahawa sesuatu tanah itu bukan lagi dianggap tanah kerajaan apabila tanah tersebut telah atau akan diberikan.

26. Berdasarkan definisi di atas, saya berpendapat bahawa tanah yang dimasuki oleh perayu itu, bukan lagi 'State Lands' kerana tanah tersebut telah diperuntukkan kepada Liong Sham.

27. Oleh itu, tindakan pentadbir tanah British pada atau selepas tahun 1937 tersebut dengan meletakkan nama Liong Sham adalah jelas menterjemahkan keputusan pentadbir tanah British pada masa itu untuk memberikan tanah tersebut kepada Liong Sham.

28. Oleh itu, saya berpendapat bahawa tanah tersebut bukan lagi tanah kerajaan selepas tahun 1937.

29. Persoalan selanjutnya ialah, sama ada pendudukan perayu di atas tanah tersebut membentuk hak mengikut adat anak negeri?

30. Sebagaimana yang saya simpulkan di atas, tanah tersebut bukan lagi tanah kerajaan. Bagi melayakkan perayu untuk menuntut hak asasi mengkut adat di atas tanah tersebut, syarat utama yang perlu dipatuhi adalah tanah tersebut hendaklah berstatuskan tanah kerajaan.

31. Dalam kes ini, sebagaimana yang saya huraikan mengenai definisi 'State Lands' di atas, perayu kehilangan hak untuk menuntut hak asasi tersebut kerana, tanah tersebut telah pun diperuntukkan kepada 'Liong Sham' sejak tahun 1937 lagi.

32. Seksyen 13 memperuntukkan;-

"Enquiry as to native rights-

Upon the receipt of any application for unalienated country land it shall be the duty of the Collector to publish a notice calling upon any claimant to native customary rights in such land who is not yet in possession of registered documentary title to make or send in a statement of his claim is made the land shall be dealt with as if no such rights existed."

33. Maksud tersirat dalam peruntukkan ini adalah sesuatu tuntutan hak asasi itu hanya boleh difailkan ke atas kawasan tanah yang diklasifikasikan sebagai 'Country Land'.

34.Di bawah Seksyen 4, Ordinan Tanah Bab 68, 'Country Land' didefinisikan sebagai;-

"COUNTRY LAND means all state or alienated land not included within the boundaries of a town declared under this or any previous Land Ordinance."

35. Melalui definisi ini, 'Country Land' terbahagi kepada dua jenis iaitu, 'State Land' dan 'Alienated Land', tetapi kedua-dua jenis tanah ini hendaklah berada di luar kawasan bandar ('Town Land') yang telah diisytiharkan.

36. Dengan mengguna-pakai jenis yang pertama, iaitu 'State Land', sekali lagi saya merujuk semula kepada definasi tersirat 'State Land' yang saya sebutkan sebelum ini iaitu "...sesuatu tanah itu bukan lagi dianggap tanah kerajaan apabila tanah tersebut telah atau akan diberikan."

37. Oleh itu, saya simpulkan, oleh kerana tanah tersebut telah diperuntukkan (granted) dan akan diberikan kepada Liong Sham, maka tanah tersebut bukan lagi tanah kerajaan. Dengan itu, tuntutan hak asasi perayu keatas tanah tersebut pasti gagal kerana perayu memasuki tanah tersebut yang sebenarnya telah diperuntukkan dan akan diberikan kepada Liong Sham.

38. Tingkah Liong Sham yang tidak membuat apa-apa tindakan untuk mendaftarkan pemilikan ke atas tanah tersebut dan/atau peninggalan (omission) tindakan pentadbir tanah British pada masa itu kerana tidak atau gagal bertindak menyebabkan pemilikan tanah tersebut didaftarkan ke atas nama Liong Sham, bukanlah alasan yang boleh menyebabkan perayu atau sesiapa indivu lain menjadi berhak ke atas tanah tersebut; walaupun atas apa-apa alasan termasuk alasan-alasan membangunkan dengan aman, harmoni atau membangunkan tanpa gangguan dalam jangka masa berapa lama sekalipun.

39. Berhubung dengan permohonan tanah responden (yang kemudiannya ditarik balik dan dipohon semula oleh dan diberikan hakmilik kepada Ruddy Awah) (selepas ini disebutkan 'permohonan Ruddy') saya berpendapat bahawa isu ini adalah isu yang berasingan. Ini adalah kerana pada masa perayu memasuki tanah tersebut dan kemudiannya memohon tanah tersebut, tanah tersebut bukanlah tanah kerajaan.

40. Tetapi sebaliknya, permohonan Ruddy telah diluluskan apabila kelulusan itu mengguna pakai pendapat Mahkamah Anak Negeri Daerah Pitas yang akhirnya menamatkan keputusan pentadbir tanah British pada tahun 1937 itu untuk memberikan tanah tersebut kepada Liong Sham. Penamatan itu, pada pendapat saya menyebabkan tanah tersebut bebas daripada tuntutan Liong Sham.

41. Pendapat Mahkamah Anak Negeri Daerah Pitas adalah seperti yang saya petik seperti berikut:-

Keputusan MAN Pitas:

"Bahawa pada hari ini, 14 Julai 1997, jam 11.10 pagi Encik OKK Abdul Rasin Bin Tundan Ketua Daerah, Pitas telah membuat keputusan atas tanah yang dipertikaikan saudara En. Magudar Bin Ambit LA.

Berikut keputusan telah dibuat bahawa En. Sharif Endun Bin Sharif Ading IC 0577173 dan Encik Leong Ah Yau @ Liong Ah Yau IC 450202-12-5257 bahawa kawasan seluas 4.00 ekar diberikan kepada Encik Magudar Bin Ambit manakala selebihnya diberikan kepada En. Sharif Endun Bin Sharif Ading dan En. Leong Ah Yau @ Liong Ah Yau. Keputusan ini berkuat kuasa serta merta pada tarikh surat ini ditandatangani (Tarikh: 14/7/97).

(25/7/97 surat MAN 03/97/02/Vol.1/92 bertarikh 25 Julai 1997: "Dengan segala hormat dimaklumkan hasil tinjauan yang saya buat adalah dengan ini membuat keputusan pembahagian seperti berikut:

1) Merujuk kepada surat perakuan keputusan yang dibuat pada 14/7/97 jam 11.10 pagi. Ada kaitannya.

2) Kawasan yang di bawah jalan raya merujuk peta yang bertanda hitam adalah milik En. Magudar Bin Ambit.

3) Selebih yang di atas jalanraya adalah dimiliki oleh En. Sharif Endun Bin Sharif Ading dan En. Leong Ah Yau @ Liong Ah Yau. Dengan itu keputusan penyelesaian yang diperoleh adalah dianggap muktamad."

42. Sehubungan dengan itu, saya berpendapat bahawa, penolakan permohonan tanah perayu adalah betul pada masa itu berdasarkan status tanah pada masa tersebut. Dan, kelulusan permohonan Ruddy adalah betul sesuai dengan status tanah tersebut pada masa itu.

43. Mengenai dengan isu 'bukti-bukti yang tidak dicabar' yang ditimbulkan oleh perayu, saya berpendapat bahawa sama ada bukti-bukti itu dicabar oleh responden atau tidak, tidak akan mengubah status tanah tersebut. Dan, saya berpendapat bahawa responden hanyalah seorang pemohon tanah yang tertakluk kepada peruntukan di bawah Seksyen 9(1) Ordinan Tanah, Bab 68; dan pemohon tidak memohon tanah tersebut berasaskan hak mengikut adat anak negeri.

44. Mengenai dengan isu 'kebenaran masuk' saya berpendapat bahawa isu tersebut telah diputuskan oleh Mahkamah dan tidak perlu untuk saya menyentuhnya lagi di sini.

45. Oleh itu, saya dengan ini menolak rayuan perayu ini.

Bertarikh di Kota Kinabalu pada 20hb Disember 2011

(MOHD YUSRIE ABDULLAH)

Timbalan Pengarah Tanah dan Ukur (Pembangunan)

15 comments:

  1. Hopefully the court's decision will be respected by all related parties in this case.

    ReplyDelete
  2. The land status cannot be changed no matter how they argue, just accept the facts.

    ReplyDelete
  3. harap Plaintif berjaya dalam kes tersebut.

    ReplyDelete
  4. harap kes ini akan diadili dgn baik.

    ReplyDelete
  5. apapun, pastikan hak2 natives dilindungi.

    ReplyDelete
  6. akur sajalah dengan keputusan mahkamah.. saya yakin piak mahkamah telah membuat keputusan yang tepat dan adil..

    ReplyDelete
  7. Keputusan mahkamah adalah muktamad.

    ReplyDelete
  8. Land title is not being able to change right?

    ReplyDelete
  9. Semoga hak milik penduduk dapat dipertahankan.

    ReplyDelete
  10. semoga kes NCR ni akan selesai dan tidak tertangguh untuk beberapa tempoh lagi.

    ReplyDelete
  11. Rumit juga untuk memahami undang2 ni.

    ReplyDelete
  12. Semoga masalah NCR ini akan mendapat cara jalan penyelesaian yang terbaik kepada kedua-dua pihak.

    ReplyDelete
  13. Berikan keadilan mengenai perkara yang berkaitan dengan kes NCR.

    ReplyDelete
  14. Jika itu keputusan mahkamah, apa lagi yang boleh dibuat?

    ReplyDelete
  15. NCR adalah isu/masalah yang seperti tiada kesudahannya. Sama macam PATI.

    ReplyDelete