KOTA KINABALU : Kerajaan
negeri Sabah memperuntukkan RM4.088 bilion bagi Belanjawan Negeri 2013, yang
meningkat RM40 juta berbanding anggaran perbekalan bagi 2012.
Ketua Menteri Sabah Datuk
Seri Musa Aman, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata anggaran perbekalan
2013 merangkumi tiga komponen utama iaitu Anggaran Emolumen RM663.17 juta
(pertambahan RM39.51 juta berbanding RM623.66 juta pada 2012), Perbelanjaan
Berulang RM1.120 bilion (pertambahan RM32.92 juta berbanding RM1.O87 bilion)
dan Perbelanjaan Khas RM2.337 bilion (pertambahan RM34 juta berbanding RM2.303
bilion).
"Belanjawan 2013 ini
merupakan bukti komitmen kita untuk terus memberikan perkhidmatan dan pembelaan
yang terbaik kepada rakyat dan negeri Sabah."
"Belanjawan negeri ini
untuk semua lapisan rakyat dengan mengambil kira keperluan dan kesejahteraan
rakyat di seluruh negeri untuk memacu pembangunan negeri ke tahap yang lebih
tinggi," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan Negeri
itu di Dewan Undangan Negeri di sini Jumaat.
Musa berkata hasil negeri
juga meningkat dan dianggarkan berjumlah RM3.828 bilion tahun depan berbanding
anggaran asal RM3.69 bilion tahun ini.
"Dengan mengambil kira
bahawa hasil purata negeri Sabah bagi tempoh tiga tahun lalu (2009-2011) yang
berjumlah dalam lingkungan RM3.8 bilion setahun, maka kerajaan negeri yakin
bahawa sasaran kutipan hasil yang ditetapkan pada tahun depan adalah munasabah."
(Bernama)
No comments:
Post a Comment