Friday, 19 October 2012

TUMBANGKAN BN UNTUK DAPATKAN HAK





Saudara Pengarang,

SAYA mengikuti dengan penuh perhatian pergolakan yang melanda para peneroka di Koyah A, Kinabatangan setelah hak pemilikan ke atas tanah-tanah mereka telah dirampas secara licik oleh individu dan pemilik syarikat yang mempunyai hubungan yang rapat dengan pemimpin-pemimpin atasan UMNO/BN.

Saya telah turut terlibat membantu para peneroka untuk mendapatkan semula hak-hak mereka seawal tahun 2000 lagi serta telah beberapa kali berusaha mengadakan pertemuan di antara para peneroka dengan 'Perompak Tanah' (Land Grabber) yang mana syarikat perompak tanah ini juga terlibat dalam operasi kuari haram di Silam, Lahad Datu.

Namun, usaha-usaha yang saya lakukan ini telah gagal kerana perompak tanah ini enggan bertemu dengan para peneroka. Setelah meneliti Ahli Lembaga Pengarah syarikat yang dimiliki perompak ini, maka saya membuat satu kesimpulan yang tepat bahawa didalam syarikat tersebut terdapat beberapa pemimpin UMNO yang berpengaruh memiliki saham serta duduk sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

Di sinilah punca sebenar kenapa masalah ini tidak boleh selesai dan telahpun berlanjutan selama lebih 25 tahun.

Saya telah didatangi oleh beberapa orang pemilik tanah di Koyah A dan telah memberi taklimat kepada mereka bahawa selagi UMNO/BN masih berada di tampuk kuasa Negeri Sabah, maka selagi itulah usaha mereka untuk mendapatkan semula hak mereka akan gagal.

Saya memaklumkan kepada mereka bahawa isu ini bukan baru timbul  sekarang, tetapi telah tercetus seawal 1984 dan berlanjutan sehingga kini. Tanah di kawasan Koyah A ini adalah anugerah Kerajaan BERJAYA yang Ketua Menterinya masa itu ialah Datuk Harris Salleh untuk diusahakan  oleh para peneroka yang sebahagian besarnya adalah petani dari kelompok Bumiputera Sabah.

Masalah ini timbul di zaman kerajaan PBS yang Ketua Menterinya masa itu ialah Datuk Pairin Kitingan. Hampir 1 juta ekar tanah-tanah pekebun kecil telah dirompak oleh tauke-tauke kroni di zaman PBS dengan cara menukarkannya kepada geran besar, dan terus berlanjutan hingga saat ini.

Jadi, kalau tanah-tanah peneroka ini dirompak di zaman PBS yang dipimpin oleh Datuk Pairin Kitingan satu ketika dulu, maka persoalannya ialah di mana pula kedudukan Datuk Pairin sekarang?

Maka, saya katakan kepada para peneroka, kalaulah mereka mahu mendapatkan semula hak pemilikan ke atas tanah-tanah mereka, pilihan yang ada ialah dengan menumbangkan kerajaan UMNO/BN yang ada sekarang ini, yang jelas telah mengkhianati amanah rakyat Negeri ini.

Salam Hormat,

HJ. HAMZAH HJ ABDULLAH
YDP PAS Batu Sapi Merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah

No comments:

Post a Comment