Oleh : ZULAIKHA ZULKIFLI
KETUA Umum PKR, Datuk Seri
Anwar Ibrahim berkata, tidak menjadi kesalahan baginya dan pemimpin Pakatan
Rakyat untuk menggunakan jet dalam program bertemu rakyat.
Dalam ucapannya ketika
bertemu sekumpulan penduduk di Puchong, Anwar secara berseloroh berkata langkah
itu juga boleh mengelakkan daripada serangan menggunakan cat dan batu.
"Kita naik bas kena
baling cat. Naik kereta kena baling batu. Jadi kita naik jet. Biar mereka tak
boleh baling batu. Kalau baling, kena muka mereka balik.
"Memang ada syarikat
yang bagi pinjam. Dulu tak bagi. Sekarang bagi sebab dia tahu kita akan menang.
Sekarang ada lima syarikat yang nak bagi pinjam," katanya.
Kenyataannya itu bagi
mengulas isu jet yang digunakannya ketika program Jelajah Merdeka Rakyat ke
Sabah pada bulan lalu.
Isu berkenaan dilaporkan
dengan meluas dalam media pro-BN dan dijadikan modal dalam kempen ceramah
pemimpin pro-BN – dengan jolokan 'Buyjet (Beli jet)' – sebagai sindiran untuk
mempertikai belanjawan (Bajet) alternatif Pakatan.
"Seolah-olah dosa besar
naik jet. Ingat bapak dia punya jet?," kata Anwar lagi dalam majlis yang
turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan
beberapa orang anggota exco negeri.
Dalam program bersama
kira-kira 200 orang penduduk itu, Anwar turut menerima borang keahlian PKR
daripada penduduk kawasan tersebut.
Kampung berkenaan merupakan
antara tujuh lokasi sekitar negeri Selangor yang dilawatinya hari ini dalam
program Jelajah Merdeka Rakyat Anwar.
Selain Desa Ayer Hitam,
Anwar bersama kumpulan pemimpin Pakatan itu akan mengunjungi Pantai Morib,
Kuala Langat, Banting, Klang, Ijok dan terakhir di Shah Alam.
Beliau juga dijadualkan
menghadiri Majlis Makan Malam Keadilan Selangor dan Ceramah Merdeka Rakyat di
perkarangan Stadium Melawati, Shah Alam.
No comments:
Post a Comment