KOTA KINABALU: Kerajaan
Negeri memberi jaminan tidak akan mengambil tanah yang dipajakkan kepada pemaju
dan pihak komersil lain selama 99 tahun. Bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah
Datuk Seri Musa Aman berkata pihak yang berkaitan boleh memperbaharui tempoh
pajakan dalam masa 10 hingga 20 tahun sebelum tamat tempoh.
“Walaupun tempoh tamat
pajakan itu tinggal 20 atau 10 tahun, kerajaan masih boleh meluluskan
pembaharuan tempoh itu kerana tanah itu dimiliki rakyat dan bukannya kerajaan,”
katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Gabungan Persatuan
Cina Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, kelmarin.
Sambil menolak tanggapan
negatif sesetengah pihak yang mempertikaikan isu itu, Musa, yang juga Menteri
Kewangan Negeri, berkata pihaknya akan membincangkan dasar itu pada mesyuarat
kabinet negeri.
Sebelum ini, Persatuan
Pemaju-pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (Shareda) meminta kerajaan negeri
supaya mengembalikan tempoh pajakan berbanding 99 tahun khususnya yang
berkaitan hak milik tanah yang dibelah bahagi kepada pemilik dan pembeli rumah.
Shareda berpendapat, dengan
tempoh pajakan, pemilik rumah tidak perlu bimbang generasi pengganti mereka
“mungkin suatu hari nanti akan kehilangan rumah sekiranya mereka tidak
mempunyai wang untuk membayar pelanjutan premium bagi rumah masing-masing.”
Sementara itu, berhubung
kedudukan harga tanah yang tinggi di Sabah, Musa berkata ia adalah bergantung
kepada kuasa pasaran dan bukan bidang kuasa beliau untuk mengawal pasaran
harga.
“Saya gembira kerana ramai
pelabur datang ke Sabah membeli hartanah di sini tetapi pada masa yang sama
saya juga bimbang akan harganya yang semakin mahal dari masa ke semasa,”
katanya.
Yang turut hadir ialah
Pemangku Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Datuk T C Goh dan Presiden
Shareda Datuk Susan Wong Siew Guen.
No comments:
Post a Comment