Sunday, 21 October 2012

PANDUAN DEFINISI SABOTAJ UMNO TERSEDIA





PAGOH : Umno telah menyediakan panduan mengenai definisi terperinci perbuatan mensabotaj parti untuk digunakan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk memantau dan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana anggota parti yang mengkhianati atau mensabotaj calon Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun panduan itu akan diperhalusi terlebih dahulu oleh jawatankuasa khas itu yang dipengerusikan Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang juga Pengerusi Lembaga Disiplin parti sebelum diedarkan kepada kesemua bahagian.

"Semua ini akan diperhalusi oleh jawatankuasa yang dibentuk dan dibantu oleh urus setia ibu pejabat Umno untuk menggariskan perkara-perkara salah laku tadi dan akan kita edarkan kepada semua bahagian untuk dijadikan panduan.

"Umpamanya kalau seseorang itu bertanding menentang calon Barisan Nasional, itu sudah lebih daripada sabotaj dan pada masa yang lepas kita tidak ambil tindakan pecat serta merta," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Keusahawanan dan Pendidikan Johor di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.

Muhyiddin berkata pada masa lalu tindakan hanya diambil apabila laporan diserahkan kepada Majlis Tertinggi selepas pilihan raya.

Menurutnya, kuasa sudah diturunkan semalam kepada jawatankuasa tersebut untuk bertindak dan memecat anggota parti yang melakukan salah laku itu dan jika panduan itu digunakan, tindakan segera dapat diambil tanpa menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan.

"Kali ini kita maklumkan awal bahawa sekarang jangan lakukan hal sebegini. Ini langkah-langkah pencegahan...apa yang penting ialah setiap ahli parti sedar bahawa mereka harus sentiasa setia pada parti, setia pada perjuangan dan sentiasa mahu menentukan BN dalam keadaan baik dan mencapai kemenangan," katanya.

Majlis Tertinggi Umno semalam bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas itu yang akan dianggotai beberapa anggota Majlis Tertinggi yang tidak ada kepentingan selain anggota Lembaga Disiplin dan pihak tertentu selaras dengan Fasal 10.15 yang dibaca bersama Fasal 20.3 Perlembagaan Umno.

Anggota yang dilantik boleh memberi laporan kepada jawatankuasa itu dan di samping itu laporan dibuat terus kepada ibu pejabat dan secara online. (Bernama)

No comments:

Post a Comment