KOTA KINABALU: Yang
di-Pertua Negeri Tun Juhar Haji Mahiruddin berkata, penguasaan bahasa asing
terutamanya bahasa Inggeris, pengalaman dan etika adalah antara kriteria
penting dalam pengambilan siswazah sebagai tenaga kerja.
Sehubungan itu beliau
menyeru golongan siswazah supaya mempertingkatkan penguasaan bahasa asing
terutamanya bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka bersaing di pasaran kerja.
“Kajian membuktikan bahawa
kriteria penting dalam pengambilan siswazah sebagai tenaga kerja adalah
bergantung kepada pengalaman, etika dan penguasaan bahasa-bahasa asing
terutamanya bahasa Inggeris.
“Jika kita ingin
mempertahankan kemajuan dalam era globalisasi ini, pergaulan kita dengan
bangsa-bangsa lain hendaklah maju dan penguasaan bahasa adalah kunci kepada
pengekalan kemajuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian
ketika berucap pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali
ke-14, di Dewan Canselor UMS, di sini, kelmarin.
Turut hadir Naib Canselor
UMS Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.
Tun Juhar berkata, kejayaan
para graduan memiliki segulung ijazah adalah langkah awal untuk mencapai
kejayaan yang lebih besar di masa hadapan.
“Kemampuan anda menyesuaikan
diri serta mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang anda perolehi amat penting
bagi menentukan kejayaan berterusan dalam persaingan di pasaran pekerjaan.
Selain itu anda juga perlu mempunyai ketahanan diri dan mental bagi mengharungi
arus globalisasi,” katanya.
Beliau berkata, di samping
mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang tertentu, para graduan juga harus
mempunyai soft skills iaitu meningkatkan kemahiran berkomunikasi, berurusan
secara diplomasi dan mengekalkan budaya Malaysia.
“Namun mengamalkan
nilai-nilai budaya yang murni tidak bermaksud kita sanggup dipijak, kerana
maruah dan jatidiri kita harus sentiasa dipertahankan,” katanya.
Tun Juhar berkata, dalam
usaha mencapai status sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, pelbagai
usaha dan perancangan transformasi telah dirangka dan dilaksanakan oleh
kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,
antaranya Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi
(ETP).
Katanya, kedua-duanya pelan
perancangan pembangunan itu bersifat modeniti bertujuan mempersiapkan Malaysia
menjadi sebuah negara bangsa yang utuh dari segi keupayaan fizikal dan
berpendapatan tinggi dan secara tidak langsung kekal bersaing serta releven
dengan negara bangsa yang lain.
“Bagaimanapun secara
peribadi, saya melihat setiap perancangan pembangunan yang bersifat holistik
dan konstruktif tidak mampu diwahanakan tanpa disokong oleh modal insan yang
berjiwa besar dan mandiri lokal.
“Justeru, UMS harus
mempunyai satu rangka pembangunan modal kemanusiaan bagi menyokong hasrat
kerajaan itu untuk melahirkan generasi yang berpengetahuan, bijaksana dan
mempunyai nilai-nilai kenegaraan.
“Penghasilan modal
kemanusiaan seumpama itu amat penting dalam alaf ke-21 yang penuh dengan
cabaran dan ketidaktentuan,” katanya.
Tun Juhar berkata, fakta
menunjukkan negara yang tidak mempunyai modal kemanusiaan yang tinggi akal budi
bakal berhadapan dengan keruntuhan.
Oleh itu katanya semua warga
UMS mesti berganding bahu dan bersatu padu mengembleng tenaga bagi memastikan
hasrat negara itu dapat dicapai.
“UMS mesti bersama-sama
dengan kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat bukan sahaja menyokong penuh
agenda transformasi negara, tetapi berganding bahu memastikan falsafah dan
agenda pendidikan negara menjadi kenyataan.
“Saya percaya UMS di bawah
teraju kepimpinan Naib Canselor yang baru mampu menggalas cabaran bagi
memastikan UMS dapat memainkan peranan yang konstruktif dalam agenda
transformasi pembangunan Malaysia,” katanya.
Berkenaan dengan
penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Kerja Sosial kepada
Tan Sri Lee Lam Thye, Tun Juhar berkata: “Ia tidak setimpal dengan sumbangan
yang telah dicurahkan oleh beliau kepada pembangunan negara, kerana Tan Sri
adalah tokoh sosial yang terkenal dengan keprihatinan terhadap keberadaan
masyarakat, khususnya kesejahteraan dan keselamatan pekerja di Malaysia.
Katanya, jasa Lee Lam Thye,
lebih besar daripada sekeping ijazah dan “saya percya beliau akan terus memberi
sumbangan intelektual dan perjuangan sosial kepada pembangunan negara kita”.
No comments:
Post a Comment