BAGAN DATOH : Menteri
Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ketua Audit Negara telah
memperjelaskan pembelian kapal selam Scorpene mengikut prosedur perundangan dan
laporan rasminya harus diterima pakai oleh semua pihak.
Mengulas usaha pihak
pembangkang untuk menjemput peguam dari Perancis, William Bourdon, untuk
memberi taklimat kepada anggota Parlimen mengenai urus niaga kapal itu, Zahid
berharap pihak tertentu supaya jangan cuba menyeleweng fakta yang sedia ada.
Beliau berpendapat peguam
itu dijemput oleh pihak pembangkang semata-mata untuk urusan politik bukannya
atas urusan perundangan.
Zahid berkata demikian
selepas merasmikan Temasya Sukan Sekolah Agama Rakyat Al-Ulum Al Tarbiah,
Kampung Tanah Lalang di sini, kelmarin.
Ahmad Zahid yang juga Naib
Presiden UMNO berkata pembelian kapal selam itu harus dilihat dari aspek
program ‘offset’, latihan dan jaminan mutu kerja untuk tempoh tertentu dan isu
ini adalah perkara lama yang sengaja dibangkitkan semula untuk menimbulkan
kemarahan dan mengelirukan pemikiran rakyat.
Ditanya mengenai perkara
lain iaitu permintaan elaun RM500 setiap bulan oleh veteran tentera zaman
darurat, beliau terserah kepada budi bicara Perdana Menteri untuk menunaikannya
sekiranya kerajaan berkemampuan melakukan demikian.
“Permintaan elaun tetap
RM500 sebulan adalah sesuatu yang berat untuk dilakukan oleh kerajaan. Kita
harus bersyukur dengan pemberian saguhati RM1,000 yang telah diumumkan dalam
Belanjawan 2013 sebagai tanda kerajaan menghargai sumbangan veteran tentera
yang bertugas semasa darurat,” katanya.
No comments:
Post a Comment