Oleh : FATHI ARIS OMAR
ULASAN Pada 2001, Dr
Mahathir Mohamad menyifatkan Malaysiakini sebagai 'pengkhianat' negara. Waktu
itu portal berita ini dituduh mengambil dana hartawan George Soros, spekulator
yang dituduh dalang perosak ekonomi Asia susulan 'Kesan Tom Yam' keruntuhan
mata wang bath.
Lima tahun kemudian, mantan Perdana
Menteri tidak semena-mena menerima penjelasan Soros bahawa beliau tidak
terlibat meranapkan ekonomi negara dalam krisis 1997 selepas satu pertemuan di
Kuala Lumpur.
Padahal Soros dan Mahathir
pernah menjalin permusuhan senyap sejak awal 1990-an.
Dalam tempoh berbaik-baik
dengan Soros itu, Dr Mahathir memberikan wawancara kepada Malaysiakini, media
dalam talian yang didakwa 'pengkhianat' sewaktu di puncak kuasanya.
Mahathir mempergunakan
Malaysiakini - seperti juga taktiknya berbaik-baik dengan Soros - waktu itu
kerana beliau sedang berperang besar dengan pengganti pilihannya sendiri,
Abdullah Ahmad Badawi, sehingga parti dan media arus perdana membelakangkannya.
Hanya Malaysiakini
satu-satunya media alternatif yang sepadan dengan media besar arus perdana.
Maka, beliau memilih Malaysiakini, selain pentas-pentas ceramahnya di serata
negara.
Tujuan rasmi (siapa tahu
tujuan tidak rasmi pertemuan Soros-Mahathir?) berbaik-baik itu dilaporkan untuk
bersama-sama menentang presiden George Bush yang mengamalkan dasar perang demi
petroleum.
Dana gelap kepada Abramoff
Padahal, kemunculan awal
Bush ini disambut positif oleh Umno dan media arus perdana atas kejayaannya
menewaskan calon Demokrat, Al Gore pada tahun 2000.
Mereka bergembira atas
kenaikan Bush semata-mata dendam mereka pada Gore - sewaktu itu, 1998, naib
presiden Amerika Syarikat - yang pernah melemparkan percikan sokongan pada
Gerakan Reformasi dalam ucapannya di Kuala Lumpur.
Susulan kemenangan Bush, Dr
Mahathir secara senyap-senyap mengatur pula pertemuan dengan presiden Amerika
Syarikat itu di Rumah Putih pada 2002.
Maka tersebarlah foto
kedua-dua pemimpin ini berjabat tangan sambil tersenyum ke serata dunia.
Namun, kehebatan Dr Mahathir
ini terbongkar apabila beliau dituduh menggunakan AS$1.2 juta (RM4.56 juta)
kepada pelobi Jack Abramoff untuk membeli janji temu dengan Bush.
Dana yang disalurkan secara
gelap kepada Abramoff - bersama taktik gelap pelobi itu sendiri - menyebabkan
Senat Amerika menyiasatnya.
Abramoff akhirnya mengaku
bersalah, dan pada waktu yang sama mendedahkan tembelang di sebalik makna jabat
tangan Mahathir-Bush, empat tahun sebelum Mahathir-Soros berbaik-baik untuk
menentang presiden tersebut.
[Dr Mahathir akhirnya
mengakui kewujudan dana ini tetapi menafikan ia dibayar oleh kerajaan
Malaysia.]
Bolak balik persabahatan
& perseteruan Dr M
Seperti hubungan mesra
Mahathir-Anwar Ibrahim dan Mahathir-Abdullah, semua imej indah beliau dengan
Soros dan Bush berakhir dengan sikap perseteruan.
Abdullah diangkat sebagai
pengganti Anwar sewaktu bekas "anak didiknya" menjadi musuh nombor
satunya. Kemudian Abdullah menjadi musuhnya pula.
Di saat itulah, Mahathir
mempergunakan Malaysiakini dalam empat wawancaranya, termasuk menjelang pilihan
raya umum 2008, untuk menentang Abdullah. Selepas itu beliau tidak berminat
lagi ditemubual akhbar portal ini.
Sikap sebegini -
berbolak-balik dalam persahabatan dan perseteruan - sudah lama mendarah daging
dalam kelicikan politik Mahathir, seperti dilihat sejak 1980-an.
Musa Hitam, seorang lagi
bekas timbalannya, diangkat menjadi regu kuatnya sewaktu perlunya tokoh Johor
itu dipergunakan untuk menentang kemaraan Tengku Razaleigh Hamzah.
Musa akhirnya tersungkur dan
sekali gus tersingkir dengan beban sejarah yang ditanggungnya hingga saat ini.
Jadi tidaklah menghairankan
apabila Mahathir menyerang Soros dan sekali gus Malaysiakini semula dalam
artikelnya di New Sunday Times baru-baru ini.
Padahal akhbar itu pernah
juga menjadi kecaman utama beliau dan sekutu-sekutunya sewaktu berperang dengan
Abdullah.
Lidah orang politik
Cuma, beliau mungkin terasa
sasarannya (Malaysiakini) terlalu kecil dalam skema analisisnya dan tidak pula
sepadan dengan status besarnya sebagai perdana menteri selama 22 tahun.
Lalu, bagi menampakkan
artikelnya itu besar setaraf dengan kenegarawanannya, maka diolah pula slogan
"undi untuk pembangkang bermakna undi untuk Soros"!
Dalam wawancara terakhirnya
di Malaysiakini, hanya tiga hari sebelum 8 Mac 2008, Dr Mahathir menyokong
penuh barisan pembangkang - perlunya pembangkang yang menunjukkan sisi-sisi
hodoh wajah politik kerajaan.
Orang kerajaan dan orang
parti pemerintah hanya tahu membodek, tambahnya ketika berperang dengan
Abdullah dan dengan New Straits Times empat tahun lalu.
Negara kita akan jahanam
jika pembangkang lembik seperti politik Singapura, katanya lagi, merujuk negara
yang tidak pernah disenanginya itu.
Tanpa sebarang perubahan,
barisan pembangkang yang sama - dan "NGO seperti Malaysiakini" itu
juga - kini dianggapnya 'agen Soros' untuk "menukar rejim" BN.
Kita boleh faham lidah
bercabang orang politik; hal itu tidak perlu dihairankan. Namun kita tidak
pernah melihat mata pena bercabang-cabang seperti digunakan Dr Mahathir di dada
akhbar pada Ahad itu.
(NOTA
: Fathi Aris Omar, Ketua Pengarang Malaysiakini)
No comments:
Post a Comment