GEMPAR.....Feri
kenderaan Wawasan Perdana yang terbakar menggemparkan penduduk Labuan
terutamanya mereka yang bakal melakukan perjalanan dengan menggunakan feri itu
pada jam 8 pagi.
By : ADRIAN NANDU.
LABUAN: Feri kenderaan
Wawasan Perdana milik Syarikat Labuan Ferry Corporation (LFC) Sdn Bhd telah
terbakar pada jam 6.05 pagi kelmarin ketika sedang berlabuh di terminal feri.
Utusan Borneo melaporkan
bahawa Ketua Polis Daerah Labuan, Superitendan Adzhar Othman berkata kejadian
kebakaran itu disedari oleh pekerja di bahagian enjin kapal ketika pekerja
hendak menghidupkan enjin feri terbabit.
“Pihak bomba telah menerima panggilan
kecemasan pada jam 6.12 pagi dan tiba ke lokasi berkenaan tiga minit
kemudiannya. Kebakaran telah berjaya dikawal dengan sepenuhnya pada jam 7.20
pagi,” katanya.
Sejurus kebakaran berjaya
dikawal, Adzhar bersama anggota polis dan bomba telah melakukan pemeriksaan
fizikal ke atas feri terbabit.
“Keseluruhan kabin penumpang
dan bilik juragan telah musnah terbakar. Namun demikian, tiada sebarang
kecederaan dan kemalangan jiwa yang berlaku memandangkan tiada kenderaan
ataupun penumpang berada di dalam feri, dan feri itu hanya mula beroperasi pada
jam 8 pagi setiap hari.
“Hasil siasatan awal
mendapati punca kebakaran disebabkan oleh lintar pintas pemanas air di bahagian
dapur kantin dalam kabin penumpang,” katanya dan menambah, kes itu
diklasifikasikan sebagai “fire report”.
Adzhar turut berkata, atas
kecekapan pihak bomba dan penyelamat yang berjaya memadam kebakaran dalam masa
37 minit telah berjaya mengelak kebakaran dari merebak ke tempat lain dan
siasatan masih lagi diteruskan.
Feri Wawasan Perdana boleh
memuatkan 1,000 penumpang, 80 buah kenderaan sedan dan 24 buah lori 15 tan
dalam satu perjalanan.
Sementara itu, ketua pegawai
eksekutif LFC, Shamsul Sahari dan pengarah eksekutif LFC, Peter Kong enggan
mengulas mengenai perkara tersebut dan menyerahkan kepada pihak polis dan bomba
untuk menjalankan siasatan. (UB)
No comments:
Post a Comment