KUMPULAN pendesak Melayu
PERKASA hari ini membayangkan haram bagi umat Islam untuk mengundi MCA dalam
pilihan raya ekoran kenyataan terbarunya berhubung hudud yang didakwa menghina
Islam.
Setiausaha Agungnya, Syed
Hassan Syed Ali berkata, walaupun PERKASA memutuskan untuk memenangkan BN dalam
pilihan raya umum depan, tidak bermakna ketetapan itu tidak boleh berubah
terhadap calon MCA.
"Soal Islam, tiada
kompromi daripada PERKASA. Haram umat Islam dalam PERKASA memilih pihak yang
menghina Islam," kata Syed Hassan.
"Sudah berkali-kali
PERKASA ingatkan MCA supaya jangan hina Islam dan mana-mana pihak pun jangan
sesekali politikan Islam. (Presiden MCA Dr) Soi Lek masih ada masa untuk tarik
balik kenyataannya itu sebelum terlambat.
Syed Hassan berkata,
walaupun anggotanya tidak akan mengundi PKR atau DAP, pasti terdetik di hati
mereka ''pastinya haram bagiku memilih MCA kerana mereka menghina agama
Islamku, jadi apa perlu aku keluar mengundi''.
Dr Chua semalam mendakwa
seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS
melaksanakan hudud di Malaysia.
Memetik SMS oleh individu
tidak dikenali, beliau menyenaraikan pelbagai industri yang didakwa akan
terjejas, termasuk resort perjudian Genting Highlands, pusat pertaruhan dan
rumah urut.
Apa tujuan Soi Lek?
Dalam kenyataannya hari ini,
Syed Hassan juga membangkitkan persoalan tujuan kenyataan Dr Chua yang
menyentuh isu sensitif itu sedangkan pemimpin veteran itu sudah lama bersama
dengan 'rakan Islam'.
"Apakah kita mahu
berlaku di sini? Umat Islam wajib pertahankan hukum hudud yang sebenar. Bukan
hukum hudud ala PAS," katanya.
Menyentuh kenyataan Dr Chua
itu, Syed Hasan membidasnya, hudud tuntutan Islam tidak akan membuatkan rakyat
hilang pekerjaan, malah memberi banyak peluang pekerjaan.
Justeru, katanya lagi, Chua
lebih baik berdiam diri kerana beliau didakwa tidak faham apa itu hukum hudud
sebenarnya.
"Seorang bukan Islam
adalah lebih baik tidak menyentuh hukum Islam lebih-lebih lagi di
Malaysia," katanya melalui SMS ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Syed Hassan juga
mengingatkan supaya perkara sensitif tidak diusik, termasuk yang melibatkan
agama bukan Islam, kerana ia pasti mendatangkan kemarahan pihak lain.
"Banyak terjadi di
sesetengah negara luar, isu agama boleh jadi huru hara sehingga bunuh membunuh
antara penganut agama berlainan." katanya lagi.
No comments:
Post a Comment