PEMUDA PAS menyifatkan
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai 'meracau' dan cuba menjadi 'hero
kartun' apabila mendakwa seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan hilang pekerjaan
jika hudud dilaksanakan.
Ketuanya Nasrudin Hassan
mempersoalkan kenyataan 'dangkal', 'melucukan' dan 'tidak berasas' itu ekoran
ia hanya bersandarkan SMS daripada individu yang tidak dikenali, sekali gus
dianggap tidak profesional dan tidak bernilai akademik.
“Apakah Dr Chua Soi Lek
telah dirasuk 'syaitan yang dikenali' sehingga lantang mempersoalkan hukum
hudud hanya berdasarkan SMS yang dikirim oleh individu yang tidak dikenali?”
katanya.
Dr Chua semalam mendakwa
seramai 1.2 juta rakyat Malaysia akan kehilangan kerja sekiranya PAS
melaksanakan hudud di Malaysia.
Memetik SMS oleh individu
tidak dikenali, beliau menyenaraikan pelbagai industri yang didakwa akan
terjejas, termasuk resort perjudian Genting Highlands, pusat pertaruhan dan
rumah urut.
Dalam kenyataannya semalam,
Nasrudin berkata, Pemuda PAS mendesak Dr Chua segera memohon maaf kepada umat
Islam dan seluruh rakyat kerana didakwa mencetus keresahan masyarakat.
“Ini adalah fitnah yang
melampau. Sedangkan rakyat yang beragama Islam wajib menerima hukum Alah SWT
ini, sementara non-Muslim pula tidak perlu bimbang dan resah justeru
perlaksanaan hukum Islam justeru ia tidak dipaksa ke atas mereka,” katanya.
Nasrudin juga menyeru supaya
rakyat bijak memilih pemimpin masa depan negara, sekali gus menolak “syaitan
yang dikenali bersama komponennya yang semakin meracau di usia lewat”.
Istilah 'syaitan yang
dikenali' digunakan meluas oleh pembangkang bagi menyindir BN ekoran kenyataan
Tun Dr Mahathir Mohamad yang memetik peribahasa Inggeris “better to choose the
devil you know than the angel that you don’t know” (terjemahan langsung: lebih
baik syaitan yang dikenali daripada malaikat yang tidak dikenali).
Cemuhan serupa turut
disuarakan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Lee Khai Loon yang
berkata Chua 'berkhayal' sehingga mengeluarkan dakwaan 'mengarut' seperti itu.
"Dr Chua seperti
meludah ke langit dengan mendakwa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih
kerajaan pusat, maka semua premis arak, judi, kafe siber dan refleksologi akan
ditutup.
"Sebaliknya di dalam
Selangor, ADUN MCA telah mengadu bahawa kerajaan negeri telah banyak meluluskan
bilangan lesen kafe siber dan rumah urut yang sendirinya bertentangan dengan
kenyataan Chua," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment