Monday, 22 October 2012

PILIH CALON YANG DAPAT RESTU BAHAGIAN





GUA MUSANG : Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mahu pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memilih calon yang direstui anggota peringkat bahagian untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Beliau berkata langkah itu penting bagi mengelakkan anggota parti mengambil tindakan mensabotaj calon kerana pemilihan dibuat tidak mengikut kehendak mereka.

Di Kelantan, perkara seperti itu (sabotaj) sentiasa berlaku, katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Mini Karnival Pemakanan Sihat 2012 Parlimen Gua Musang, di Rancangan Kemajuan Tanah RKT Kesedar Sungai Asap B, di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh yang menyambut baik keputusan Majlis Tertinggi Umno Jumaat lepas untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengambil tindakan segera terhadap anggota parti yang mensabotaj calon BN, berkata tindakan tegas perlu diambil sebelum pilihan raya.

"Saya percaya pucuk kepimpinan memikirkan perkara itu semua supaya tidak berlaku perkara tidak diingini kerana masalah itu sentiasa berlaku pada setiap kali pilihan raya berikutan ada perkara yang tidak kena pada ahli peringkat bahagian.

"Kita tidak mahu tindakan tegas diambil selepas pilihan raya selesai seperti yang pernah dibuat jawatankuasa disiplin parti sebelum ini kerana selepas itu orang tidak mempedulinya lagi dan sudah terlambat," katanya.

Ditanya mengenai peluang BN Kelantan pada PRU-13, Tengku Razaleigh berkata BN mampu berkuasa semula dengan syarat semua pihak perlu bekerja kuat dengan mengatur strategi betul. Mini Karnival anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Kelantan itu turut dimeriahkan dengan pertandingan masakan kampung dan pemeriksaan kesihatan. (Bernama)

No comments:

Post a Comment