KUALA LUMPUR : Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu semua jentera Barisan Nasional (BN)
menentukan mereka sudah mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi sebelum menuju ke
medan peperangan pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.
Najib, yang juga Pengerusi
BN, berkata sebelum menuju ke medan 'perang', seluruh jentera BN perlu membuat
persiapan rapi, termasuk mengkaji pelbagai kemungkinan yang akan berlaku bagi
memastikan setiap gerakan dilaksanakan tanpa rasa ragu.
"Kita mesti membuat
persiapan dan terus bersiap sedia sehingga tiada lagi perasaan sangsi terhadap
keputusan perang itu kelak.
Saya menganggap persediaan
ini amat penting, perancangan amat penting," katanya ketika merasmikan
Perhimpunan Agung MCA ke-59 di sini, hari ini.
Dalam menegaskan perkara
itu, Najib memetik seorang ahli falsafah Islam bahawa pihak yang mempunyai
perancangan yang teliti boleh mengalahkan pihak yang kurang buat kurang
perancangan walaupun pihak yang kurang membuat perancangan itu adalah di pihak
yang benar.
Mengulas perhimpunan MCA
tahun ini, Najib mengakui terdapat perbezaan dan tanda-tanda perubahan pada
parti terbesar masyarakat Cina itu yang dilihat lebih bersemangat dan bersedia
berhadapan dengan pembangkang pada pilihan raya akan datang.
"MCA kali ini ada
kelainan... ada keistimewaannya. Saya melihat bahawa ahli-ahli MCA yang hadir
dalam dewan ini begitu bersemangat sekali, seperti kata presiden MCA, MCA sedia
untuk berperang.
"Barangkali kalau kita
sudah bersedia untuk berperang, memakai baju yang sama, adalah cerminan hati
yang satu... tetapi mesti juga ada hati dan pemikiran yang sama, "
katanya.
Kata Najib agenda penting
apabila ke medan perang adalah untuk memastikan kemenangan dan pada pilihan
raya umum ke-13 ini, BN mahu mendapatkan kemenangan yang lebih besar.
"Siapa hendak pergi
perang, kalah. Siapa yang mahu kalah? Kita mahu menang dan kali ini, kita mahu
menang besar, sudahkan anda bersedia? Sentiasa bersedia. Bateri kuat
tak?," tanya beliau yang mendapat sorakan padu daripada anggota perwakilan
yang hadir.
Seramai 1,698 anggota
perwakilan menghadiri persidangan kali ini yang berlangsung selama dua hari
bermula semalam dengan Persidangan Pergerakan Pemuda dan Wanita.
Najib berkata MCA kini
dilihat lebih tegas dan tidak takut untuk berhadapan dengan pakatan pembangkang
bukan sahaja dalam mempertahankan BN tetapi juga menangkis dakyah liar
pembangkang.
"Sebab pembangkang ini
banyak pembohongannya. Banyak yang ditipu kita, banyak yang dikelentong kita.
Mereka cuba menggambarkan sesuatu yang kononnya indah tapi kalau kita belek dan
kalau kita tolak di belakang, kita lihat sebenarnya, rosak dan banyak yang
mereka lakukan, bertentangan dengan imej yang mereka cuba tonjolkan kepada
umum," katanya.
Pembangkang juga, menurut
Najib tidak mempunyai kelayakan yang cukup untuk melaksanakan sistem kerajaan
berparlimen walaupun sering mengadu-domba kesediaan untuk mengambil alih
pemerintahan kerajaan dan Putrajaya.
"Mereka tidak mematuhi
piawaian antarabangsa. Sebab antara pra syaratnya, mereka mesti ada simbol yang
sama, dan mereka mesti ada manifesto yang sama. Tapi setakat ini, tiada...
'ilek'...".
"Sekejap-sekejap bulan,
kejap-kejap roket, kejap-kejap mata. Mana boleh kita beri keyakinan pada
rakyat, bagi tahu pada rakyat parti yang bertanding atas simbol yang berlainan
tanpa satu manifesto adalah parti yang tidak ada dasar yang sama, bagaimana
untuk mentadbir negara ini," katanya.
Tegas Najib, rakyat tidak
boleh mengambil risiko untuk menukar kerajaan kepada kepimpinan yang tidak
mempunyai rekod pencapaian yang baik kerana ia seperti memperjudikan masa depan
negara.
"Ada orang kata tak
apa, kalau mereka tak betul, boleh tukar balik lepas lima tahun. Tetapi jangan
cakap lima tahun, dalam setahun pun negara boleh rosak, merudum, hancur, tertiarap
(jika tidak ditadbir dengan baik).
"Dalam dunia yang
berdasarkan kepada unsur ataupun dimensi globalisasi, ekonomi boleh lumpuh,
saham boleh jatuh. Orang Cina, bekerja kuat, membina perniagaan masing-masing,
ada banyak syarikat, kalaulah saham jatuh, ingat apa berlaku pada krisis Asia
tahun 1997 dulu, apa yang berlaku?".
Mengimbas kembali dilema
krisis kewangan, Najib turut mengingatkan peranan Ketua Pembangkang Datuk Seri
Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan yang mencadangkan beberapa perkara termasuk
membuat pinjaman dengan Tabungan Kewangan Antarabangsa (IMF), menaikkan kadar
faedah 24 peratus, melaksanakan belanjawan bajet menguncup.
"Siapa yang selamatkan
kita? BN... dengan Tun Dr Mahathir...kita tolak IMF, kita katakan kita mahu
menanganinya cara kita. Kalau kita benarkan perkara itu berlaku, hari ini
'taiko-taiko' di dalam dewan ini mungkin sudah pakai selipar jepun sahaja,"
katanya yang disambut tepukan gemuruh warga MCA.
Sehubungan itu, Perdana
Menteri mengingatkan rakyat supaya mengamalkan sikap berhati-hati dalam memilih
kerajaan dengan melihat kepada rekod pencapaian dan pengalamannya dalam
mentadbir negara untuk menjamin kelangsungan negara pada masa akan datang.
"Jangan main api. Kita hendak masa depan kita kita corakkan bersama supaya
di bawah kepimpinan BN kita boleh mencapai menjadi negara maju menjelang
2020," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment