SAMBUT....Jame
disambut oleh sebahagian warga pendidik yang hadir.
Oleh: JACOB BALANG
KENINGAU: Jabatan Pelajaran
Negeri Sabah (JPN), memberi pengiktirafan tinggi terhadap kecekalan guru yang
kembali bertugas di sekolah yang terbabit dengan insiden pencerobohan Lahad
Datu baru-baru ini.
Pengarahnya, Jame Alip
berkata walaupun rata-rata guru terbabit masih trauma dengan kejadian itu,
namun kerana semangat cekal dan kasihsayang terhadap pelajar, mereka kembali
bertugas seperti biasa.
"Kita sanjung tinggi
pengorbanan setiap guru yang sanggup berhadapan dengan apa keadaan sekalipun;
sanggup berkorban jiwa dan raga demi tugas sebagai guru kerana mereka sayangkan
pelajar dan kerjaya," katanya ketika berucap di Program Jerayawara
Pengarah Pelajaran, Zon Pedalaman Atas di Dewan Yuk Kong dekat sini baru-baru
ini.
Hadir sama, Timbalan
Pengarah Hajah Maimunah Suhaibul, Pegawai Pelajaran (PPD) Keningau Masly Wahip;
PPD Tambunan Kaipin Rosmin; PPD Tenom Azmal Jumah, Ketua Sektor Pengurusan
Sekolah Raisin Saidin.
Majlis tersebut turut dimeriahkan
dengan kehadiran kira-kira lebih 500 guru, antara lainnya terdiri daripada
pentadbir sekolah dan penolong kanan sekitar daerah Tambunan, Tenom, Keningau
dan Nabawan.
Pada majlis itu, Jame
melancarkan tabung dana kewangan untuk membantu warga pendidik yang kehilangan
harta benda, apabila rumah yang didiami musnah dalam insiden pencerobohan Lahad
Datu beberapa bulan lalu.
Katanya, guru terbabit telah
diberi khidmat kaunseling untuk menguatkan lagi semangat bertugas dengan hati
yang cekal demi mendidik anak bangsa.
"Kita percaya warga
pendidik yang terlibat di kawasan insiden, tentu sekali trauma, namun kita akan
bantu supaya semangat guru itu tidak pudar malah sanggup bergadai nyawa demi
anak bangsa, kita sanjung guru-guru yang melindungi anak didik ketika insiden
berlaku, " katanya.
Dalam insiden itu, katanya
segelintir guru pada mulanya enggan kembali bertugas kerana trauma dengan
kejadian, bagaimana pun, selepas diberi kaunseling dan keyakinan akhirnya
guru-guru terbabit kembali bertugas semula.
Pada masa yang sama, Jame
menggesa warga pendidik di negeri ini, agar mempunyai tranformasi minda untuk
memastikan modal insan yang bakal mewarisi kepimpinan negara, terdiri daripada
mereka yang serba boleh dan jati diri yang tinggi.
Tambahnya, tranformasi
merangkumi perubahan sikap dan didikasi sebagai seorang guru yang disayangi
pelajar dan masyarakat.
Katanya, sikap sering
menghukum pelajar tanpa menyelami hati sanubari pelajar, menyebabkan tindakan
tidak berkesan, malah gagal membantu pelajar menjadi insan cemerlang.
"Sebagai guru, kita
perlu tahu latar belakang pelajar kita, supaya setiap kelemahan pelajar dapat
dibantu dengan tindakan yang tepat, berbanding menghukum termasuk dendaan,
tetapi sebaliknya tidak boleh membantu pelajar, malah menjadikan pelajar mudah
putus asa, " katanya.
Katanya lagi, sikap guru yang
sayang kepada murid akan melahirkan murid yang sentiasa ceria dan minat untuk
belajar terus dipupuk melalui situasi pengajaran dan pembelajaran yang
harmonis.
"Kadang kala, guru
lebih suka menghukum pelajar, tanpa menyelami hati, latar belakangnya, mengapa
pelajar itu telah membuat kesalahan atau kerap tidak hadir, tentu ada puncanya,
maka sebagai guru penyayang wajar mengambil peranan seperti ibubapa,"
katanya
Dalam pada itu, Jame
menggesa guru agar mengamalkan budaya kerja yang cepat, tepat serta
berintegriti di mana guru perlu mempunyai amalan kerja yang produktif, Keratif
dan Inovatif.
“Kerjaya yang baik dapat
memastikan profesion perguruan sentiasa dipandang mulia serta dihormati setiap
anggota masyarakat,” tegasnya.
.
di Lahad Datu ada lebih 100 buah sekolah terutamanya di kawasan luar bandar seperti Felda.. walaupun keadaan sudah kembali tenang, namun semua sekolah2 ini perlu juga dikawal oleh anggota polis atau tentera..
ReplyDeleteInsiden pencerobohan oleh kumpulan pengganas di Lahad Datu dan Semporna memberi kesan yang sangat besar kepada politik, sosial dan ekonomi negara khususnya negeri Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin.
ReplyDeleteBeliau berkata tragedi itu sudah mengorbankan nyawa sepuluh orang anggota pasukan keselamatan negara, yang bukan sahaja menyebabkan anak kehilangan ayah, isteri kehilangan suami, ibu dan bapa kehilangan anak, tetapi juga akan kekal menjadi titik hitam dalam lipatan sejarah negara."Hasil pengorbanan pahlawan negara ini seperti mana pada era darurat dan insurgensi telah memungkinkan kemajuan dan kemakmuran kita nikmati hingga hari ini. Pengorbanan mereka bukan sia-sia, pengorbanan mereka bukan kecil, pengorbanan mereka bukan untuk diperlekehkan," katanya.
ReplyDeleteInsiden keganasan itu memberi pengajaran kepada semua tentang pentingnya menjaga dan memelihara keamanan dan keselamatan.
ReplyDelete"Keamanan dan kestabilan yang berpanjangan tidak harus menjadi sebab ketumpulan tahap kita berwaspada. Sebagai seorang bekas anggota keselamatan, saya merasa dukacita terhadap penghinaan yang dilemparkan ke atas pasukan keselamatan kita.
tanggungajwab guru tetap dilaksanakan
ReplyDelete