JABATAN Pendaftaran Negara
(JPN) tidak pernah mengeluarkan Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKas)
kepada warga asing untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Ketua Pengarah Pendaftaran
Negara Datuk Jariah Mohd Said berkata berdasarkan status sebagai Pemastautin
Sementara yang membawa makna bukan berstatus warganegara Malaysia, pemilik
MyKas tidak mempunyai hak untuk mengundi.
Sehubungan itu beliau
berkata dakwaan menerusi media sosial sejak kebelakangan ini, ternyata berniat
jahat terhadap kerajaan, khususnya JPN, serta bertujuan mengelirukan orang
ramai.
"Kad Pengenalan
Pemastautin Sementara dikeluarkan mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta
78) dan Peraturan-peraturan, di bawah Peraturan 5(3)(c)(ii) Peraturan-peraturan
Pendaftaran Negara 1990 (pindaan 2001), kepada seseorang yang dilahirkan di
Malaysia.
"Namun status
kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan atau masih belum ditentukan,"
katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jariah berkata pada 2008 Kad
Pengenalan Pemastautin Sementara yang baharu telah dikeluarkan dan dikenali
sebagai MyKas berwarna hijau sepenuhnya dengan mengekalkan catatan Pemastautin
Sementara serta dicatat sebagai Bukan Warganegara pada kad itu, dengan tempoh
sah laku selama lima tahun dan boleh diperbaharui semula.
"Sebelum 2009, semua
kad pengenalan dikeluarkan menggunakan kad yang sama berwarna biru, sama ada
kepada mereka yang bertaraf warganegara atau bukan warganegara.
"Bagaimanapun bagi Kad
Pengenalan Pemastautin Sementara terdapat perbezaan pada muka depan kad
tersebut iaitu mempunyai catatan tarikh luput, 'Pemastautin Sementara' dan
terdapat lima segi tiga berwarna hijau pada permukaan kad," katanya. (Bernama)
No comments:
Post a Comment