Monday 9 August 2010

PEMIMPIN DAN RAKYAT TERIMA SABAHKINI.NET




Saudara Pengarang,

IZINKAN saya untuk menggunakan sedikit ruang portal Sabahkini.net bagi menjawab beberapa soalan yang diutarakan oleh pembaca setia portal ini iaitu Jainin Yadtaroh bertajuk ‘Sabahkini.Net Perlu Jadi Media Mega’

Terima kasih kepada Jainin kerana memberi idea yang bernas dan berkesan. Sebagai wartawan veteran yang berkecimpung dalam dunia penulisan media dan kreatif selama hampir 44 tahun dan kini sebagai Ketua Biro Sabahkini.net Wilayah Sandakan; satu jawatan yang memang berat untuk saya pikul.

Namun bagi saya tanggungjawab mahupun amanah yang dimandat Sabahkini.net seberat mana sekalipun tetap saya pikul demi memantapkan lagi peranan Sabahkini sebagai lidah rasmi rakyat Sabah tanpa sebarang karenah birokrasi.

Biarlah saya jelaskan, peranan saya sebagai wartawan tidak boleh berat sebelah dengan mana-mana pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang kerana misi dan visi saya sebagai wartawan ialah melaporkan secara telus dengan berpaksikan kepada kebenaran dan kejituan fakta.

Sehubungan itu, saya sudahpun menjelaskan kepada semua pihak termasuk pemimpin UMNO/BN dan juga pembangkang bahawa sebagai wartawan saya tidak boleh memihak ke mana-mana blok, sekalipun secara peribadi saya adalah penyokong tegar salah satu parti komponen BN.

Saya tidak boleh terikat dengan mana-mana pihak sama ada BN dan pembangkang. Tugas saya ialah mendapatkan fakta dan bukti yang cukup terutama mengenai isu penindasan yang dilakukan sesiapa sahaja terhadap golongan yang lemah dan tidak berdaya.

Sebagai media rakyat, saya dipertanggung jawabkan menyiasat kedaifan orang kampung; menyelongkar sikap kesombongan sesetengah kakitangan dan pegawai kerajaan, badan-badan berkanun dan swasta melalui beberapa metodologi termasuk menyamar sebagai orang kampung yang susah untuk mendapatkan bukti layanan buruk sesebuah jabatan.

Saya juga hairan kenapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyiasat aduan orang awam yang mengadu mereka terpaksa membayar atau memberi rasuah untuk mendapatkan sesuatu perkhidmatan percuma; sedangkan pegawai yang dilaporkan mampu membeli kereta mewah sedangkan gajinya hanya RM1,400. Setelah ditolak bayaran ansuran kereta sejumlah RM1,200, maka baki yang boleh dibawa balik hanya RM200. Adalah mustahil untuk menyara kehidupan dengan wang RM200 kerana mi maggi dan sardin pun semakin mahal jika bukan daripada wang rasuah.

Syukur Alhamdulillah, nampaknya sekarang ini para pemimpin UMNO dan BN tidak lagi memandang serong terhadap peranan Sabahkini.net termasuk diri saya sendiri kerana 80 peratus aktiviti UMNO dan BN saya siarkan di Sabahkini.net melestarikan peranan kerajaan membangunkan negeri ini.

Sekian, Salam Homat dan Salam 1Malaysia

SHAIMON S JUMADI

Ketua Biro Wilayah Sandakan

No comments:

Post a Comment