Saturday 12 November 2011

JANGAN ABAIKAN PENDIDIKAN AGAMA



TAHNIAH…Lajim ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta dalam pertandingan yang diadakan sempana majlis tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

IBUBAPA digesa tidak mengabaikan pendidikan agama kepada anak-anak mereka kerana ia penting untuk membentuk generasi muda menjadi rakyat yang baik.

Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Malaysia, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, pendidikan agama yang mendalam juga mampu melahirkan generasi berdisiplin dan mempunyai nilai murni yang tinggi.

"Walau setinggi mana sekalipun pelajaran akademik, jangan abaikan pendidikan agama kerana ia sangat penting untuk menjamin hidup yang baik," katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilhadha di Masjid Kampung Kukut, dekat sini baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Malaysia (Beaufort) turut mengingatkan betapa pentingnya anak-anak diberikan pendidikan agama selain pendidikan akademik bagi mengimbangi antara tuntutan di dunia juga di akhirat kelak.

Katanya, kesimbangan antara pendidikan agama dapat memperkukuhkan jatidiri, akhlak serta aqidah anak-anak agar tidak terjemurus dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral yang menjadi penyebab kepada kegagalan mereka membena masa depan yang lebih baik dan sempurna.

Dalam pada itu, Lajim turut mengingatkan umat Islam agar melihat intipati pengertian ibadah korban dari perspektif yang lebih luas iaitu bukan sekadar menyembelih binatang korban dan dagingnya disedekahkan kepada fakir miskin; namun katanya, dalam masyarakat Islam hari ini, makna pengorbanan amat luas dan mendalam memandangkan terlalu banyak cabaran yang terpaksa mereka hadapi.

Katanya, peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s memberi makna besar kepada seluruh umat Islam dan memperlihatkan sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah yang sanggup melakukan apa sahaja demi menegakkan agama Islam, walaupun terpaksa mengorbankan anak kesayangan sendiri.

“Berkorban bukan sahaja membawa erti tentang kesanggupan seseorang itu untuk menyerahkan harta atau apa-apa yang disayangi kerana menginsafi akan keperluan orang lain yang lebih memerlukan, tetapi lebih kepada kesanggupan seseorang untuk berbuat sesuatu untuk tujuan kebaikan,’’ katanya.

Menurut Lajim, dalam menjana pembangunan dan kemajuan hidup, kita sewajarnya menjadikan peristiwa korban itu sebagai inspirasi bagi memajukan kehidupan.

No comments:

Post a Comment