Saturday, 12 November 2011

BELIA PENCORAK MASA DEPAN NEGARA



AMANAT…Jamawi ketika berucap merasmikan program tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

GOLONGAN belia merupakan golongan pelapis yang amat penting kerana golongan ini yang bakal mencorak negara dalam memastikan sesebuah negara menjadi sebuah negara maju

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar berkata, dengan cabaran di dalam dunia tanpa sempadan semakin menghimpit, keperibadian belia yang tinggi nilai akhlaknya amat penting diterapkan dalam jati diri belia masa kini.

Katanya, sekiranya keperibadian jati diri belia diracuni oleh anasir-anasir negatif, maka usaha negara untuk mencanang sebagai sebuah negara maju dengan Wawasan 2020 pastinya menjadi angan semata-mata.

“Golongan belia yang mewakili lebih 40 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini merupakan tenaga penggerak dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.

“Memandangkan peranan penting belia dalam pembangunan negara serta sebagai bakal pemimpin negara, golongan belia perlu menanamkan dan mempersiapkan diri dengan hal-hal berkaitan kepemimpinan, kemahiran dan keusahawanan” katanya

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tenom berkata demikian ketika berucap merasmikan program ‘Bicara Belia 1 Belia 1 Malaysia’ di kampong Batu- Batu, Tenom, baru-baru ini.

RASMI..Jamawi memotong riben sebagai simbol perasmian program tersebut

Menurut Jamawi pemimpin dan organisasi belia hari ini perlu memberikan, tumpuan ke atas program menanam nilai murni dan membentuk kepimpinan berkualiti. Semangat jati diri, tabah dan patriotik merupakan ciri penting yang harus dimiliki oleh setiap belia.

“Sebagai pemimpin belia dan pemimpin muda, semua inisiatif dan program yang dirancang untuk ahli dan organisasi seharusnya memberi penekanan ke arah pembangunan sahsiah dan jati diri belia kerana negara sentiasa memerlukan generasi muda yang berkredibiliti tinggi, berdaya saing dan mampu menerajui kepimpinan Negara,” katanya.

Tambah Jamawi, kepimpinan belia perlu lebih sensitif dengan naluri, kehendak dan keperluan ahli. Serentak dengan itu, beliau meminta semua pihak termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta merangka aktiviti belia yang substantif dan bersesuaian dengan acuan budaya masyarakat negara ini.

No comments:

Post a Comment