Sunday 13 November 2011

KERAJAAN PERKASAKAN PENDIDIKAN DI LUAR BANDAR



Oleh : MOHD ZAKI EMPIN @ MOZE

KERAJAAN amat memandang serius akan pembangunan Pendidikan di negara ini kerana melalui Bajet 2012, kerajaan telah meluluskan dana sebanyak RM6.4 billion bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, peralatan serta memartabatkan profesion perguruan.

Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raime Unggi berkata, kerajaan memandang serius akan masalah yang dihadapi oleh golongan pelajar luar bandar sehingga telah melupuskan Yuran Pendidikan di sekolah rendah dan menengah kerajaan sesuai dengan slogan ‘Pendidikan Percuma untuk semua’.

Secara tidak langsung, kata Raime, akan meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh ibubapa yang mempunyai anak yang bersekolah. Selain itu pemberian baucer buku sebanyak RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia juga merupakan antara intipati utama dalam Bajet 2012.

“Kerajaan tidak melupakan jasa warga pendidik sehingga memberikan peruntukan tambahan berjumlah RM213 juta bagi memberi ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi, pengetua, guru besar serta guru yang cemerlang,” kata Raime yang memaklumkan bahawa kerajaan turut memperuntukkan RM576 juta dalam bentuk biasiswa untuk warga pendidik melanjutkan pelajaran bagi menyediakan guru dan tenaga pengajar kompeten, serta berkualiti agar dapat membimbing dan mendidik pelajar dengan baik.

Raime juga menggesa pihak kerajaan meneruskan usaha untuk memperkasakan pendidikan di kawasan luar bandar seperti pembinaan dan menaiktaraf prasarana pendidikan di kawasan luar Bandar.

“Peningkatan peratus kecemerlangan pelajar di kawasan luarbandar setiap tahun memerlukan pihak kementerian pelajaran menambah jumlah sekolah yang mempunyai tingkatan 6, memandangkan ketika ini hanya 2 buah sekolah yang mempunyai tingkatan 6 di Tenom,” rayu Raime lagi.

Raime turut memuji usaha dan komitmen yang ditunjukkan oleh guru-guru, pelajar serta PIBG S.M.K Entabuan yang berganding bahu dalam mengisi program Pelancaran Sedekad S.M.K Entabuan sehingga dapat mencipta rekod dalam ‘Malaysian Book of Rekod’ melalui Tarian Mangunatip Paling Panjang dan Peserta paling Ramai pada 11 November 2011.

No comments:

Post a Comment