JABATAN Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menguruskan daftar kematian rakyat Malaysia bermula Disember ini bagi memudahkan lagi proses mengemas kini daftar pemilih pilihan raya.
Ketua Pengarah JPN, Datin Jariah Mohd Said berkata Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam memaklumkan bahawa perkara itu akan berkuat kuasa mulai 1 Disember ini.
"Apabila pemaklum memohon permit mengubur daripada pihak PDRM, permit itu akan disatukan dengan daftar kematian JPN dan ia dihubungkan terus ke pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," katanya pada sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambaikan Proses Pilihan Raya (PSC) di sini, Sabtu.
Beliau menjelaskan sebelum ini, pewaris perlu melaporkan masing-masing kepada PDRM dan JPN bagi melaporkan kematian dan undang-undang tidak memaksa untuk laporan itu dibuat.
Isu kerjasama antara PDRM-JPN-SPR itu dibangkitkan bekas presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenivasan yang berpandangan kerjasama itu perlu diwujudkan bagi memudahkan penyimpanan data khususnya mengenai kematian.
Dengan adanya data itu katanya, SPR boleh mengemaskini data pengundi dan seterusnya melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik.
Menjawab kemusykilan Ambiga berhubung isu kod negara kelahiran 71 pada nombor kad pengenalan, Jariah berkata, sebelum 2001, kod itu digunakan bagi rakyat Malaysia yang lahir di luar negara dan semua warganegara asing yang mendapat status Permastautin Tetap (PR) di negara ini.
"Selepas 2001, semua warganegara asing yang mendapat (PR) tidak lagi menggunakan kod 71, sebaliknya akan menggunakan kod berdasarkan negara kelahiran masing-masing, contohnya Singapura (66) dan Indonesia (61)" katanya.
Ambiga sebelum itu mempersoalkan penggunaan kod -71- dan mengaitkannya dengan dakwaan pekerja asing yang didaftar sebagai pengundi setelah beberapa nama pemegang kad pengenalan dengan nombor kod berkenaan dikesan turut tersenarai dalam daftar pemilih.
Ambiga mencadangkan bahawa kod 71 untuk negara kelahiran (tidak diketahui) perlu dimansuh dengan mengambil kira 299 negara atau wilayah mempunyai kod negara masing-masing.
Dalam pada itu, Pengerusi PSC Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memaklumkan bahawa sehingga kini, hanya 1,784 rakyat Malaysia di luar negara yang mendaftar sebagai pengundi.
Namun, PSC akan mengkaji perkara itu yang menurutnya mungkin akibat kekurangan promosi mendaftar sebagai pengundi.
Sementara itu, Timbalan Presiden jawatankuasa itu, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad ketika ditemui pemberita selepas selesainya sesi kedua pendengaran awam itu, berkata antara isu yang banyak dibangkit termasuk penggunaan dakwat kekal, undi pos membabitkan rakyat Malaysia di luar negara dan pendaftaran pemilih secara automatik.
Beliau memaklumkan sesi pendengaran awam seterusnya akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 25 dan 26 November ini. (BERNAMA).
No comments:
Post a Comment