Thursday 10 November 2011

MAMPUKAH UPKO ATASI JANJI TERANG BULAN NAJIB?



Oleh: GONOD SUNDA

KESUNGGUHAN Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Giluk Dompok untuk berjumpa Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk mendesak PM supaya meluluskan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (SSD) bagi menyiasat pemberian Kad pengenalan dan kerakyatan Negara ini kepada PATI, mungkin juga satu strategi Dompok untuk meyakinkan semula para pengundinya kerana beliau tahu bahawa UPKO dan Dompok pada PRU13 akan di ‘sayonarakan’ rakyat/pengundi Sabah pada ketika itu.

Sudah terlalu banyak teka-teki daripada penganalisis/pemerhati politik Sabah bahawa hasil perjumpaan Dompok dengan PM tidak ubah seperti, ‘sekadar memenuhi kehendak rakyat’ kerana umum telah tahu sikap Najib yang suka membuat janji tergantung iaitu dalam istilah bahasa tempatan Sabah ‘Janji Terang Bulan’; tentunya Najib akan sekali lagi bersandiwara dengan memberi jawapan kepada Dompok; “Ok Tan Sri, kita akan laksanakan dalam masa terdekat ini”.

Rakyat Sabah mungkin masih sedar akan kelibat Najib sebelum ini kerana beliau pernah berjanji akan melaksanakan sekali lagi ‘Operasi pembersihan PATI atau lebih dikenali Ops Bersih’ sejurus selepas beliau menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan dalam kabinet era Tun Abdullah Badawi sebaliknya apa yang berlaku selepas itu, hanya ‘Janji Terang Bulan’ diungkapkannya.

Beberapa pendapat umum termasuk para cendikiawan mengatakan, tidak mungkin Najib akan menubuhkan SSD untuk menyiasat masalah PATI di Sabah kerana sekiranya SSD itu dilaksanakan, banyak pemimpin UMNO negeri Sabah akan gulung tikar; malah UMNO akan terus lemah dan akan rebah tersungkur di Sabah kerana kekuatan mereka banyak bersandar kepada bantuan PATI yang diberi Kad Pengenalan Projek.

Fakta ini bukan sekadar ‘khabar angin’ tetapi ianya telah dibukukan bukti-buktinya menerusi empat buah buku yang dianggap kontroversi tulisan seorang penulis terkenal Mutalib M.D yang bertajuk; IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah, Pengundi Untuk Disewa, IC PROJEK-Agenda Tersembunyi Mahathir? dan 007-Lelaki Malaysia Terakhir?; malah sebelum itu beberapa laporan Polis telah dibuat oleh pemimpin-pemimpin pemuda PBS sekitar tahun 1990-an, anehnya laporan itu sehingga sekarang tidak ada kesudahannya.

Dalam pada itu, tindakan Dompok untuk berjumpa Najib dalam isu SSD mungkin akan menemui jalan buntu kerana Najib pasti di dalam hatinya tidak akan merestuinya tetapi di bibir Najib ketika memberitahu Dompok akan berkata; “Yes Tan Sri, kita akan laksanakan” yang sekadar diibarat melepaskan batuk di tangga.

Setelah itu, Dompok tidak akan selamat juga kerana rakyat khususnya pengundi Penampang sudah terhidu, malahan mereka sudah dapat menduga lebih awal jawapan yang bakal diberi PM kepadanya.

Lantaran itu, apakah Dompok, Bumburing dan UPKO masih sanggup bertahan dan berpaut dengan BN jika UPKO itu sendiri tidak akan selamat dan berupaya membantu Dompok dan rakan-rakannya semasa menghadapi gelombang perubahan Sabah pada PRU13 kelak?

Justeru, setelah Dompok, Bumburing & Co dimomok dengan janji-janji terang bulan UMNO-BN yang sudah berulangkali dilakukan mereka, tetapi janji tidak berinti, tetapi hairan kenapa UPKO masih juga terus bertahan dalam BN?

Mengapa tidak Dompok berterus terang dengan nada yang tegas dengan memberi ultimatum sahaja kepada PM selaku Pengerusi BN, sama ada isu SSD itu dijawab; “Yes atau No”.

Andaikata jawapan PM itu “No”, perkiraan rakyat Sabah sudah pasti terlalu jelas dalam menentukan tindakan seterusnya kerana tidak lain dan tidak bukan kerana semua parti tempatan Sabah seperti SAPP, PBS,UPKO, PBRS dan LDP perlu berganding tangan dalam satu perjuangan untuk menumbangkan kerajaan UMNO-BN di Sabah yang sekarang ini dinanti-nantikan rakyat jelata Sabah.

Hanya dengan tertumpasnya kerajaan UMNO-BN di Sabah dan digantikan dengan sebuah kerajaan baru di Sabah akan dapat menyelesaikan pelbagai isu yang telah merosakkan maruah dan martabat rakyat dan negeri Sabah; terutama sekali masalah kebanjiran PATI yang dianggarkan mencecah lebih sejuta populasi. PATI adalah merupakan ibu kepada segala masalah di Sabah.

Walaupun artikel ini sebagai pendapat dan usaha menyedarkan rakyat Sabah, namun segala-galanya terletak di tangan rakyat Sabah itu sendiri untuk menentukannya secara demokrasi menerusi peti undi pada PRU13.

No comments:

Post a Comment