Tuesday 15 November 2011

PROJEK LPPM ATAS ANGIN?



Oleh : CHANG SHAK HUNG

LAPORAN Ketua Audit Negara 2010 yang telah mendedahkan kelemahan di dalam pengurusan dan pentadbiran di dalam agensi kerajaan, perlu dititik-beratkan dan diambil perhatian serius.

Isu yang terbaru yang telah mengemparkan negara adalah pengedaran rak risalah untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2007 oleh sebuah syarikat Leo Communications Sdn Bhd (LCSB) melalui Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (LPPM), sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia.

Melalui penemuan semasa audit dijalankan, TIDAK ADA perjanjian yang ditandatangani antara Kementerian Pelancongan atau LPPM dengan LCSB.

Yang peliknya adalah Kementerian Pelancongan melalui LPPM telah bersetuju untuk melantik LCSB untuk mengedarkan 1,000 unit rak risalah dengan kos RM1.95 juta dan risalah bernilai RM7.31 juta dengan jumlah keseluruhan projek kepada LCSB bernilai RM9.26 juta.

Semakan audit mendapati bahawa perolehan projek pengagihan rak risalah ini dibuat secara rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan. Ini menyebabkan spesifikasi bekalan dan tempoh penghantaran tidak ditetapkan.

Pada 4.1.2007, sebanyak 256 unit rak risalah bernilai RM499,200 telah diperolehi oleh LCSB dengan kelulusan Kementerian Pelancongan Sebelum Mendapat Keputusan dari Kementerian Kewangan!

Ini diikuti pada 8.1.2007 sebanyak 100 unit dan yang peliknya adalah pada 8.9.2008, perolehan 166 unit rak risalah bernilai RM237,900telah dibuat di Pejabat Menteri Pelancongan untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2007 tapi perolehan dibuat pada September 2008? Memang Hairan bin Ajaib!

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010, pihak audit tidak dapat mengesahkan pengedaran 22 unit lagi rak risalah kerana Tiada Nota Penghantaran disertakan sebagai bukti pengedaran.

Bukan itu sahaja, pihak audit juga tidak dapat mengesahkan samada pengedaran rak risalah disertakan dengan risalah pelancongan yang sepatutnya diterbitkan oleh pihak LCSB.

Apakah yang sedang berlaku daripada ‘kegelapan’ yang berlaku di dalam Kementerian Pelancongan ini? Adakah unsur-unsur rasuah telah berlaku dalam pengedaran risalah untuk mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2007 serta pengedaran rak risalah yang langsung tidak mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kewangan, wajar disiasat?

Bukan itu juga, Kementerian Kewangan WAJIB DISIASAT memandangkan LPPM memaklumkan bahawa Kementerian Kewangan TELAH MELULUSKAN pembayaran pada 18 Mac 2011 bagi 773 unit rak risalah yang berjumlah RM1.51 juta sedangkan pada 14.2.2008, pihak Kementerian Kewangan telah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan mengemukakan beberapa dokumen seperti dokumen perlantikan LCSB; tuntutan pembayaran seperti invois dan pesanan tempatan; kuantiti dan kos keseluruhan rak dan risalah yang dibekalkan oleh LCSB; sumber peruntukan dan jumlah keseluruhan yang telah diluluskan.

Namun pada 19.6.2008, Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (LPPM) memaklumkan TIADA perlantikan LCSB dibuat dengan alasan Kementerian Kewangan tidak meluluskan perolehan rak dan risalah secara rundingan terus.

Duit rakyat telah disalahguna dan kenapa rakyat perlu dilayan sedemikian? Kenapalah kerajaan Barisan Nasional melalui Kementerian Pelancongan sanggup memperdayakan rakyat dengan kegiatan sedemikian?.

Pendedahan demi pendedahan yang nyata telah mengelapkan duit rakyat, telah dirungkai melalui Laporan Ketua Audit 2010 pada kali ini.

No comments:

Post a Comment