Thursday 3 November 2011

PROJEK NKRA 100 JUTA DI KOTA BELUD



TINJAU……..Abdul Rahman (kiri sekali) meninjau pemasangan paip air yang sedang rancak dilaksanakan di daerah Kota Belud.

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

AHLI Parlimen Malaysia (Kota Belud), Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata projek pemasangan paip bekalan air luar bandar yang sedang rancak dilaksanakan di Kota Belud membuktikan kerajaan Barisan Nasional amat peka serta prihatin dengan keperluan penduduk di daerah ini.

Beliau berkata, dalam rancangan Malaysia ke sepuluh Kerajaan Persekutuan yang didokong oleh Barisan Nasional telah memperuntukkan lebih kurang 100 juta ringgit melalui program NKRA bertujuan untuk membangunkan serta mengurangkan masalah bekalan air di kawasan Kota Belud.

Menurutnya, projek bekalan air luar bandar ini melibatkan pemasangan paip agihan, pumping mains dan transmisi, pembinaan rumah pam penggalak,pembinaan tangki simpanan, menaiktaraf loji lama dan membina loji baru.

“Jika siap sepenuhnya projek bekalan air luar bandar ini nanti sudah tentulah rintihan dan keluhan rakyat terutama di kawasan luar bandar mengenai dengan masalah bekalan air akan dapat diselesaikan.”

“Selain daripada itu, usaha untuk membawa pelabur asing ke daerah Kota Belud akan lebih mudah dengan adanya bekalan air yang baik, yang terpenting sekali sudah tentu ialah keselesaan dan kesejahteraan penduduk di daerah ini kerana akan menikmati bekalan air yang berkualiti dan mencukupi.”

Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan projek pemasangan paip air yang sedang rancak dilaksanakan di daerah ini, baru-baru ini.

SIAP….Sebahagian paip air yang sudah siap dipasang.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah menjelaskan ketika ini masih banyak penduduk di luar bandar yang bergantung kepada sumber air secara alternative seperti melalui air hujan, graviti, perigi dan telaga tiub.

Namun terang beliau, sumber air seperti ini kerap terganggu atau terputus pada musim kemarau dan tercemar dan ini memberi masalah kepada penduduk di kampung yang terbabit dengan mengharapkan sumber seumpamanya.

Katanya lagi, walaupun 50 peratus penduduk di kawasan luar bandar sudah menerima bekalan air terawat terdapat juga beberapa kampung yang masih mengalami masalah tekanan air rendah.

“Tekanan air rendah ini berpunca daripada kaedah sistem pengagihan air yang tidak sesuai,saiz paip agihan yang kecil tidak dapat menampung permintaan bekalan air yang makin bertambah dan juga keuzuran paip-paip lama seperti paip jenis AC yang banyak mengalami kebocoran yang menyebabkan tekanan air menjadi rendah.” jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment