Sunday 6 November 2011

RELA KASARI ORANG AWAM?



TERKANDAS....Lautan manusia Warga Emas terkandas di luar pintu dewan kerana tidak dibenarkan masuk walaupun mereka mempunyai kupon untuk menerima sumbangan tersebut.

Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : SAFFIES S JUMADI

SIKAP ganas dan kebiadapan anggota Rela yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan 1,000 warga emas semasa program menerima sumbangan Hari Raya Korban di Dewan Masyarakat Sandakan atas tajaan Pejabat Urusetia Parlimen Sandakan, kelmarin, telah menimbulkan kekecohan kerana mereka tidak puas hati dengan layanan buruk anggota Rela.

Mereka yang berduyun-duyun datang ke Dewan Masyarakat berkenaan semata-mata mahu mendapatkan sumbangan tersebut berbaris seawal jam 6.30 pagi lagi sambil membawa kupon masing-masing seperti yang diwajibkan oleh pihak pelaksana; tetapi amat mendukacitakan kerana anggota Rela langsung tidak membenarkan mereka masuk ke dalam dewan walaupun mereka telah menunjukkan kupon.

Wartawan dan Jurufoto Sabahkini.Net yang secara kebetulan berada di tempat tersebut untuk menyaksikan sendiri senario yang berlaku, terasa amat memilukan melihat perilaku anggota Rela yang terlalu kasar kepada warga emas yang tidak berdaya.

Mantan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Yusof Omar yang berada di luar dewan bersama-sama dengan lautan manusia meminta Sabahkini.Net supaya merakamkan gambar untuk didedahkan di media agar rakyat di negara ini tahu kejahilan anggota Rela terhadap orang awam.

Dalam program yang dijadualkan bermula jam 8.30 pagi itu, sepatutnya Rela melonggarkan warga emas yang telah menunjukkan kupon yang dikeluarkan oleh Pejabat Parlimen Sandakan agar memasuki dewan bukannya ditahan sehingga dua orang wanita yang berumur dalam 65 tahun jatuh tersungkur kerana berasak-asak dan berlaku tolak menolak.

REBUTAN.....Gara-gara beras 5 kilogram jadi rebutan, lautan warga emas membanjiri Dewan Masyarakat.

Keadaan di luar dewan tersebut menjadi riuh rendah dengan jerit pekik dan maki hamun, termasuk sumpahan laknat yang dilemparkan kepada anggota-anggota Rela.

Menurut Pak Cik Mat, 70, tindakan Rela mengasari orang tua benar-benar telah melanggar tatatusila dan kesopanan budaya Malaysia, di samping mencemarkan nama baik pasukan Ikatan Relawan Malaysia kerana bersikap kurang ajar dan biadap.

“Sedangkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah mengasari orang tua-tua macam kami ini. Inikan baru anggota Rela baru dapat elaun RM3 sejam, sudah mahu tunjuk lagak angkuh dan sombong mereka,” ujar Pacik Mat sambil menitiskan air matanya

No comments:

Post a Comment