Wednesday 2 November 2011

ZALIMKAH KERAJAAN BN?



Oleh : MUTALIB M.D

“HENTIKANLAH penggunaan bateri asid plumbum di sekolah luar bandar di seluruh Sabah. Kenapa harus memperkayakan kroni di atas kesengsaraan kanak-kanak yang tidak berdosa? Jangan jadikan generasi masa hadapan kami sebagai tikus makmal,” rayu Mantan Guru Besar SK Lok Buani, Tambisan, Kunsul Bin Nahul.

Kunsul yang menghubungi Sabahkini.net untuk melahirkan rasa kecewa para ibu bapa dan guru SK Lok Buani yang bimbang dengan risiko pencemaran logam berat plumbum, menggesa agar Kementerian Pelajaran menghentikan segera penggunaan bateri asid plumbum dalam projek elektrik solar hibrid setelah mendatangkan ancaman besar kepada kanak-kanak.

“Lagipun projek solar hibrid ini yang bernilai RM7 juta hanyalah projek ‘Gajah Putih’ kerana sekolah ini sudah lebih satu tahun tidak mendapat bekalan elektrik kerana sistem solar hibrid berkenaan rosak dan terpaksa menggunakan genset. Buat apa jadikan logam berat ini sebagai hiasan?,” kata Kunsul yang mengakui baru sedar bahaya bateri asid plumbum setelah menonton SabahkiniTV dan membaca banyak artikel di Sabahkini.net.

Sebagai mantan Guru Besar, kata Kunsul, beliau merayu Menteri Pelajaran Malaysia, merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menghentikan kezaliman ini serta merta.

“Perbuatan meracuni kanak-kanak sekolah adalah terlalu zalim dan tidak berhati perut. Saya tidak fikir Timbalan Perdana Menteri mahu menjadikan kanak-kanak di Lok Buani dan luar bandar Sabah sebagai pelajar yang bodoh dan terencat akal. Jadi mohon hentikanlah perbuatan meracuni kanak-kanak sekolah, sekalipun kerajaan telah berbelanja lebih untuk memperkayakan kroni Menteri Pelajaran terdahulu,” kata Kunsul yang yakin sejak Muhyiddin mengambil alih teraju Menteri Pelajaran beberapa sekolah sudah menghentikan penggunaan bateri asid plumbum.

Kunsul menegaskan, sekalipun projek elektrik solar hibrid adalah jalan penyelesaian kepada masalah bekalan elektrik di luar bandar, namun penggunaan bateri asid plumbum sebagai medium menyimpan tenaga elektrik adalah perbuatan jenayah kerana bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah meracuni minda dan kesihatan kanak-kanak.

“Cukuplah penderitaan kami selama ini. Jika sebelum ini kami menentang Loji Arang Batu, kini kami, penduduk Lok Buani dan Zon Labian menentang keras penggunaan bateri asid plumbum di sekolah-sekolah dan di kampung-kampung tradisi,” ujar Kunsul yang merayu agar Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menukar bateri asid plumbum kepada bateri lithium polymer dalam projek Bekalan Elektrik Solar Hibrid di Tanjung Labian kelak.

Kunsul yang turut melawat Loji Janakuasa Solar Hibrid Tambisan kesal kerana KKLW menyebabkan penduduk luar bandar menganggap kerajaan Barisan Nasional sebagai kerajaan yang zalim kerana tidak menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat.

“Untuk apa ada elektrik jika generasi akan datang menjadi masyarakat pra matang dan cacat kerana keracunan plumbum. Berbanggakah kita dengan keprihatinan Kerajaan BN meracuni kanak-kanak?” kata Kunsul yang menggesa Adun Tungku dan Ahli Parlimen Silam mengetuai bantahan penggunaan bateri asid plumbum dan tidak mengulangi kesilapan mereka menyokong pembinaan Loji Janakuasa Arang Batu di Sinakut yang dibatalkan kerana bantahan rakyat.

No comments:

Post a Comment